MUAR - "Saya kerap menghadap Yang di-Pertuan Agong sewaktu menjadi Perdana Menteri dan meluahkan rasa tidak selesa dipilih tanpa menerima mandat rakyat. "Bagaimanapun Seri Paduka menjelaskan keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk... Klik di sini untuk terus membaca

MUAR - "Saya kerap menghadap Yang di-Pertuan Agong sewaktu menjadi Perdana Menteri dan meluahkan rasa tidak selesa dipilih tanpa menerima mandat rakyat.

"Bagaimanapun Seri Paduka menjelaskan keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk pilihan raya (umum) diadakan kerana masalah Covid-19 dan saya harus bertanggungjawab membela nasib rakyat terkesan.”

Begitulah kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian apabila mengimbau saat mula-mula beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menerajui kerajaan PN pada Mac 2020.

Menurut Muhyiddin, proses pembentukan kerajaan PN melalui sokongan majoriti ahli Parlimen terpaksa dilakukan disebabkan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan secara tiba-tiba.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu mendedahkan kepimpinan Pas dan UMNO bersama Bersatu bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan selain sepakat memilih beliau sebagai Perdana Menteri baharu.

"Untuk menyelamatkan negara daripada krisis (politik dan pandemik Covid-19), kita (UMNO-Pas-Bersatu) bersetuju membentuk kerajaan. Sewajarnya pentadbiran kerajaan PN terus berjalan dan tidak terganggu.

"Malangnya kerana saya tidak tunduk kepada tuntutan mereka (sebilangan pemimpin kluster mahkamah UMNO), saya dijatuhkan. Ini saya dah sebut berbulan-bulan,” katanya.

Setelah menerajui kerajaan PN selama 15 bulan, Muhyiddin yang popular dengan panggilan ‘Abah’ akhirnya meletak jawatan selaku Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021.

Keputusan besar itu dibuat susulan 15 ahli Parlimen UMNO yang diketuai Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Ahmad Dr Zahid Hamidi, menarik sokongan terhadap beliau.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mendedahkan beliau tidak boleh berkompromi untuk campur tangan dalam kes pendakwaan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah walaupun berasa ‘kasihan dan simpati’.

Hal ini kerana beliau berpandangan rakyat akhirnya akan tahu kerajaan PN ada ‘buat kerja di belakang’ dalam mengetepikan kes mahkamah mereka, walaupun beliau tidak berniat mencampuri urusan institusi kehakiman negara.

"Yang mereka minta tolong supaya saya campur tangan dalam urusan mahkamah. Itu antara faktor sebab mengapa saya tidak dapat disokong atas dasar saya tidak mahu tunduk kepada tekanan tidak wajar dikenakan terhadap ketua kerajaan seperti saya.

"Campur tangan dalam urusan mahkamah juga satu perkara tidak akan saya lakukan sampai bila-bila. Sebab itu imej kerajaan PN naik tinggi kerana orang hormat kita. Tetapi atas dasar politik, mereka tarik sokongan tidak mengapa.

"Dalam perjuangan politik ini ada naik dan turun. Tetapi yang penting rakyat kita selamat. Itu pertimbangan yang saya fikir adalah amat wajar sekali saya lakukan," ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca