SEJAK Presiden Vladimir Putin memimpin Rusia, negara itu terlibat dengan isu-isu dalaman dan antarabangsa. Beliau sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri Rusia dan pemangku Presiden selepas Boris Yeltsin mengumumkan peletakan jawatannya... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK Presiden Vladimir Putin memimpin Rusia, negara itu terlibat dengan isu-isu dalaman dan antarabangsa.

Beliau sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri Rusia dan pemangku Presiden selepas Boris Yeltsin mengumumkan peletakan jawatannya pada 31 Disember 1999.

Mengikut perlembagaan Rusia, jika Presiden meletakkan jawatan, Perdana Menteri akan memangku jawatan tersebut.

Putin memangku jawatan itu sehingga beliau memenangi pilihan raya Presiden pada Mac 2000 dan memegang jawatan itu sehingga 7 Mei 2008.

Namun, beliau kembali menjadi Perdana Menteri ketika Dmitry Medvedev menjadi Presiden negara itu,

Medvedev memegang jawatan itu dari tahun 2008 hingga 7 Mei 2012.

Namun, Putin kembali memegang jawatan Presiden melalui pilihan raya bagi menggantikan Medvedev dan terus berkuasa sehinggalah sekarang.

KUASA PUTIN

Ketika pemerintahannya, tahanan politik telah dihantar ke Siberia dan dipenjarakan selama beberapa dekad, suara pihak pembangkang ditekan, wilayah-wilayah asing diceroboh selain membantu Presiden Syria, Bashar Al-Assad dalam Perang Saudara di negara berkenaan.

Ketika menjadi Perdana Menteri pula, beliau telah menghancurkan perjuangan kemerdekaan di Chechnya.

Dalam perang kedua di Chechnya, ratusan ribu orang terbunuh dari tahun 1999 sehingga 2000.

Seorang wanita berdiri di kawasan kediamannya di Chechnya yang musnah dibom tentera Rusia pada tahun 2000.

Putin juga terlibat dalam peperangan dengan Georgia dan menyokong kumpulan pro-Rusia di dua wilayah Ukraine iaitu Donbas dan Luhansk dalam konflik yang berlaku pada tahun 2014.

Perang menentang kerajaan Ukraine di Donbas dilaporkan telah menyebabkan lebih 14,000 orang terbunuh dan Rusia kini sedang menyerang Ukraine sejak Khamis lalu.

Antara pengkritik Putin yang mati dibunuh ketika era pemerintahannya ialah seorang ahli politik liberal, Boris Nemtsov; seorang wartawan penyiasat, Anna Politkovskaya dan bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko.

Nemtsov mati dibunuh tidak jauh dari Kremlin pada Februari 2015 dan lima tahun kemudian, motif pembunuhannya masih lagi menjadi misteri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai gabenor paling muda di Rusia dan merupakan salah seorang tokoh pembangkang paling terkenal di negara itu selain menjadi pengkritik Putin yang paling lantang.

Politkovskaya pula merupakan pejuang hak-hak asasi manusia selain menjadi wartawan penyiasat tetapi mati ditembak pada tahun 2006 ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Moscow.

Identiti individu yang mengarahkan beliaui dibunuh masih tidak diketahui lagi.

Wanita itu juga terkenal kerana mendedahkan penyalahgunaan hak-hak asasi manusia yang berlaku di Chechnya.

Litvinenko pula mati akibat diracun di United Kingdom (UK).

Laporan awal kematian Litvinenko menunjukkan beliau diracuni oleh dua ejen Rusia di London pada tahun 2006.

Menurut laporan, Litvinenko pernah menyatakan bahawa beliau percaya Putin mengarahkan pembunuhannya.

Namun, Moscow kemudian menafikan dakwaan tersebut dan pembunuhan tersebut menyebabkan hubungan diplomatik antara Rusia dengan UK serta Kesatuan Eropah (EU) tidak menjadi begitu mesra.

Tentera Ukraine berdepan dengan serangan tentera Rusia sejak Khamis lalu. - Foto AFP

PEMBANGKANG DIHANTAR KE SIBERIA

Selain itu, terdapat kira-kira lebih 100 orang yang ditahan di penjara Rusia kerana kepercayaan politik mereka pada tahun 2016 iaitu ketika Putin menjadi Presiden.

Putin dipercayai meneruskan tradisi Kesatuan Soviet dengan menghantar ahli-ahli politik pembangkang ke Siberia atau ke kem kerja seperti yang berlaku pada era zaman Joseph Stalin iaitu bekas pemimpin kesatuan tersebut.

Tahanan-tahanan yang terkenal semasa pemerintahan Putin ialah bekas taikun minyak Rusia, Mikhail Khodorkovsky yang kini menetap di London; dua anggota kumpulan rock, Pussy Riot; juruterbang Ukraine, Nadiya Savchenko dan pembikin filem Ukraine, Oleg Sentsov.

Savchenko didapati bersalah di mahkamah Rusia atas berhubung kematian dua wartawan Rusia dan dijatuhi hukuman penjara 22 tahun selepas disabitkan kesalahan mengarahkan tembakan artileri yang membunuh mereka di Ukraine timur pada Jun 2014.

Sentsov pula ditahan di Crimea pada Mei 2014 dan dijatuhi hukuman 20 tahun penjara di Rusia atas tuduhan keganasan pada 25 Ogos 2015.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan pada 7 September 2019 kerana pertukaran tahanan antara Rusia dengan Ukraine dan desakan kumpulan-kumpulan pejuang kebebasan bersuara.

Dua anggota kumpulan Pussy Riots pula pernah dihukum penjara hampir dua tahun kerana menyanyi lagu tentang Putin di sebuah gereja di Rusia.

Khodorkovsky pula ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia pada tahun 2003 dan didakwa atas tuduhan penipuan, pengubahan wang haram serta penyelewengan tetapi dibebaskan pada tahun 2013 namun bertindak melarikan diri ke London.

Beliau kini mengetuai Yayasan Dossier Center yang mendedahkan aktiviti -aktiviti jenayah oleh 'orang dalam' di Moscow.

Seorang penentang antirasuah Rusia, Alexei Navalny yang menjadi pengkritik Putin telah dipenjarakan selama lebih dua tahun sejak tahun lalu hanya kerana beliau melanggar perjanjian parol.

Blogger itu yang diracun dengan agen saraf dan hampir meninggal dunia tetapi kembali sembuh setelah mendapat rawatan perubatan di Jerman masih kekal menjadi ancaman kepada Moscow.

Ketika era pemerintahannya juga, Putin telah memenjarakan para penunjuk perasaan atas kesalahan yang tidak jelas. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca