KIEV - Angkatan bersenjata Ukraine mendapati jumlah anggota dan kelengkapannya jauh lebih kecil berbanding dengan tentera Rusia yang kini menceroboh negara itu sejak awal Khamis lalu.
Terdapat kira-kira 150,000 tentera Rusia di sempadan Ukraine sejak beberapa bulan sejak kebelakangan ini.
Menurut pihak Barat, terdapat kira-kira 30,000 anggota tentera Rusia telah dikerahkan di Belarus yang berjiran dengan Ukraine dan ia boleh menyerang negara tersebut dari arah utara.
Rusia juga telah mengumpulkan pasukan tentera laut di Laut Hitam dan menghalang pelayaran kapal-kapal ke Laut Azov yang terletak antara Rusia dan Ukraine.
Laut Azov adalah salah satu daripada dua akses Ukraine kepada perdagangan laut.
Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London, angkatan tentera Rusia berjumlah kira-kira 900,000 askar ditambah kira-kira dua juta anggota tentera simpanan dan lebih daripada setengah juta anggota lain.
Sementara itu, angkatan tentera Ukraine mempunyai keanggotaan hampir tidak lebih daripada jumlah askar yang telah Rusia kumpulkan di sekitar sempadannya dengan tentera tetap seramai 145,000 anggota, 45,000 anggota dalam tentera udara dan 11,000 anggota dalam tentera laut, menurut IISS.
Ia mempunyai kira-kira 100,000 anggota pasukan lain dan 900,000 askar simpanan.
Menurut IISS, Rusia mempunyai hampir 6,000 unit meriam berbanding Ukraine sebanyak 1,962 unit dan memiliki hampir 20,000 kenderaan tentera berperisai berbanding Ukraine hampir 3,000 buah.
Rusia mempunyai hampir 1,400 pesawat dan memiliki sekurang-kurangnya 478 helikopter.
Ukraine pula memiliki hampir 150 pesawat serangan dan kira-kira 42 helikopter penyerang.
Tentera Rusia juga memiliki hampir 80 kapal perang dan lebih 50 buah kapal selam, manakala Ukraine mempunyai hanya dua kapal perang dan tidak ada mempunyai kapal selam.
Bagaimanapun, teknologi-teknologi ketenteraan yang digunakan Rusia itu adalah lama dan ada yang digunakan pada zaman ia masih dikenali sebagai Kesatuan Soviet.
Namun, negara-negara Barat telah meningkatkan penghantaran senjata ke Ukraine.
Amerika Syarikat (AS) telah memberikan bantuan ketenteraan lebih AS$2.5 bilion (RM10.50 bilion) kepada Ukraine sejak tahun 2014 termasuk peluru berpandu anti-kereta kebal Javelin, kapal peronda pantai, kenderaan Humvee, senapang penembak tepat, dron, sistem radar, peralatan penglihatan malam dan peralatan radio.
Bekalan lain merangkumi peluru berpandu anti-pesawat Stinger, senjata kecil dan kapal.
Turki pula telah menjual kepada Ukraine beberapa kumpulan dron Bayraktar TB2 yang dikerahkannya ke arah kumpulan pemisah yang disokong oleh Rusia di Ukraine timur.
Britain turut membekalkan Ukraine dengan kira-kira 2,000 peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat dan menyediakan kenderaan-kenderaan perisai Saxon.
Estonia juga dilaporkan menghantar peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal Javelin, manakala Latvia dan Lithuania membekalkan peluru-peluru berpandu Stinger.
Terdapat juga jurang pengalaman dari segi penglibatan dengan peperangan antara Rusia dengan Ukraine.
Tentera Ukraine telah mendapat pengalaman pertempuran dengan kumpulan pro-Rusia di rantau Donbass di timur negara tersebut yang mana ia telah berjuang menentang pemisah Rusia yang disokong Moscow sejak tahun 2014.
Bagaimanapun, Rusia telah terlibat dengan peperangan di Chechnya untuk menghancurkan gerakan kemerdekaan pada tahun 1990-an dan menentang negara Georgia pada tahun 2008.
Tentera Rusia juga berpengalaman dalam urusan taktik peperangan kerana ia kini terlibat dalam perang di Syria kerana membantu rejim Presiden negara tersebut, Bashar al-Assad.
Namun, tentera Ukraine juga mempunyai senjata-senjata lama pada zaman era Kesatuan Soviet.
Negara itu turut bergantung kepada senjata versi moden yang digunakan pada zaman Kesatuan Soviat yang berfahaman komunis seperti sistem misil anti-pesawat yang dikenali sebagai pelancar BUK.
Walaupun begitu, angkatan tentera Rusia mengalami pembaharuan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas prestasi tentera dilihat hambar ketika perang dengan Georgia pada 1 hingga 12 Ogos 2008.
Rusia turut menggunakan kereta kebal tempur dan kenderaan-kenderaan taktikal semasa mengadakan latihan ketenteraan berskala besar di sepanjang sempadan Belarus yang melibatkan ribuan tentera pada tahun lalu.
Jika melihat kepada bilangan dan peralatan ketenteraan itu, Penasihat Khas kepada Yayasan Penyelidikan Strategik (FRS) di Paris, Francois Heisbourg dilaporkan AFP berkata, imbangan kuasa teknologi ketenteraan lebih memihak kepada Rusia dalam konfliknya dengan Ukraine dan sekaligus ‘membahayakan’ negara itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca