MUAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau kini bersikap agresif dalam mengkritik segelintir pemimpin UMNO sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tidak mahu dilihat sebagai seorang... Klik di sini untuk terus membaca

MUAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui beliau kini bersikap agresif dalam mengkritik segelintir pemimpin UMNO sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tidak mahu dilihat sebagai seorang pemimpin ‘bacul, tiada harga diri dan tidak bermaruah’.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu turut mendedahkan faktor utama kenapa baru sekarang beliau bertindak ‘menyerang’ pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah disebabkan beliau lebih memikirkan penderitaan rakyat sewaktu memegang tampuk pentadbiran kerajaan PN di Putrajaya.

Jelas beliau, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau lebih memahami kehendak dan keutamaan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan atas sebab itu, tidak banyak kenyataan politik dikeluarkan beliau ketika itu.

"Saya tidak bodoh. Saya sudah lebih 40 tahun berkhidmat dalam politik dan kerajaan serta memahami pada saat itu (krisis pandemik), keutamaan perlu diberikan kepada rakyat yang sedang menderita.

"Kalau kita berlawan politik untuk berebut kuasa, mereka akan kata kamu gila.

"Jadi inilah apa yang saya buat, saya tumpu untuk bekerja pada waktu itu tapi saya tunggu (masa sesuai untuk menyerang balas).

"Sekarang saya tidak ada apa-apa jawatan. Dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) pun saya hanyalah seorang pengerusi yang memberi nasihat dan mengesyorkan cadangan kepada kerajaan.

"Jadi, jangan main-main dengan saya, tuduh tidak tentu arah. Saya ada maruah, saya ada harga diri, saya bukan bacul,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di kediaman beliau di sini pada Jumaat.

Wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Sejak terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lalu, Muhyiddin dilihat agresif menjawab setiap pertuduhan yang dilemparkan sebilangan pemimpin UMNO terhadapnya ketika beliau menjadi Perdana Menteri kelapan selama 15 bulan.

Dalam jawapan balasnya, Muhyiddin dan PN mendedahkan beberapa isu dalam siri Jelajah Penerangan parti itu.

Antara jawapan balas Muhyiddin ialah Ahmad Zahid pernah datang berjumpanya dengan membawa fail bertimbun sewaktu beliau baru dilantik menjadi Perdana Menteri dan mohon campur tangannya untuk mengetepikan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

Muhyiddin mengakui beliau terpaksa menjawab setiap dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya ketika ini walaupun tidak selesa berbuat begitu.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyedari beliau tidak boleh terus berdiam diri apabila ada pihak menuduhnya sebagai seorang pengkhianat dan melakukan perkara tidak betul.

"Saya kata ini (dakwaan dan fitnah) tidak boleh jadi, kerana saya ada maruah dan harga diri.

"Saya tidak buat macam Najib buat. Beliau sudah melakukan banyak kesalahan tetapi cara Najib cakap itu macam beliau tidak buat apa-apa kesalahan.

"Sebab itu, saya ambil kesempatan untuk menjelaskan sekarang. Bukan saya kata sengaja hendak berbuat begitu, tetapi masanya sudah tiba untuk respons kepada tuduhan-tuduhan, fitnah dan macam-macam perkara palsu terhadap saya.

"Saya bukan begitu. Ramai orang tahu saya tidak rasuah, tetapi kamu (Najib) rasuah,” tegasnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengakui beliau kadangkala terfikir, tindakan memberi reaksi balas terhadap setiap dakwaan Najib dan Ahmad Zahid hanya membazirkan masa.

Ujarnya lagi, tindakan sebegitu mungkin sekadar menarik minat pihak tertentu termasuk media untuk melihat beliau terus ‘bergaduh’ dengan segelintir pemimpin ‘kluster mahkamah’.

"Saya tidak fikir tindakan saya itu luar biasa. Kalau ada tuduhan dan fitnah terhadap saya yang tidak berasas, saya kena jelaskan. Itu yang saya buat sekarang,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca