DALAM tempoh 12 bulan ini, dua kali Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menyatakan peruntukan undang-undang syariah di Negeri Selangor sebagai tidak berperlembagaan dan terbatal.
Februari lepas, dalam kes Iki Putra Mubarak, Mahkamah Persekutuan memutuskan seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tidak berperlembagaan dan terbatal manakala baru-baru ini dalam kes SIS Forum Berhad, mahkamah yang sama memutuskan nasib yang sama bagi seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dua keputusan di atas adalah antara banyak lagi keputusan kes iaitu perundangan Islam telah tidak mendapat keputusan positif dari pada mahkamah sejak kebelakangan ini.Persoalannya, mengapa setelah pelbagai keputusan yang dibuat oleh mahkamah, tiada apa-apa tindakan oleh pihak eksekutif atau legislatif bagi memperbaiki undang-undang yang telah ditafsirkan tidak memihak perundangan Islam oleh mahkamah?
Kita semua tahu dalam penghakiman-penghakiman tersebut mahkamah memberikan tafsiran mengikut pemahaman mereka. Bukan saja undang-undang syariah yang diisytihar mahkamah sebagai tidak berperlembagaan tetapi juga undang-undang sivil dan jenayah.
Namun dalam konteks undang-undang sivil dan jenayah, jika pihak kerajaan tidak bersetuju dengan penghakiman tersebut kerajaan akan meminda peruntukan berkaitan bagi menjelaskan hasrat pihak legislatif itu.
Sayangnya, bagi perundangan Islam, pihak kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri tidak mengambil apa-apa tindakan proaktif setelah ia disahkan tidak berperlembagaan dan terbatal. Persoalannya, mengapa hal yang demikian berlaku?
Adakah kerajaan akur dengan penghakiman-penghakiman tersebut ataupun tidak mempedulikannya? Atau adakah terdapat perkara lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian oleh pihak kerajaan? Jarang kita lihat kerajaan bertindak segera membetulkan undang-undang Islam yang telah diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak berperlembagaan. Lebih mengecewakan, usaha menggerakkan tindakan ini oleh NGO bagai mencurah air di daun keladi sahaja.
Saya sudah kerap kali menulis tentang kedudukan tinggi agama Islam dan perundangannya dalam pelbagai platform, namun masih ramai yang tetap menganggap Islam dan perundangan di Malaysia sekadar dekoratif. Ia seolah-olah seperti kosmetik yang hanya mahu mencantikkan sesuatu tanpa intipati yang membina jati diri negara.
Walaupun ketiadaan tindakan di pihak legislatif dan eksekutif ini sangat mendukacitakan, tetapi rakyat awam yang mengundi mereka acapkali terlupa ketidakupayaan ini apabila terus memilih mereka sebagai wakil rakyat semasa pilihan raya. Jadi di manakah tempangnya usaha bagi memberi makna sebenar kehidupan seorang Muslim di Malaysia?
Sangat jarang saya mendapat maklum ada orang awam yang berdialog dengan wakil rakyat mereka mengenai sesuatu isu perundangan dan bagaimana wakil rakyat boleh berbahas mewakili mereka. Wakil rakyat sepatutnya menggunakan kuasa untuk membangunkan agama. Sudah kerap mahkamah mentafsirkan undang-undang yang tidak memihak kepada agama kerana undang-undang tersebut tidak jelas ataupun menjadi penghalang kepada pelaksanaan perundangan syariah.
Menjadi fungsi pihak legislatif dan eksekutif untuk menjelaskan peruntukan yang tidak jelas dan membuang semua penghalang kepada pelaksanaan perundangan syariah. Janganlah hanya menjadi hero setelah bersara daripada politik tetapi alpa ketika berkuasa.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca