TUMPUAN dunia pada masa kini adalah pada konflik antara Rusia-Ukraine. Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui tragedi yang berlaku di bandar Khojaly wilayah Karabakh, Azerbaijan 30 tahun lalu. Pada 25 hingga 26 Februari 1992 tentera... Klik di sini untuk terus membaca

TUMPUAN dunia pada masa kini adalah pada konflik antara Rusia-Ukraine. Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui tragedi yang berlaku di bandar Khojaly wilayah Karabakh, Azerbaijan 30 tahun lalu. Pada 25 hingga 26 Februari 1992 tentera Armenia dengan sokongan tentera Kesatuan Soviet (USSR) daripada Rejimen 366 yang ditempatkan di wilayah Khankendi menyerang dan membinasakan Khojaly.

Dalam tempoh satu malam seramai 613 orang, termasuk 63 kanak-kanak dibunuh, lapan keluarga terkorban dan 487 orang menjadi orang kurang upaya.

Selain itu, seramai 1,275 orang awam dijadikan tahanan dan terpaksa berdepan dengan pelbagai seksaan serta penghinaan. Mangsa peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Khojaly terdiri daripada penduduk Azerbaijan. Bagaimanapun tragedi ini bukan terhad kepada Azerbaijan tetapi kepada seluruh masyarakat antarabangsa.

Insiden itu dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai yang tiada beza di Srebrenica, Bosnia dan Rwanda lalu meninggalkan kesan negatif yang mendalam kepada sejarah dunia. Tragedi itu berpunca daripada tuntutan wilayah oleh Armenia sejak dahulu. Strategi Armenia untuk menduduki Khojaly kerana kedudukan strategiknya bagi memudahkan usaha tentera Armenia untuk menyerang daerah lain di wilayah Nagorno-Karabakh.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi perang psikologi tentera Armenia untuk menggunakan teknik kekerasan melampau untuk melemahkan semangat dan menakutkan rakyat Azerbaijan supaya mereka tunduk dan menyerah kalah.

Selain kedudukan yang strategik, Khojaly terpilih menjadi sasaran serangan tentera Armenia kerana ia sebuah bandar yang kaya dengan warisan sejarah Azerbaijan.

Perlu ditegaskan bahawa tindakan Armenia menduduki Nagorno-Karabakh telah dikutuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), melalui Resolusi 822, 853, 874 dan 884.

Selain itu, tragedi yang telah berlaku di Khojaly bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1949, khasnya yang berkaitan dengan penghindaran dan hukuman terhadap jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Selain itu kedua-dua tragedi baik di Khojaly dan Srebrenica terjadi pada tahun 1990-an selepas kejatuhan USSR dan tamatnya Perang Dingin. Bagaimanapun dalam kes Srebrenica usaha untuk memperoleh keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan.

Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 827 telah menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslasvia (ICTY) bagi menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica. Antara mereka yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup ialah Radovan Karadžić dan Ratko Mladić.

Malah, pada tahun 2010 dan 2013, Parlimen Serbia secara rasmi mengutuk perbuatan mereka dan telah memohon maaf kepada keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica.

Bagaimanapun perkara sedemikian tidak berlaku di Khojaly. Malangnya, walaupun 30 tahun telah berlalu sejak tragedi pembunuhan beramai-ramai di Khojaly masih belum ada usaha yang kukuh dilakukan masyarakat antarabangsa untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sebaliknya, mereka yang disyaki terlibat secara langsung dalam pembunuhan beramai-ramai seperti panglima tentera Armenia terus berpengaruh. Justeru, Parlimen Romania, Bosnia dan Herzegovina, Serbia, Jordan, Slovenia, Scotland dan Paraguay, serta badan eksekutif dan perundangan 22 negeri di Amerika Syarikat (AS) misalnya Texas, New Jersey dan Utah telah mengutuk sekeras-kerasnya tragedi Khojaly mengkategorikannya sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengiktiraf Armenia sebagai penceroboh dan pihak yang bertanggung jawab ke atas tragedi Khojaly pembunuhan beramai-ramai.

Pengiktirafan dan tindakan mengutuk adalah penting bagaimanapun tidak mencukupi. Apa yang penting keadilan. Jika masyarakat antarabangsa membiarkan tragedi ini berlalu tanpa pengadilan, maka besar kemungkinan jenayah sedemikian akan berulang pada masa depan kerana mereka yang bersalah tidak perlu bertanggungjawab.

Di Malaysia dan Asia Tenggara kemungkinan tidak mengetahui tragedi Khojaly disebabkan kedudukan yang jauh.

Bagaimanapun, jarak tidak harus menjadi alasan kerana sebelum ini Malaysia telah lantang menyuarakan ketidakadilan yang berlaku di Afrika Selatan, Palestin, Bosnia dan Kosovo.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca