MUKADIMAH: Bahang persaingan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki pusingan hari penamaan calon dan kempen pilihan raya bermula Sabtu, kini masuk ke fasa kempen rasmi. Pada saat tumpuan lebih terarah kepada parti mana... Klik di sini untuk terus membaca

MUKADIMAH: Bahang persaingan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki pusingan hari penamaan calon dan kempen pilihan raya bermula Sabtu, kini masuk ke fasa kempen rasmi.

Pada saat tumpuan lebih terarah kepada parti mana yang mampu mengekang dominasi UMNO-Barisan Nasional (BN) pada PRN yang akan berlangsung pada 12 Mac nanti, Perikatan Nasional (PN) pula tampil lebih bersedia dan kelihatan agresif.

Diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, anak Johor yang pernah memimpin negeri itu selaku Menteri Besar selama 10 tahun, PN menaruh keyakinan aura ketokohan beliau akan memacu kemenangan PN pada PRN Johor.

Bagi menyelami luahan sanubari tokoh yang pernah mendapat gelaran 'Abah' ketika beliau menjadi Perdana Menteri, serta menyingkap kisah beliau dilantik serta dijatuhkan oleh mereka yang menyokongnya sebelum ini selain percaturan strategi PN bagi mendepani PRN Johor, Sinar Premium sempat mencuri masa mewawancara beliau di Muar baru-baru ini.

Ikuti wawancara eksklusif ini yang dikendalikan oleh PENGARANG BERITA, ZAMRI RAMBLI dan WARTAWAN KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN.

SINAR PREMIUM : Bagaimana pentingnya PRN Johor ini kepada Tan Sri dan juga Perikatan Nasional (PN) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?

MUHYIDDIN : Saya merupakan Presiden Bersatu, Pengerusi PN Pusat dan negeri Johor. Jadi asas penubuhan parti adalah bermula di sini. Kalau ikutkan penubuhan Bersatu pun bermula di Johor, begitu juga penubuhan PN untuk pertama kali selepas Melaka dan Sabah. Pastinya ini satu keadaan yang agak istimewa kerana kita akan menguji tahap sokongan dan penerimaan pengundi atau rakyat Johor terhadap apa yang kita perjuangkan sebagai PN iaitu gabungan parti-parti Pas, Bersatu dan Gerakan yang pastinya telah pun terjalin amat baik sekali.

Pas dan Bersatu sudah muzakarah baru-baru ini, ada bersefahaman dan kerap mengadakan mesyuarat. Ini untuk membentuk satu kesatuan dari segi semangat, kerja dan sebagainya. Sebab itu bila kita berhadapan dengan situasi di Johor, saya nak melihat bagaimana sambutan rakyat terutama selepas mereka melihat apa yang telah pun saya lakukan sewaktu saya menjadi Perdana Menteri dan saya memimpin negara atas PN. Wadah yang kita perjuangkan, usaha yang telah pun kita lakukan, ibadah yang kita laksanakan, bantuan yang telah pun kita keluarkan. Pertolongan untuk menyelamatkan nyawa rakyat kerana terkesan dengan masalah Covid-19.

Pembelian vaksin yang lebih mencukupi kepada rakyat. Kemudian usaha yang telah saya laksanakan untuk membantu kehidupan rakyat. Sejumlah lebih RM530 bilion dalam pakej rangsangan telah memanfaatkan hampir sebahagian rakyat Malaysia. Jadi saya nak melihat sejauh mana langkah yang saya telah ambil ketika itu.

Walaupun saya tidak lagi memimpin sebagai Perdana Menteri, adakah ketokohan dan aura selaku pemimpin Johor yang lama memberi kesan kepada rakyat Johor? Mungkin mereka tak endah langsung. Atau mungkin mereka memberi satu kefahaman bahawa oleh kerana saya memimpin PN, Bersatu, PRN Johor merupakan ruang dan peluang terbaik bagi mereka menunjukkan sokongan terhadap usaha baik saya lakukan. Kita harap mereka akan suka dan sokong saya, serta menyokong calon-calon yang saya letakkan dalam PRN Johor. Jadi itu signifikan yang saya fikir akan dinilai oleh rakyat di Johor.

Sewaktu menjadi Perdana Menteri, Tan Sri berjuang melawan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sehingga kita memperoleh vaksin. Kemudian pada saat negara menuju fasa pemulihan, Tan Sri dijatuhkan dan hasilnya dituai oleh orang lain. Apa komen Tan Sri?

Tidak mengapa asalkan hasil itu baik untuk rakyat. Saya lakukan semua itu bukan untuk diri saya pun. Tetapi apa-apa pun langkah yang saya ambil pada waktu itu ialah untuk memberi perhatian ataupun keprihatinan terhadap nasib rakyat. Zaman susah, pandemik Covid-19, tak pernah ada rekod sejarah lampau oleh pemimpin terdahulu yang menjadi Perdana Menteri, menghadapi masalah sepertimana saya hadapi. Keduanya ialah kerana meruntuhkan situasi sosioekonomi, pendidikan negara dan tidak ada seorang pun terkecuali kepada permasalahan ini. Jadi bagi saya itu amanah sebagai Perdana Menteri.

UMNO dan Pas antara terawal datang berjumpa saya untuk dijemput menjadi Perdana Menteri. Bukan saya yang minta kalau tidak kerana sokongan daripada mereka. Sewajarnya kalau perjuangan mereka ini adalah untuk membela nasib rakyat, mereka tak lakukan apa yang mereka lakukan kepada saya. Itu menunjukkan soal tahap kerakusan kuasa. Nak merebut kuasa dan tak fikir soal nasib rakyat.

Waktu itu saya dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, atas dasar saya tidak mempunyai bilangan sokongan majoriti ahli Parlimen, bukan hasil pilihan raya. Pilihan raya dah selesai. Yang menyokong saya ialah parti-parti yang saya sebutkan tadi dan dalam keadaan yang sukar. Kalau difikirkan soal itu sewajarnya UMNO tidak mengambil apa-apa langkah.

Apatah lagi untuk menarik sokongan sehingga saya jatuh sebagai Perdana Malaysia. Ini kerana tugas belum selesai. Nasib rakyat, nyawa dan kehidupan. Siapa pun yang waras pemikiran, akan berfikir biarlah dia terus bertugas. Malangnya disebabkan politik, kerana muslihat tertentu mereka, maka saya jatuh.

Tetapi tidak bermakna rakyat tidak nampak usaha saya menguruskan Covid-19 di mana keputusan saya berjaya meletakkan Malaysia antara negara yang ke hadapan dalam dunia dalam mendapatkan bekalan vaksin.

Sedangkan negara lain masih terkial-kial untuk mendapatkan bekalan yang mereka perlukan. Banyak juga negara jiran yang minta tolong dengan kita sedangkan kita adalah negara kecil. Kenapa? Ini kerana strategi, tindakan serta keputusan yang telah saya buat tepat.

Saya buat kerja kerana amanah diberikan kepada saya. Kalau gagal, maka saya gagal. Kalau menteri tak buat kerja, saya gagal. Saya kena tetapkan pembelian (vaksin), bayar apa yang perlu. Sehingga lebih RM4.3 bilion disalurkan bantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan peruntukan yang terbesar dalam sejarah.

Kesan daripada itu, walaupun saya tidak lagi memimpin negara, pencapaian itu masih lagi berterusan. Sehingga hari ini, Malaysia sudah mencipta rekod antara negara yang memiliki peratusan rakyat terbesar yang sudah disuntik vaksin di dunia. Pengurusan ekonomi kita juga pulih agak cepat kerana saya terpaksa membuat keputusan mengimbangi antara usaha untuk menangani Covid-19 dengan usaha memulihkan kehidupan rakyat dari segi sosial, pendidikan apatah lagi ekonominya. Semuanya terkesan jatuh miskin. Dari M40 sudah turun kepada B40. Dari B20 jadi B60. Ini kesan-kesan besar.

Tak apa orang lain dapat nama. Tetapi rakyat tentu dapat menilai. Kerajaan mana yang bertindak cepat menangani masalah tersebut. Saya bukan nak cari nama, tetapi rekod tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun. Padam sekalipun nama saya memang sudah ada di situ. Tetapi malang sekali UMNO tidak melihat soal itu. UMNO hanya melihat soal kuasa.

Faktor dan legasi Muhyiddin di Johor dijangka dapat memikat pengundi negeri itu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

UMNO dan Pas yang pilih Tan Sri untuk menjadi Perdana Menteri sewaktu peralihan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada PN. Jadi, bagaimana Tan Sri ditekan oleh segelintir mereka ini sehingga akhirnya membawa kepada kejatuhan Tan Sri?

Seperti saya sebutkan awal tadi memang ada sejarah. Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) pun sebenarnya pernah menjelaskan cerita di sebalik bagaimana saya menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. Rakyat tak tahu apa sebab. Macam saya, tahulah sedikit sebanyak sejarah pergolakan dalam PH dan sebagainya menyebabkan beliau membuat keputusan sedemikian. Begitu juga Bersatu, mesti suatu hari kita perlu keluar daripada PH kerana tak selari dengan perjuangan parti. Ada masalah-masalah dalam PH yang tak sokong dasar kita. Orang Melayu tak terima kalau kita bersekongkol dengan koalisi sebegitu, akhirnya kita keluar.

Bila Tun Mahathir berhenti, jadi timbul krisis Perlembagaan, kepimpinan negara. Adakah waktu itu saya sudah plan (rancang) komplot menjadi Perdana Menteri? Tidak ada. Tak pernah. Adakah anda pernah dengar saya berbelanja beratus-ratus juta jadi PM? Tidak ada.

Tetapi dari segi zahirnya, ada usaha dibuat pemimpin-pemimpin daripada Pas, UMNO dan Bersatu waktu itu supaya kita bentuk satu perikatan baharu yang saya namakan PN untuk menyelamatkan keadaan.

Walaupun saya tahu ada orang istilahkan PN kerajaan tebuk bumbung, tebuk tupai dan macam-macam istilah lain. Tetapi ini berdasarkan Perlembagaan (Persekutuan), berdasarkan undang-undang negara. Saya dah pun dicabar di dalam mahkamah, ditolak kerana ini lantikan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada Perlembagaan dan saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jadi tak boleh dipertikaikan. Bagi saya itu wajar.

Malangnya kerana saya tidak tunduk kepada tuntutan mereka (saya dijatuhkan). Ini saya dah sebut berbulan-bulan. Ada orang nak buat angkat sumpah laknat sebab menafikan (dakwaan minta bantuan ketepi kes mahkamah). Akal fikiran saya masih tajam. Saya masih ingat ada saksi. Ada Tuan Guru Haji Hadi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimana Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) datang jumpa saya dengan failnya bertimbun-timbun. Banyak kes minta tolong saya campur tangan, "Tan Sri tolonglah bantu". Saya dengan ikhlas mengatakan "kalau you tak bersalah Zahid, apa nak takut. Biarlah pergi ke mahkamah. Esok kes itu akan dibuang. Awak akan keluar tak ada apa".

Yang lain ada juga. Datuk Seri Najib (Tun Razak) pun ada jumpa saya. Ada bercerita berkaitan kesnya. Saya pun beritahu "Minta maaf, tak boleh". Jadi saya fikir itu antara sebab saya dijatuhkan. Bukan semua pemimpin UMNO ataupun ahli Parlimen bertindak sedemikian. (Perdana Menteri) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak buat begitu. Dalam kabinet saya pun tidak buat begitu. Tetapi kelompok 15 ahli Parlimen UMNO yang membuat keputusan tak nak sokong saya. Jatuhlah saya.

Di mana silap saya? Silap saya kerana tak campur tangan. Silap saya kerana memikirkan soal prinsip lebih tinggi. Itu silap saya. Tetapi bagi saya itu bukan kesilapan, itu satu hak yang sewajarnya saya pertahankan. Prinsip itu sebagai sebuah pemimpin dan ketua kerajaan tak boleh saya korbankan. Tak apalah. Bagi saya ini politik. Kalaulah sebab perbuatan, tindakan saya, saya tersungkur, jatuh macam saya ditendang keluar sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana saya membangkitkan isu yang paling besar, kes 1MDB ketika itu. Sekarang kes 1MDB masih belum selesai di peringkat antarabangsa.

Bukan saya bercakap bohong. Saya teguh. Tetapi malangnya mereka tak menerima teguran saya, maka saya dikeluarkan, dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri. It’s okey. Jadi sejarah Muhyiddin ini bukan naik sehingga mencacak, ada naik ada turun. Bagi saya sebagai seorang manusia, saya terima. Semuanya adalah takdir ALLAH SWT.

Walaupun parti yang menjatuhkan Tan Sri adalah UMNO, tetapi Tan Sri dilihat berjiwa besar untuk memberikan sokongan kepada Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru. Banyak orang sukar memahami keputusan itu. Apa penjelasan Tan Sri?

Ya, keputusan luar biasa. Parti yang menjatuhkan saya, saya angkat orang dia jadi Perdana Menteri. Kenapa? Kerana kepentingan permasalahatan am untuk negara.

Ismail Sabri merupakan Naib Presiden UMNO. Mana pernah Naib Presiden UMNO diangkat jadi Perdana Menteri. Timbalan Presiden UMNO pun tak pernah jadi Perdana Menteri. Tetapi kerana apa? Kerana situasi dan keadaan yang luar biasa.

Keduanya, kebimbangan saya kalau tak dibuat sebegitu, mungkin akan ada orang lain yang sebahagian besar rakyat tak suka, menjadi Perdana Menteri atas kesilapan kita. Saya tak payah sebut siapa. Jadi daripada kita membiarkan keadaan itu ditentukan oleh situasi sebegitu. Jadi saya panggil semua pemimpin kerajaan PN, berkumpul dan mencadangkan supaya ‘Ismail, you jadi Perdana Menteri. I will support you’.

Sebabnya beliau ini dilihat tidak bersekongkol dengan orang yang dikatakan kluster mahkamah. Tetapi tidak mengapa.

Ini soal negara juga. Jadi oleh sebab itu, bagi tujuan mengekalkan setidak-tidaknya hampir 95 peratus kabinet kerajaan yang dahulu saya pimpin itu dalam bentuk kerajaan baru walaupun BN mengetuai, PN sanggup membantu.

Tengok wajah-wajah siapa yang menjadi menteri-menteri tersebut. Hampir lebih kurang 95 peratus sama sahaja. Sebab itu antara perjanjian Datuk Seri Ismail dengan kami. Dia tidak hanya duduk situ begitu sahaja. Ada terma-terma perjanjian yang disepakati. Tetapi itu saya tak akan dedahkan.

Kekalkan Jemaah menteri yang ada. Kekalkan dasar sedia ada. Kalau nak adakan pilihan raya, bincang. Ada beberapa perkara yang saya tak payah dedah. Itu antara persetujuan kami untuk letakkan dia di situ. Sebabnya kalau tidak, nak letakkan orang lain seperti Datuk Seri Hamzah (Zainuddin), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (menjadi Perdana Menteri), semua ini orang saya. UMNO yang sebelah sana tak nak sokong. Kalau tak sokong, tak terbentuk kerajaan. Letak orang UMNO maka disokong, bentuk kerajaan, teruskan dasar.

Setidak-tidaknya ada sedikit kestabilan. Jadi, itu strategi saya, betul ke salah... Wallahua'lam. Sejarah yang boleh membetulkan. Sebab itu timbul satu pandangan ini luar biasa. Muhyiddin ditumbangkan oleh UMNO tetapi (Perdana Menteri) yang naik kemudiannya UMNO.

Tak apa. I sacrifice. I go. Rakyat jangan terkorban kalau kepimpinan kerajaan itu dalam keadaan terumbang-ambing, krisis yang berlarutan, mana lah tahu dia akan ambil masa siapa yang akan jadi pengganti dan sebagainya. Setidak-tidaknya Putrajaya masih ada bersama kita walaupun bentuk kerajaan agak berbeza. Jadi sehingga hari ini kita sokong Ismail atas dasar begitu.

Tetapi sampai masa yang sesuai, bila keadaan sudah agak baik dan boleh diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), maka elok kita bagi semula mandat kepada rakyat. Rakyat pilih semula. Jadi situasi ini hanya untuk sementara. Jadi bila PRN di Johor ini kita lawan UMNO. Di peringkat kerajaan Pusat, kita bersama UMNO. Memang unusual. Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebegitu.

Sebab situasi luar biasa inilah saya lawan. Bermati-matian nak menentang supaya UMNO kalah di Johor. Tetapi kalau kerajaan Pusat, tak apa. Untuk kepentingan kerajaan dan rakyat, kita biarkan begitu. Sehingga satu keadaan akan berubah, maka situasi politik akan berbalik dalam keadaan normal. Ketika itu kita akan lihat ada pembangkang, kerajaan dan sebagainya. Itu sebab saya ambil langkah sebegitu dan inilah yang kita lihat pada hari ini.

Tan Sri, parti-parti politik datang ke PRN Johor dengan menjadikan PRN Melaka menjadi rujukan. Berdasarkan situasi itu, UMNO yakin bahawa mereka akan bangkit sama seperti kejayaan di Melaka. Jadi bagaimana PN nak menghalang kebangkitan BN di Johor dan mendapatkan kuasa?

Ya. Mungkin banyak orang membuat PRN Melaka itu iktibar dan perbandingan. Semua pihak ada menganalisis situasi. Kami pun ada menganalisis. Walaupun kita tak berjaya mendapat bilangan kerusi lebih dua DUN pada PRN Melaka, tetapi hakikatnya ramai penganalisis politik menilai PN tidak kalah dari satu sudut kerana sokongan yang terbesar yang didapati antara parti-parti adalah kepada kami. Sehingga kekalahan kita hanya di kerusi-kerusi marginal sahaja. Kalah perbezaan majoriti 100, 200 dan 79 undi di satu-satu kawasan.

Kemudian di kawasan DUN ditandingi (Pengerusi PN Melaka) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kita hanya kalah perbezaan 300 undi. Jadi dalam satu sudut di mana PN pertama kali bertanding PRN Melaka, prestasi kita boleh dikatakan menggalakkan.

Ada penganalisis kata kalau tiga penjuru di Melaka, kesannya adalah kita tidak boleh dapat jumlah kerusi yang banyak. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) pun banyak yang kalah. Kalau dia ulang sebegitu rupa di Johor, banyak yang berkata kedudukannya ialah BN pastinya akan menang. Itu realitinya. Tetapi saya tidak mengatakan itu tidak betul. Mungkin kalau begitu keadaan. Tetapi senario di Johor dan keadaan di Melaka tidak sama.

Saya bukan daripada Melaka, saya daripada Johor. Kalau ada penganalisis yang buat analisis. Mereka lihat saya dari aspek ketokohan kepimpinan. Saya bukan nak membanggakan diri. Ini realiti. Tanyalah kajian pusat politik yang mengatakan faktor Tan Sri Muhyiddin di Johor mampu membantu kemenangan PN.

Saya jelaskan begitu kerana pengaruh kesan dan tarikan rakyat Johor terhadap kepimpinan saya sejak zaman dahulu sehingga sekarang masih lagi tinggi. Lebih 30 peratus.

Mungkin pembangkang dengar ini, mereka akan herdik saya. Kata saya nak mengangkat diri. Tidak. Tanyalah penganalisis. Walaupun seolah-olah berlaku pertembungan tiga, empat,lima hingga tujuh penjuru pada PRN Johor. Tetapi saya masih yakin pemikiran pengundi Johor ini sedikit berbeza terhadap PN dan lain-lain parti berpandukan situasi berlaku sekarang ini.

Keduanya, kita perjelaskan isu-isu umum supaya implikasinya lebih terkesan. Sebagai contoh masalah yang dihadapi oleh negara. Orang kata apa hal isu negara berlaku di Kuala Lumpur ada kaitan dengan Johor. Johor tidak ada masalah.

Tidak. Ia ada kaitan. Kuasa penentu politik di Johor ditentukan oleh orang Kuala Lumpur yang dipimpin oleh UMNO iaitu Presidennya, Zahid Hamidi. Sebab itu bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan, ia bukan kehendak orang Johor. Arahan daripada sana (Kuala Lumpur), dipersembahkan kepada Sultan Johor, DUN terbubar. Realitinya tak perlu.

Tapi beliau buat begitu kerana di Pusat, UMNO mahu melihat selepas Melaka, Johor mungkin peroleh keputusan sama. UMNO akan menang. Jadi apa pun situasi, bagi saya itu realiti politik dan saya pun sudah membuat analisis dengan kita akan menyampaikan mesej lebih mendalam.

Kita akan jelaskan sama ada rakyat nak kepimpinan UMNO diteruskan untuk menerajui negeri dan juga negara pada masa hadapan di mana kita akan berhadapan dengan risiko besar. Imej negara dah rosak. Isu 1MDB belum selesai. Kerugian dan skandal-skandal yang berlaku masih lagi berlarutan. Isu Felda yang tidak dibantu, telah saya selesaikan dengan jumlah berbilion-bilion ringgit, termasuk masalah Tabung Haji. Jadi yang penting untuk kita nak tanamkan dalam pemikiran orang Melayu khususnya di Johor kerana ketika ini asas kelahiran UMNO tertubuh di sini.

Ya, saya tidak nafikan kerana saya lahir daripada UMNO di Johor. Tetapi keadaan sudah berubah. Jadi mampukah kita untuk sampaikan mesej kepada pengundi Melayu dan bukan Melayu di sini tentang situasi negara sekarang ini? Kalau di Johor ada kesedaran, maka keputusan tak sewajarnya serupa di Melaka. Tetapi saya tahu ada cabaran besar. Kita kena turun, asak, cerita di banyak tempat di Johor. Saya ada turun di Parit Jawa dan Kota Tinggi baru-baru ini dan sambutan agak baik. Saya tak kata itu petanda kita akan menang. Tetapi respons orang mendengar itu lebih daripada yang saya jangkakan.

Saya fikir jika ada perubahan sikap sepanjang kempen dua minggu, keadaan pastinya akan berubah.

Sama sewaktu dalam PH, saya pernah berada dalam keadaan sebegitu. Mula-mula penganalisis kata kalah. Tetapi selepas itu bila digerakkan kempen-kempen ke seluruh negara, gelombang tsunami politik berlaku dan saya harap di Johor pun akan ada gelombang. Saya sudah mula lakukan supaya mesej itu sampai, jangan sejarah berlaku di peringkat pusat berulang di peringkat negeri.

Masalah Johor untuk bangkit semula bukan mudah, memerlukan kepimpinan yang amanah, bertanggungjawab dan berwawasan. Jadi ini usaha-usaha yang sudah dimulakan dan kita akan meneliti reaksi serta respon orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Jadi kalau rakyat memahami perkara itu saya fikir akan ada perubahan.

Bagaimana Tan Sri melihat dengan kehadiran 750,000 pengundi baharu termasuk 200,000 pengundi 18 tahun hingga 21 tahun. Adakah mereka boleh memahami aspirasi atau jasa-jasa Tan Sri sebelum ini yang akhirnya boleh membawa kepada perubahan kepimpinan negeri Johor?

Itu satu daripada fakta dan faktor yang kita ambil kira. Saya kira bukan kita sahaja tetapi semua parti-parti lain yang bertanding pun perlu meneliti kecenderungan aliran sokongan 700,000 hingga 800,000 pengundi muda 18 tahun ke atas dan mereka yang tidak tidak mengundi dulu yang secara automatik menjadi pengundi.

Itu ada dalam data kita, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan keluarkan semua sekali dan kita akan meneliti siapa mereka, di mana mereka dan bagaimana hendak menghubungi mereka supaya mereka mengundi dan sebagainya. Saya fikir kalau dengan kumpulan anak-anak muda, mereka perlu didedahkan dengan lebih banyak maklumat dan mereka ini begitu sebati dengan media sosial. Mereka baca, malah mereka lebih tahu berbanding saya sebagai orang lama untuk menilai apakah maklumat-maklumat itu benar atau palsu dan sebagainya.

Jadi ini antara perkara yang perlu kita usahakan bukan sahaja di peringkat kita (PN) tapi di peringkat parti lain juga ada usaha mereka, hubungi untuk menembusi pemikiran pengundi muda supaya mereka tahu menggunakan hak, sudah ada hak untuk mengundi, eloklah mengundi.

Kalau dahulu tidak boleh untuk mengundi. Kemudian ada kumpulan dekat 500,000 pemilih tidak pernah mengundi sama ada yang tua atau sebagainya dan sekarang ini sudah ada dalam daftar pemilih, elok juga mereka keluar mengundi. Satu daripada perkara yang kita lihat penting dalam pilihan raya ini sebagaimana berlaku di Melaka adalah peningkatan dari segi pengundi keluar mengundi.

Ada yang unjurkan hanya lebih kurang 61 peratus, 61 peratus itu jumlahnya baik, tapi kalau boleh naik kepada 65 peratus hingga 70 peratus itu lebih baik. Lagi besar pengundi keluar, maka lebih menguntungkan kita kerana pengundi keluar ini terdiri daripada kumpulan-kumpulan tadi yang saya fikir ada pemikiran mereka sendiri dan sebagainya.

Jadi sebab itu cara dan bagaimana strategi kita perlu diambil kira untuk memastikan faktor ketidaktentuan arah mana mereka hendak sokong. Macam kawasan Parlimen saya di Pagoh, ada tambahan lebih kurang 16,000 pengundi iaitu 25 peratus daripada pengundi yang sedia ada. 16,000 pengundi itu jumlah yang besar, boleh ke kiri atau ke kanan, boleh menentukan kemenangan atau pun kekalahan. Jadi mereka faktor penentu selain daripada pengundi yang telah sedia ada. Jadi, semua kita sudah kesan.

Muhyiddin (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama krew Sinar Harian selepas sesi wawancara eksklusif bersama beliau di kediamannya di Muar, Johor. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Kemenangan Bersatu pada PRU14 banyak dibantu oleh sokongan pengundi Cina, namun kali ini senario berbeza di mana PN masih bergelut mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu pada PRN Johor. Sejauh mana keyakinan Tan Sri bahawa pengundi bukan Melayu akan ‘swing’ kepada PN?

Itu realiti yang saya fikir saya tidak boleh nafikan. Apa yang saudara cakap itu tepat. Kalau ambil kira PRU14 , sekarang ini senario berbeza. Dulu atas platform PH yang bertanding dulu, kita peroleh undi Cina. Sekarang ini atas platform baharu PN, keadaan tidak sama dan faktor penentu antara lain sokongan pengundi-pengundi Melayu satu, Cina, India dan lain-lain memainkan peranan.

Memang betul kita berhadapan dengan cabaran besar untuk menarik sokongan orang Cina. Itu satu daripada perkara bukan sahaja baharu dihadapi, bahkan sejak awal penubuhan PN, kefahaman mereka tentang parti kita ini baru. Kita diuji di Melaka, walaupun baru tapi tidak mengatakan kita tidak mendapat sokongan. Di Johor begitu juga dan ada tradisi tersendiri. Salah satunya UMNO tertubuh di Johor, keduanya MCA dan parti komponen dalam BN pun ada pengaruh masing-masing.

Jadi saya melihat itu satu cabaran besar bagi kita, boleh tidak saya pengaruhi Cina untuk menerima PN sebagai sebuah kerajaan? Apa yang kaum Cina mahukan? Mereka sebutkan tentang kestabilan, pasal selama ini mereka melihat situasi negara ini tidak stabil, politik tidak stabil, ekonomi tidak stabil. Mereka berniaga dan mereka hendak dapat untung supaya ada pulangan daripada pelaburan mereka.

Jadi bolehkah kita bagi jaminan dan yakinkan mereka bahawa tertubuhnya PN sebagai sebuah kerajaan, macam contoh sewaktu di peringkat (kerajaan) Persekutuan, kalau pun di Johor ia akan memberikan kesempatan untuk kita bentuk kerajaan yang stabil, yang pro-perniagaan, yang boleh bawa apa yang mereka mahu sebagai contoh, selain daripada lain-lain aspek daripada pendidikan, sosial, alam sekitar, pekerjaan dan sebagainya.

Jadi banyak perkara yang saya fikir boleh kita perhalusi. Jadi strategi kita adalah tumpu kepada apa minat pengundi Cina ini? Bolehkah PN bagi jaminan? Terpengaruhkah mereka dengan jaminan kita?

Ini fakta yang kita perlu nilai, yang mana kita lakukan sekarang ini, buat penilaian. Ada peningkatan sokongan? Macam mana bentuk peningkatan? Atau pun berlaku penurunan? Ini dalam mana-mana pilihan raya memang kita ambil kira faktor kelompok pengundi tertentu supaya kita dapat faham. Tapi benar, saya tidak nafikan ia merupakan cabaran terbesar kita.

Namun sekarang situasi berubah di mana kami bergabung dengan parti-parti yang mewakili orang Cina. Sekarang ini bukan mewakili orang Cina sahaja, ada Pas, Gerakan. Jadi semua ini ada pengaruh-pengaruh tertentu tapi bagaimana dalam kempen, mesej yang kita hendak sampaikan termasuk manifesto kita dan sebagainya boleh meyakinkan mereka bahawa kita juga boleh tawarkan kerajaan yang baik. Itu penting bagi kita dan kita sudah mula laksanakan.

Tan Sri sebut tentang jaminan, jadi untuk PRN Johor, apa jaminan, tawaran dan janji untuk orang Johor daripada PN?

Saya sudah sebutkan, pasti yang pertama kita hendak menjanjikan sebuah kerajaan yang bersih. Saya tidak tahu parti lain boleh jamin atau tidak bersih, pasal rekod kami bersih. Kalau parti lain kata boleh jamin mereka bersih sedangkan rekod mereka tidak, adakah orang akan percaya?

Jadi penting sebuah kerajaan yang baik dan tadbir urus yang baik terbentuk. Tidak ada rasuah, saya sudah beritahu sebelum ini bahawa semua calon saya ini sudah angkat sumpah, bukan sumpah laknat, tetapi ikrar sumpah bahawa mereka tidak akan terlibat dalam segala bentuk perbuatan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

Itu kita sudah buat di Melaka, kita buat lagi di Johor. Itu sebagai satu bukti kesungguhan kita untuk menentang rasuah, tidak akan terlibat dalam salah guna kuasa. Bagi saya itu penting. Rakyat tidak boleh kata itu biasalah, tapi langkah itu tidak biasa. Kalau terus berlaku macam di Kuala Lumpur dengan perbuatan-perbuatan sebegitu, maka situasi ini boleh merosakkan negeri dan negara.

Jadi, yang keduanya kita sedang siapkan manifesto yang akan dilancarkan sama ada pada 1 atau 2 Mac, bagi menawarkan tawaran baharu untuk rakyat Johor. Kita akan menyentuh soal mempercepatkan proses pembangunan dan pemulihan ekonomi negeri. Itu antara satu faktor yang paling penting. Sejauh mana kita boleh memulihkannya, melalui inisiatif pembukaan sempadan negara dengan Singapura.

Ini penting supaya orang Singapura dan Malaysia boleh berurus niaga, melawat dan sebagainya. Banyak perkara penentu atau indikator yang akan kita lihat, peluang pekerjaan anak-anak kita ramai yang tidak ada kerja atau pun bekerja tetapi gaji rendah, tidak mampu hendak menyara keluarga.

Bolehkah kita hendak bagi jaminan dalam tempoh lima tahun, katakanlah kita boleh mewujudkan 200,000 ke 300,000 peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak Johor dan isu-isu perumahan yang biasa dihadapi? Bagaimana jaminan kita untuk menentukan bahan-bahan makanan mencukupi supaya harga pasaran stabil?

Isu pokok dihadapi sekarang ini adalah masalah kos sara hidup, barang mahal, harga ayam tinggi, semuanya. Kita mendengar orang bercakap bagaimana cara hendak minta jaminan saya supaya kalau PN naik, harga barang turun?

Saya kata jangan ulang apa yang UMNO cakap. (Datuk Seri) Ahmad Maslan pernah bercakap kalau sebab begini harga turun, sebenarnya ia ada faktor-faktor penentu kenapa harga naik dan apa sebab harga boleh turun, bekalan dan permintaan kita ambil kiralah dan lain-lain lagi kerana sebahagian besar bahan-bahan yang kita gunakan adalah bahan import.

Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh dunia, harga barang di seluruh dunia pun meningkat naik. Jadi kita membawa masuk inflasi dalam negara kita. Jadi, banyak perkara perlu dibuat bagi menangani soal itu, terutama bagaimana usaha untuk rakyat boleh hidup dengan lebih baik.

Pendapatan mereka boleh naik atau tidak? Kalau gaji mereka RM2,000 hingga RM3,000 tidak cukup, hendak bagi kepada RM5,000 bagaimana caranya. Kalau dia peniaga kecil, dulu dia berniaga biasa, boleh atau tidak dia buat perniagaan dalam talian supaya perniagaan boleh meluas.

Jadi, saya ada semua ini dalam pemikiran saya. Berdasarkan pengalaman saya di Putrajaya dan di Johor suatu ketika dahulu, kita akan gunakannya bagi merangka satu pelan pembangunan, ekonomi dan sosial Johor yang lebih mampan, di mana rakyat Johor akan duduk dalam keadaan yang lebih terjamin, pendapatan yang lebih baik, penduduk yang lebih sejahtera.

Adakah konflik peperangan Rusia-Ukraine yang berlaku di Eropah ketika ini akan memberi kesan kepada Malaysia?

Kita mengambil perhatian serius apa yang berlaku, Kita harus beri pandangan yang tegas kerana dalam keadaan sekarang ini pun sudah banyak masalah. Ekonomi dunia pun tidak sebaik mana, Covid-19 masih belum selesai, bila ada peperangan ia akan menambahkan lagi masalah, ia membebankan lagi kesannya bukan sahaja di Eropah tetapi di seluruh dunia.

Dua kuasa besar yang bergaduh sehingga berlaku peperangan, jadi limpahan daripada permasalahan itu akan sampai ke negara kita, negara-negara lain juga. Mungkin selepas itu ada sekatan perdagangan yang menyebabkan kita tidak boleh berniaga. Jadi, ini kesan kepada kita.

Jadi, bagi saya, Malaysia harus pandang berat, bukan setakat menyuarakan tapi mesti ada satu langkah yang proaktif macam dalam ASEAN, pendirian kita perlu bersama kelompok negara-negara ASEAN, bukan hanya sekadar berdiri sendiri tapi menyatakan pendirian bersama gabungan kita. Malaysia juga kena mempengaruhi negara lain yang mempunyai hubungan dengan kita, supaya mereka menentang segala bentuk pencerobohan yang sepatutnya dielakkan kerana bahayanya adalah semua masyarakat antarabangsa akan terkesan dengan apa yang berlaku di sana.

Kalau sekiranya UMNO-BN meneruskan dominasi kemenangan sebagaimana PRN Melaka, terdapat kemungkinan besar mereka akan mendesak supaya PRU15 diadakan segera. Sejauh mana Tan Sri berkeyakinan bahawa Perdana Menteri hanya akan melaksanakan PRU15 pada waktu bersesuaian dan bukan atas desakan pihak tertentu?

Antara perjanjian yang PN lakukan dengan Datuk Seri Ismail Sabri adalah untuk menentukan tarikh PRU15 mesti dirundingkan dengan kita, walaupun kuasa prerogatif adalah Perdana Menteri jika ikut Perlembagaan.

Tetapi kalau beliau berada di sini kerana sokongan kami, maka sewajarnya ada perbincangan bilakah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya secara bersama. Tetapi itu soal sudut hubungan kita dengan beliau. Namun beliau berkemungkinan berhadapan dengan masalah dalaman parti.

Apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diadakan bulan hadapan, mungkin sebarang keputusan memihak kepada UMNO akan mereka gunakan untuk mendesak Perdana Menteri supaya mencepatkan pilihan raya.

Jadi adakah dengan sebab itu, Perdana Menteri akan tunduk kepada tekanan itu? Atau pun beliau akan ambil pertimbangan lain termasuklah berbincang dengan kita? Jadi ini antara perkara-perkara yang mungkin umum orang tidak mengetahui.

Ia harus diteliti dan dilihat dengan pelbagai kaedah. Mungkin pilihan raya tidak boleh dielakkan, namun soalnya masa bila? Bagi saya, PRU15 itu perlu diadakan memandangkan ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik yang masih berlaku sekarang ini menyebabkan para pelabur masih menunggu di pintu dan tidak masuk melabur terlebih dahulu.

Perkara ini harus diselesaikan dan jawapannya adalah mandat baru yang rakyat akan beri kepada mana-mana parti untuk bentuk kerajaan. Itu tidak boleh dielakkan, soalnya masa belum sesuai lagi. Tetapi, saya tidak akan meneliti apa muslihat UMNO.

Muslihat UMNO adalah waktu (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi masih presiden, beliau hendak tentukan dalam PRU15 supaya dia boleh kekal (bertanding dan menjadi Presiden UMNO). Saya tidak boleh andaikan apa tujuan muslihat beliau kalau kerajaan pusat dikuasai UMNO, saya tidak mahu ramal.

Tapi pakar-pakar politik boleh ramal kemungkinan-kemungkinan apa sebab dia hendakkan begitu. Saya tidak akan tunduk kepada soal-soal sebegitu, yang penting pertimbangan kita, negara kita, kestabilan politik kita dengan mewujudkan kerajaan yang agak stabil, boleh melaksanakan amanah itu kuncinya.

Tetapi berbalik kepada soal pokok juga, ini soal demokrasi, rakyat nanti akan membuat penentuan siapa kerajaan yang layak. Jadi, itu akan sampai waktunya, ketika bila PRU15 diadakan. Jadi, bukan soal desakan satu pihak, mungkin itu ada tapi ada pertimbangan lain termasuk kami dalam PN perlu ada. Ini kerana PN pendukung kerajaan Pusat dan memiliki sokongan majoriti di peringkat kerajaan Persekutuan dari segi jumlah kerusi. Itu yang saya hendak nyatakan di sini.

'TIDAK APA SAYA DIJATUHKAN KERANA LAWAN KEMUNGKARAN’

Boleh Tan Sri kongsikan apakah bentuk didikan yang mendorong Tan Sri kuat sehingga kini untuk menghadapi sebarang cabaran?

Didikan saya oleh ibu saya, bagi saya sampai sekarang masih saya gunakan sebagai panduan. Pendidikan agama bagi saya penting. Sebagai orang Islam, saya fikir kita tidak boleh lari sebab itu kalau saya lihat sejarah saya pun prinsip itu penting, penentuannya ALLAH SWT, agama tidak boleh diabaikan. Ada soal pokok tentang ini pahala, ini dosa, ini syurga, ini neraka. Sebagai orang Islam dan saya fikir semua orang Melayu-Islam akan fikir sebegitu dan saya sebagai pemimpin mesti berpandu kepada soal hukum. Bukan soal suka atau tidak suka.

Bukan soal saya buat apa yang saya fikir baik, saya buat apa yang ALLAH SWT kata baik. Jadi ini jadi pegangan hidup sayalah sejak dahulu sampai sekarang. Jadi, saya tidak apa-apa selepas dijatuhkan kerana saya pertahankan prinsip benda yang baik. Jika pegangan yang baik itu penyebab saya kalah, tidak apa tapi saya puas hati kerana saya berpegang kepada prinsip yang betul. Perjuangan kita berasaskan kepada kebenaran, kita menentang kemungkaran. Kalau pemimpin itu tidak boleh menegakkan asas-asas yang begitu, rosaklah negara, curi tidak mengapa, halal. Benda yang haram tetap haram, ambil duit orang, makan haram, salah guna kuasa berdosa, tidak amanah.

Kalau itu jadi pertimbangan, jadi tidak jadilah seperti yang berlaku, rasuah berleluasa, pemimpin negara curi dan rompak harta rakyat, ini apa? Saya tidak akan rela buat sebegitu, sebab itu tidak mengapa. Saya tidak jadi Perdana Menteri pun tidak apa tetapi sebagai seorang pemimpin negara, saya tidak boleh hendak biarkan keadaan itu. Saya kena bercakap, tegur dan tindakan buat apa yang saya fikirkan wajar tetapi dengan cara dan bahasa bersesuaian.

Saya tidak dilihat sebagai orang yang ganas, saya seorang yang berhemah tetapi bila orang sebelah sana tidak boleh ditegur, dia buang saya, tidak mengapa. Jadi, ini pegangan saya dan saya fikir wajar, penting dalam konteks hendak menguruskan masyarakat yang agak rumit, kompleks dan kepelbagaian dalam negara kita, ini panduannya.

Tapi kalau sudah dirosakkan oleh masalah yang berlaku dalam UMNO, masalah kes-kes rasuah yang besar, salah guna kuasa. Saya tidak tahu kalau rakyat tidak terkesan dengan itu dan masih kekal dengan menyokong parti sebegitu.

Saya tidak tahu, hairan juga, masyarakat Islam-Melayu takkanlah hendak menghalalkan perbuatan seperti itu kalau kita benar-benar berpandukan cara hidup dan adab budaya Melayu Islam.

Biarlah, tidak mengapalah sesiapa pun yang naik, dia buat juga serupa juga, dia curi juga. Itu pemikiran tidak betul. Saya dididik oleh ibu bapa saya dalam soal agama dengan Johor mengutamakan pendidikan agama Islam sebagai teras.

Sekolah agama Johor sebagai contoh, membolehkan sebahagian besar anak-anak Melayu Johor setidaknya mempunyai asas Islam itu dalam jiwa mereka dan ini harus kita gunakan sebagai panduan kalau kita hendak melihat masyarakat Melayu Islam dan rakyat bukan Islam di negara kita ini maju dan berjaya. Saya tidak fikir soal sebegitu kita boleh abaikan.

Wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Sepanjang sejam berlangsungnya wawancara ini, Tan Sri banyak menyebutkan dua nama sahaja iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid dan Najib. Pada pandangan Tan Sri, adakah ketiadaan dua individu itu boleh memulihkan kembali UMNO?

Tidak. Apabila sebut individu, itu satu perkara namun isu parti pun satu perkara. Sebab isu yang berbangkit adalah mengenai aspek kepimpinan. Itu contoh, takkan saya hendak menyebut semua. Tidak payahlah. Tapi isu besarnya adalah mengenai mereka.

INFO

PROFIL:

Klik di sini untuk terus membaca