INDUSTRI pembinaan merupakan salah satu pemacu ekonomi utama Malaysia kerana industri itu mampu menawarkan impak merentasi pelbagai sektor seperti komersial, kediaman, perindustrian, infrastruktur, tenaga dan utiliti.Terdapat pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

INDUSTRI pembinaan merupakan salah satu pemacu ekonomi utama Malaysia kerana industri itu mampu menawarkan impak merentasi pelbagai sektor seperti komersial, kediaman, perindustrian, infrastruktur, tenaga dan utiliti.

Terdapat pelbagai projek pembinaan di dalam perancangan untuk meningkatkan pertumbuhan seperti menambah baik sistem pengangkutan, infrastruktur untuk sektor pelancongan dan pembinaan rumah mampu milik.

Memandangkan industri pembinaan sedang berkembang dari tahun ke tahun, banyak cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaannya. Cabaran utama yang dihadapi dalam melaksanakan projek pembinaan ialah kelewatan. Setiap aktiviti dalam projek pembinaan berkait rapat dengan masa dan kos.

Dukacitanya kelewatan sering terjadi di dalam projek pembinaan. Kelewatan disifatkan sebagai satu peristiwa yang menyebabkan tempoh masa yang lebih lama diambil untuk menyiapkan keseluruhan atau sebahagian projek dan ia melebihi tarikh penyiapan yang dinyatakan dalam kontrak.

Kelewatan itu akan membawa kepada pelbagai kesan negatif seperti projek terbengkalai, kerugian kewangan, reputasi buruk kepada pihak yang terlibat dan isu undang-undang. Projek pembinaan melibatkan tugasan yang kompleks memerlukan semua pihak yang terlibat (pemaju, kontraktor dan perunding) untuk menjalankan tanggungjawab tertentu.

Kelewatan projek pembinaan boleh dikelaskan kepada dua kategori utama iaitu punca dalaman dan luaran. Faktor dalaman berpunca daripada pihak berkontrak itu sendiri seperti kontraktor, pemaju dan perunding. Manakala faktor luaran berpunca daripada perkara di luar kawalan pihak yang berkontrak seperti bencana alam.

Di dalam projek pembinaan Malaysia, dapatan kajian menyatakan bahawa salah satu faktor pembinaan sentiasa bergelut dengan masalah kelewatan adalah kerana faktor dalaman yang disebabkan oleh pihak yang berkontrak itu sendiri. Seperti contoh dari konteks pemaju, masalah aliran tunai kewangan yang menyebabkan pembayaran tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan seterusnya menyebabkan pembayaran tertunda dengan tempoh yang sangat lama.

Kesilapan reka bentuk atau perubahan skop kerja juga terjadi semasa projek pembinaan di mana pihak pemaju mengubah keputusan di saat akhir kerana beberapa sebab yang tidak dalam dielakkan. Setiap perubahan yang dilakukan akan diterjemahkan kepada penambahan atau pengurangan masa dan kos.

Ia akan mengganggu perancangan keseluruhan projek tersebut. Manakala dari sisi kontraktor ialah mengemukakan tuntutan yang tidak sah dan tidak mempunyai dokumen sokongan yang lengkap, menyebabkan pihak pemaju dan perunding tidak boleh mengesahkan kerja-kerja yang telah disiapkan mengikut kontrak yang telah ditetapkan.

Seperti semua sedia maklum, pihak perunding dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sijil bayaran kepada pihak kontraktor bagi kerja-kerja yang telah disiapkan mengikut spesifikasi di dalam kontrak. Oleh yang demikian, pihak kontraktor perlu sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak perunding dengan menyediakan dokumen atau bukti yang lengkap bagi setiap kerja yang ingin dituntut.

Terdapat juga kemalangan yang tidak diingini di tapak bina yang menyebabkan kerja-kerja di tapak bina perlu dihentikan. Dari sudut pihak perunding pula, kelewatan dalam menjalankan penilaian di tapak, penilaian yang tidak tepat dan seterusnya lewat menyediakan sijil bayaran interim kepada pihak kontraktor.

Isu-isu yang dinyatakan ini boleh menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada semua pihak yang terlibat. Ini kerana, setiap pihak perlu memberi perkhidmatan kepada urusan perniagaan lain seperti pembelian bahan, bayaran kepada subkontraktor dan kos operasi organisasi.

Apabila masalah kewangan berlaku, ia akan memberi kesan kepada projek secara langsung yang membawa kepada kelewatan projek, ditangguhkan atau bahkan boleh dibatalkan serta merta. Ini akan mendorong dan menimbulkan masalah lain seperti kualiti penghantaran projek yang kurang baik dan pengguna akhir yang tidak berpuas hati.

Kajian mendapati bahawa isu kelewatan dalam industri pembinaan masih berlarutan sehingga kini. Mengkaji semula pendekatan tentang cara meminimumkan atau mencegah isu ini adalah perlu. Walaupun setiap projek pembinaan adalah unik dan dinamik, tetapi isu kelewatan dianggap sebagai aspek asas bagi setiap projek pembinaan. Ia perlu diperhalusi dan diselesaikan.

* Ts Sr Dr Mohd Ashraf Mohd Fateh ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca