[MUKADIMAH] Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja penting malah dianggap kritikal bagi gabungan-gabungan politik yang bertanding. Bagi Pakatan Harapan (PH) yang pernah memerintah dan mentadbir Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-14... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja penting malah dianggap kritikal bagi gabungan-gabungan politik yang bertanding.

Bagi Pakatan Harapan (PH) yang pernah memerintah dan mentadbir Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sudah tentu mempunyai sedikit kelebihan kerana semasa memerintah dalam tempoh yang singkat, banyak juga perkara sempat dilakukan dan rakyat akan menilai keupayaan mereka. PH bakal memberikan saingan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN tersebut.

Wartawan Sinar Harian, ZULHISHAM ISAHAK bersama jurufoto MOHD HALIM ABDUL WAHID menemu ramah TIMBALAN PRESIDEN AMANAH, DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB mengenai peluang gabungan itu untuk menang selain membicarakan soal 750,000 pengundi muda dan pengundi automatik pada PRN Johor.

Pengarah Strategi PH itu turut bercakap tentang peluang parti berkenaan untuk menang selain kerjasama PH dengan Muda.

SINAR HARIAN: Dua PRN sebelum ini menyaksikan PH mencatat rekod buruk hingga terlepas banyak kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini. Sejauh mana keyakinan PH melangkah masuk ke PRN Johor kali ini?

SALAHUDDIN: Satu atau dua faktor kekalahan itu tidak menentukan segala-galanya. Keadaan berbeza, faktor berbeza. Saya yakin dan percaya PRN Johor ini ada keistimewaannya sendiri dengan latar belakang macam mana PRN ini berlaku.

Semua rakyat tahu, ia dipaksakan kepada rakyat tanpa sebab dan tanpa alasan yang kukuh, ia menyusahkan rakyat.

Jadi kita yakin pada PRN ini, rakyat Johor dapat buat analisis yang objektif tentang keputusan di (PRN) Melaka dan Sarawak, sebagai contoh di Johor peluang untuk rakyat memilih yang terbaik kerana saya yakin rakyat juga belajar daripada kedua-dua keputusan di Melaka dan Sarawak.

Buat pertama kalinya, kita akan menyaksikan lebih 750,000 pengundi baharu di bawah Undi 18. Jumlah itu sangat besar hingga hampir 30 peratus. Apakah strategi PH untuk menarik pengundi muda?

Jangan lihat faktor pengundi muda ini pada PRN Johor sahaja. Sebelum ini dah berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak.

Banyak isu besar negara berlaku yang hari ini terdedah di media sosial dan anak-anak muda ini sangat cepat dan sangat pantas dari segi akses dengan media sosial ini.

Jadi saya tidak berapa bimbang tentang keputusan yang akan dibuat oleh pengundi muda kerana mereka hari-hari berdepan, menatap, menganalisis tingkah laku, profil, prestasi, isu-isu negara, rasuah, salah guna kuasa dan ini semua telah digarap oleh anak-anak muda.

Saya yakin bahawa ini peluang untuk anak muda buat keputusan mereka pada PRN kali ini.

Bagaimana Datuk Seri melihat kematangan golongan muda terutama untuk mengundi pada kali ini?

Pertama sekali saya nak beri kredit dan pengiktirafan yang tinggi kepada anak muda ini. Walaupun orang kata mereka ini muda, tapi dunia hari ini menyaksikan mereka lebih bermaklumat. Mereka lebih ke hadapan dari segi respons isu semasa.

Jangan rasa mereka ini muda, saya yakin mereka akan beri keputusan yang terbaik demi masa depan mereka.

Bagaimana dengan calon baharu yang ditampilkan dalam Amanah kali ini?

Kita gabungkan golongan senior, golongan pertengahan dan golongan baharu dalam kepimpinan. Ini konsep yang saya rasa diamalkan dalam semua parti di dunia ini, sebab itu saya tidak menilai kebijaksanaan itu terletak pada umur atau gender.

Orang dewasa, veteran memang berpengalaman tapi perlu dibantu oleh golongan pertengahan dan golongan muda yang walaupun mereka baru, ini masa untuk mereka menyumbang dan menelaah pengalaman dalam politik.

Jadi gabungan golongan veteran, muda ini seharusnya menjadi satu sinergi yang baik untuk negara.

Salahuddin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Amanah Johor sudah umum 16 calon mereka iaitu lapan daripadanya merupakan muka baharu. Bagaimana Datuk Seri melihat potensi calon muka baharu?

Ya semua parti mengemukakan muka baharu. Kalau tidak, tidak akan lahir pelapis baharu dalam parti.

Jadi beri mereka peluang kerana mereka berkemampuan, punya kelulusan pendidikan dan juga latar belakang akademik. Ada dalam kalangan mereka terlibat dalam perniagaan, mempunyai pendidikan dan juga aktivis parti.

Mereka juga berpengalaman walaupun usia masih muda. Saya yakin golongan muda yang ditampilkan ini mampu untuk menggamit sokongan daripada rakyat.

Bagaimana pula pandangan tentang penyandang sedia ada seperti Datuk Seri sendiri di DUN Simpang Jeram dan Speaker DUN di Pulai Sebatang?

Saya rasa itu memberikan kelebihan kepada kita, yang pertama bergantung kepada kepuasan rakyat menilai khidmat kita selama satu penggal dan prestasi kita dalam jawatan.

Macam saya pernah berpeluang jadi menteri, kemudian kita jaga kawasan sebaik mungkin, demikian juga di Pulai Sebatang, Speaker (Suhaizan Kaiat) juga punya kedudukan yang tinggi dari segi hierarki dalam negeri Johor, jadi saya rasa ini beri peluang dan kelebihan kepada kita kerana kita memang dikenali rakyat.

Adakah PH dilihat akan hadapi masalah kerana berbeza logo?

Saya rasa isu PH ini kita letakkan kepada kemampuan dan pengalaman kita dalam politik.

Isu simbol saya rasa tidak akan sangat diperhatikan oleh rakyat sebab simbol ini perkara yang rakyat boleh pilih walaupun di Sarawak sebagai contoh, berpuluh tahun guna dacing, kali ini gunakan simbol dua burung, rakyat masih boleh pilih.

Di Melaka, BN dengan PN tak banyak beza, dua-dua biru, rakyat masih boleh memilih, jadi di Johor saya rasa rakyat Johor juga bijak untuk memilih parti mana walaupun apa lambang yang akan kita gunakan.

Kita rasa yang paling penting adalah kita mesti bekerja keras dan menang bersama, bukan hanya Amanah perlu menang, bukan hanya PKR perlu menang, bukan hanya DAP perlu menang, kita mesti menang bersama.

Sebab itu kita engage dengan Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) untuk membuktikan kita melaksanakan khemah besar kita walaupun (Muda) tidak lagi masuk dalam komponen PH tapi konsep khemah besar itu memberikan ruang kita mengadakan perbincangan dengan semua parti politik ke arah satu matlamat iaitu musuh kita satu, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Penyertaan Muda bersama PH adalah satu pengorbanan apabila memberi kerusi kepada Muda. Ini dilihat tindakan berani dan Muda sebelum ini tidak pernah didedahkan tetapi ambil tempat pada kali ini. Komen Datuk Seri?

Kalau kita memiliki jiwa besar dalam politik perlu ada keberanian. Orang takut tak boleh buat keputusan besar jadi kita berani untuk buat satu keputusan.

Kita berikan beberapa kerusi untuk Muda, kita iktiraf kepada pengaruh yang ada pada mereka kerana kita kena faham jika kita gagal untuk membaca isyarat anak-anak muda yang bakal mewarnai landskap politik negara, nanti kita ketinggalan.

Kita dianggap parti yang tidak mesra dengan anak muda, jadi semua parti harus memberikan peluang kepada Muda untuk membuktikan dan dengan cara mereka masuk bertanding dalam PRN di Johor, ini keputusannya nanti akan membuktikan... tapi percubaan itu mesti berani dibuat. Kalau kita takut untuk memberi percubaan, era baharu dan tamadun baharu ini tidak akan menjelma dalam sejarah politik dunia ini, oleh itu bagi saya berani membuat percubaan dan berani menanggung risikonya nanti.

Parti Warisan dan Pejuang juga akan bertanding pada PRN kali ini, adakah Warisan dan Pejuang akan beri saingan hebat kepada PH?

Saya rasa kita perlu ada persefahaman sebab kita kena faham kenapa kita masuk untuk lawan satu musuh. Tidak guna kita masuk untuk pecahkan undi, semua akan kalah nanti.

Jadi perlu kepada satu penyelarasan, kita harus dalam satu nafas dan satu nada untuk menentang satu musuh.

Saya rasa kita masih ada masa untuk buat beberapa persefahaman, kalau tidak pun bentuk satu gabungan baharu.

PKR menamakan calon mereka di DUN Layang-Layang, Dr Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar jika menang PRN Johor. Adakah Amanah akan mempertahankan Datuk Seri sebagai calon MB seperti yang dilakukan selepas PRU14 yang lalu?

Saya rasa tidak perlu kita nak menonjolkan isu Menteri Besar ini dan saya rasa secara rasmi PKR tak umum. Itu hanya pandangan beberapa cabang mereka. Setakat ini Amanah dan PH tidak berbincang perkara berkenaan kerana kita rasa apa yang lebih penting persiapan jentera untuk hadapi PRN ini. Kita ramai sebenarnya tokoh-tokoh dalam kalangan tiga parti ini yang boleh kita tonjolkan (sebagai Menteri Besar), ia bukan masalah bagi kita.

Bagaimana pula dengan isu ‘poster boy’ untuk menarik sokongan pengundi secara keseluruhan?

Itu mungkin pada mana-mana pertarungan, ia juga jadi satu yang rakyat akan lihat, tapi saya yakin dan percaya kita lebih menonjolkan kekuatan dan kepimpinan yang ada dalam PH itu sendiri untuk mendepani PRN Johor ini.

Dalam PH tidak mengamalkan anak jati untuk bertanding di kawasan sendiri tetapi ini tiada masalah dengan Amanah. Sedangkan kalau parti lain, jika calonkan bukan orang tempatan akan menjadi isu yang sangat besar. Komen Datuk Seri?

Itu memang konsep yang kita cuba jadikan satu amalan dalam parti kerana leadership ini kadang-kadang perlu ditonjolkan dan kita perlu ada satu perundingan dengan kawasan itu untuk menerima (calon luar) walaupun mereka bukan anak tempatan tetapi kita menawarkan kepimpinan itu untuk menang dan untuk memastikan survival parti pada masa akan datang.

Saya faham juga kadang-kadang ada dalam kalangan tidak semua yang kita hantar orang luar, tidak semua yang kita letakkan anak tempatan.

Saya rasa ada anak tempatan, ada orang luar, kombinasi pemilihan itu juga bergantung kepada keperluan semasa pada waktu itu.

Tapi saya rasa kalau parti boleh terima konsep ini maka ‘kesegaran’ itu lebih kita lihat pada masa akan datang, yang tidak hanya tertumpu pada mungkin hanya anak tempatan sahaja yang boleh bertanding di kawasan itu.

Salahuddin dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Johor Bahru baru-baru ini. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tetapi kadang-kadang timbul isu anak tempatan dan ketua bahagian sudah buat kerja tetapi tiba-tiba calon payung terjun diberi peluang. Adakah akan berlaku insiden tutup Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan tiada gerak kerja daripada jentera berlaku?

Itu biasa berlaku dalam mana-mana parti, saya dah 40 tahun dalam parti, tidak ada parti yang terkecuali daripada isu-isu seperti ini.

Ia biasa isu ketidakpuasan hati ini, tetapi bila gendang perang dipalu, saya rasa semuanya akan bertaut kembali dan kita masih boleh urus perbezaan-perbezaan itu.

Mungkinkah formula pemilihan MB yang digunakan PH sebelum ini semasa bertanding di Johor, Perak, Perlis dan Kedah akan digunakan?

Sebenarnya begini, kerusi mana, parti mana yang memiliki kerusi yang lebih, maka biasanya calon Menteri Besar itu akan ditawarkan.

Persefahaman begitu atau pun ada understanding yang lain kalau parti itu kurang menang mungkin kita boleh bincang di peringkat lain, parti itu akan ada dapat manfaat lain yang mereka akan berikan kepada kita, tapi biasanya yang majoriti parti menang itu akan diberikan tawaran dan keutamaan.

Sekiranya PH menang pada PRN Johor, apakah perubahan yang akan dilakukan atau meneruskan perancangan sedia ada?

Saya rasa faktor ekonomi harus menjadi sesuatu yang prioriti, kehidupan rakyat mesti segera dipulihkan dan aktiviti perniagaan seharusnya diberikan keutamaan supaya ekonomi tempatan bergerak, serta memastikan pintu sempadan kita dibuka dengan cepat supaya aliran tunai dan aliran orang Singapura dapat kembali ke Johor.

Ini adalah satu indikator penting, jadi saya rasa Johor negeri yang subur untuk menarik FDI, saya rasa beberapa polisi perlu dilihat kembali dan kita mesti menjadi kerajaan yang properniagaan di mana geografi Johor itu sendiri saya rasa berupaya dikembalikan sebagai satu destinasi ekonomi yang dapat menggamit lebih ramai pelabur asing supaya mereka menempatkan lokasi perniagaan mereka di Johor ini, insya-ALLAH.

Klik di sini untuk terus membaca