DALAM bahasa Inggeris, perbicaraan kes rasuah 1MDB di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di New York yang sedang berlangsung sekarang boleh disifatkan sebagai instructive bagi kita di Malaysia. Maksudnya, apa yang didedahkan sekarang dan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM bahasa Inggeris, perbicaraan kes rasuah 1MDB di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di New York yang sedang berlangsung sekarang boleh disifatkan sebagai instructive bagi kita di Malaysia.

Maksudnya, apa yang didedahkan sekarang dan hukuman yang akan dijatuhkan kemudian boleh menjadi petunjuk tentang betapa luas dan terancangnya skandal rompakan 1MDB ini.

Yang sedang dibicarakan di Amerika sekarang adalah bekas pengurus perbankan pelaburan Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng Chong Hwa. Menurut laporan, dia adalah warganegara Malaysia.

Dia dituduh menerima rasuah AS$35 juta (kira-kira RM147 juta) bersabit hutang 1MDB. Ng memilih untuk dibicarakan daripada mengaku bersalah secara rundingan yang dalam bahasa kehaki-man Amerika disebut plea bargaining.Goldman Sachs adalah bank pelaburan antarabangsa yang berpangkalan di Wall Street, New York. Ia digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri bagi meminjam AS$6.5 bilion (RM27.3 bilion) atas nama 1MDB.

Sebahagian besar hutang itu masuk ke dalam akaun peribadi ramai orang terutamanya Najib dan sahabatnya, Jho Low. Beberapa orang daripada mereka telah pun dibicarakan dan dihukum penjara di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu.

Goldman Sachs telah mengaku bersalah kepada Jabatan Kehakiman Amerika kerana terlibat dalam konspirasi penipuan 1MDB dan membayar denda AS$2.8 bilion (RM11.8 bilion) kepada kerajaan Amerika. Ia juga memulangkan AS$600 juta (RM2.52 bilion) kepada kerajaan Malaysia. Saksi utama pihak pendakwa dalam perbicaraan Ng adalah Tim Leissner, bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara.

Pada tahun 2018, Leissner telah mengaku bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram dan bersetuju menyerah AS$43 juta (RM180.6 juta) kepada kerajaan Amerika. Dia belum dijatuhi hukuman dan bebas atas jaminan AS$20 juta (RM84 juta).

Kalau selama ini pendedahan skandal penipuan 1MDB terhad kepada fakta-fakta berkaitan wang, perbicaraan Ng mula memuntahkan maklumat sensasi dan menggiurkan.

Seperti yang dicatatkan secara ringkas dalam hantaran Facebook saya, pendedahan bersumpah Leissner mengingatkan saya kepada skandal seks dan pengintipan yang berlaku dalam kerajaan United Kingdom pada tahun 1960-an.

Ia melibatkan Mendiang Lord Profumo, bekas Menteri Perang British, seorang model dan penari muda bernama Christine Keeler dan seorang pengintip Kesatuan Soviet, Kapten Yevgeny Mikhailovich Ivanov.

Tetapi kita janganlah seronok sangat membaca berita sensasi dan cerita dalam kelambu ini kerana akibat perbuatan jahat pihak-pihak yang terbabit ini, kita rakyat jelata Malaysia menanggung beban hutang 1MDB lebih RM50 bilion.Leissner telah menceritakan bagaimana eksekutif kanan Goldman Sachs yang terlibat dalam urusan dengan Najib telah diminta mencari kerja untuk anak-anak bekas Perdana Menteri itu sebagai balasan kepada peluang perniagaan yang lumayan. Dia menceritakan bagaimana Jho Low menghambatnya supaya memberi derma kepada Bakti yang ketika itu dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Leissner memberitahu mahkamah New York yang salah seorang kekasihnya iaitu Datuk Rohana Rozhan telah dihadiahkan sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta (RM42 juta) setelah mereka putus cinta bagi menutup mulut mengenai skandal 1MDB.

Kita boleh kata, ini adalah cerita orang tersepit. Tetapi hakikatnya pendedahan Leissner itu selari dengan apa yang telah kita dengar daripada sumber dalam dan luar negara sebelum ini.

Biasalah, sesiapa pun yang dilibatkan dengan jenayah tidak akan mengaku sehingga dibicarakan. Selepas didapati bersalah dan dihukum pun mereka masih menafikannya. Malangnya, ramai rakyat totok yang tidak tahu apa pun mengenai undang-undang percaya kepada pembohongan ini.

Kesimpulannya, semua yang kita dengar ini mengukuhkan hakikat tersurat dan tersirat bahawa Najib mengambil alih Terengganu Investment Authority (TIA) daripada kerajaan Terengganu pada tahun 2009 dan menjadikannya 1MDB dengan tujuan songsang.

Hatta kalau hanya sebahagian kecil saja keterangan Leissner itu benar ia sudah cukup untuk membuktikan wujudnya komplot menipu besar-besaran dan terancang menggunakan 1MDB.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca