PKR yang terdahulu mengalah apabila memutus untuk tidak bertindak balas terhadap keputusan Muda bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, hanya sekadar mampu mengurut dada dan menahan amarah.
Enam kerusi telah diserahkan oleh DAP dan Amanah tidak cukup untuk memuaskan hati Muda.
Sebaliknya, Muda juga turut menuntut PKR menyerahkan kerusi kepadanya. Keengganan PKR menyerah kerusi yang telah membuat Muda mengambil keputusan untuk meletakkan calon di DUN Larkin yang turut ditandingi oleh PKR.
Sebagai sebuah parti yang belum pun berumur empat bulan dan baru muncul di persada politik, Muda wajar muhasabah diri mengukur baju di badan sendiri.
Muda sepatutnya terlebih dahulu memperbaiki kelemahan dan kekurangan serta memantapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum, bukannya serakah menuntut kerusi hanya kerana ghairah hendak bertanding.
Enam kerusi asal yang diserahkan DAP dan Amanah kepada Muda adalah satu permulaan yang baik dan boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh mana Muda diterima pengundi, khususnya dalam meraih undi pengundi baharu dan muda.
Muda tidak sedar bahawa kelahirannya berbeza dengan PKR. PKR lahir daripada gelombang reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 September 1998.
Wadah perjuangannya berputik dari keringat anak-anak muda yang membanjiri jalan tanpa rasa gentar menuntut reformasi dan keadilan.
Anak-anak muda ini meluncurkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Pergerakan Keadilan Sosial sehingga lahirnya Parti Keadilan Nasional.
Ia kemudiannya dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (selepas penggabungan dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia).
PKR telah melalui ranjau dan sepak terajang politik dan mengharungi pelbagai onak dan cabaran sepanjang jalan politiknya.
Malangnya, Syed Saddiq sudah lupa jasa Pakatan Harapan (PH) yang menjadi bidan membantu kelahiran Muda. Justeru itu, tidak hairanlah, PKR (lebih dari DAP dan Amanah), rasa terkilan dan terguris, apabila Muda tidak menghiraukan setiakawan demi kepentingannya.
Apapun, PH dan khususnya PKR boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada episod ini.
Eloklah PH sedar bahawa Muda tidak wajar diajak jadi rakan kongsi politik. Malah tidaklah keterlaluan untuk menyatakan Muda akan terus dengan tuntutannya yang pelbagai.
PH perlu sedar bahawa jika Muda boleh mengambil keputusan untuk bertembung dengan PKR, tanpa mengambil kira perasaan dan semangat setiakawan, tidak ada apa yang akan menghalang Muda untuk berbuat sedemikian kepada yang lain.
Mungkin Muda menganggap ‘hits’ yang diterima dalam Facebook Live, Instagram dan Tik-Tok adalah petanda pengundi telah menerima dan menyokong mereka.
Hakikatnya, berkicau dan bercanda di alam maya berbeza dengan realiti bertempur di medan yang sebenar.
Selain Larkin, Muda akan bertanding di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
*Norman Fernandez ialah seorang peguam dan penulisan ini adalah pandangan peribadinya semata-mata.
Klik di sini untuk terus membaca