KINI jelas sudah seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
PRN Johor juga bakal menyaksikan penglibatan 10 parti politik dan 16 calon Bebas merangkumi 202 calon lelaki dan 37 calon wanita.
Dalam konteks jumlah calon wanita yang masuk bertanding, Belalang sedikit kecewa kerana ia tidak mencerminkan keseimbangan dalam membuka ruang dan peluang sama rata.
Jumlah calon wanita merangkumi semua spektrum parti memperlihatkan representasi yang mengecewakan.
Belalang mengharapkan dalam era di mana kaum wanita telah membuktikan kewibawaan mereka dalam semua bidang, mereka juga akan diberi peluang untuk bertindak sebagai pembuat dan penggubal dasar.
Sayang sekali, ini tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan.
Pada satu sudut yang lain, punyalah ramai yang masuk gelanggang bertanding sehinggakan terdapat DUN sampai tujuh penjuru.
Dan sejumlah 35 daripada 56 kawasan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru. Belalang sendiri anggap memang banyak.
Ada pepatah yang mengatakan, jika terlalu ramai tukang masak hanya akan merosakkan masakan.
Dalam konteks PRN Johor, betulkah begitu?
Ada pula yang cakap, lagi ramai yang menawarkan diri bertanding, bermakna demokrasi itu subur.
Ya memang betul tu. Ia patut digalakkan tapi sekali lagi, apa ertinya demokrasi jika demokrasi itu sendiri memusnahkan harapan dan peluang calon yang lebih baik untuk menang.
Siapa yang akan mengaut keuntungan daripada laba ini?
Dah tentu pihak yang mana undi mereka tidak berpecah tiga atau empat. Walaupun sedikit, tapi mereka solid.
Yang suara lebih besar dan banyak tapi oleh kerana pecah dua, pecah tiga, pecah empat, pecah lima, pecah enam atau lebih lagi, mereka akhirnya jadi suara minoriti.
Ini adalah pertandingan yang mana siapa menang dia ambil semua. Ini bukan pertandingan yang menyaksikan siapa kumpul peratusan undi popular dia menang.
Dah banyak kali dah Belalang pesan dan ingatkan, hati-hati jangan sampai menang sorak kampung tergadai.
Tapi apa boleh buat, semua seronok nak masuk bertanding sampai lupa diri yang masuk ramai tu boleh menang ke?
* Belalang - Lepas tengok jumlah yang masuk bertanding, dah boleh agak siapa akan menang!
Klik di sini untuk terus membaca