APABILA Ukraine keluar dari Kesatuan Soviet pada 1991, ia mewarisi sebahagian besar infrastruktur, teknologi dan kemahiran pembuatan sistem persenjataan termoden era Perang Dingin. Penjualan pesawat tempur, kereta kebal dan sistem... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Ukraine keluar dari Kesatuan Soviet pada 1991, ia mewarisi sebahagian besar infrastruktur, teknologi dan kemahiran pembuatan sistem persenjataan termoden era Perang Dingin.

Penjualan pesawat tempur, kereta kebal dan sistem pertahanan udara menjana pendapatan paling tinggi dalam industri pertahanan Ukraine. Pada tahun 2012, status Ukraine adalah negara pengeksport kelengkapan ketenteraan yang keempat terbesar di dunia.

Menurut laporan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), sebahagian besar keuntungan diperoleh negara tersebut sebelum tahun 2014 adalah dengan menjual pelbagai stok lama kelengkapan peninggalan Soviet kepada negara ketiga.

Apabila dua wilayah dikenali sebagai Donbass memberontak dan mengisytiharkan mahu keluar dari Ukraine dan membentuk sebuah negara ‘merdeka’, kedudukan Ukraine sebagai negara pengeksport utama senjata global mula merosot.

Tentera Ukraine pada 2014 mula membeli kelengkapan buatan industrinya sendiri, malah terpaksa pula mengimport senjata, peluru dan kelengkapan perang secara besar-besaran. Industri pertahanan negara itu terpaksa memberikan fokus untuk membekalkan pasukan tenteranya dengan kelengkapan bagi memenuhi keperluan tenteranya yang cuba menawan kembali wilayah Donbass.Pada 2015 kedudukan Ukraine sebagai pengeksport senjata global jatuh ke tangga kesembilan dan pada 2019 trend ini terus merudum sehingga ke-12.

Seperti juga kebanyakan negara-negara bekas Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw lain, Ukraine turut mempunyai aspirasi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Ini bakal menjadikannya sebagai mempunyai hubungan ketenteraan secara langsung dengan kuasa-kuasa ketenteraan Eropah Barat.

Negara-negara NATO telah menetapkan bahawa Ukraine perlu memenuhi kriteria tertentu sebelum boleh menjadi negara ahli. Antara kriteria tersebut adalah sistem politik demokrasi, ekonomi terbuka, layanan terhadap kaum minoriti secara adil dan paling menonjol, untuk menghentikan amalan rasuah politik.Pada persidangan anggota NATO tahun 2021, kemahuan Ukraine untuk menjadi anggota NATO walaupun dialu-alukan namun tidak pernah tidak ditetapkan tempoh masa atau tarikhnya.

Sehingga Februari tahun ini, sejurus sebelum Rusia melancarkan serangan, pemimpin Jerman, Canselor Olaf Scholz menyatakan ketika pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, isu berkaitan negara tersebut menyertai NATO tidak pun dibincangkan.

Malah, Jerman telah melarang negara Estonia daripada menghantar sejumlah 42 laras meriam sebagai bantuan kepada Ukraine. Meriam-meriam tersebut asalnya milik Jerman dan hanya boleh diberi kepada negara lain dengan persetujuan mereka.

KELENGKAPAN PERANG

Sumbangan Jerman sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga telah menimbulkan tanggapan sinis pelbagai pihak. Ukraine dikatakan telah meminta bantuan Jerman untuk mendapatkan 100,000 helmet tentera, namun Jerman hanya memberikan 5,000 dan itu pun belum ditentukan sama ada ia helmet baharu atau terpakai!

Hanya apabila tentera Rusia menyerang Ukraine, barulah negara-negara NATO mengumumkan bantuan kelengkapan perang. Mungkin kesedaran bahawa jika perang berpanjangan atau Ukraine tewas, negara-negara Eropah Barat akan berhadapan dengan krisis kebanjiran pelarian perang telah mempengaruhi keputusan ini.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menyatakan sehingga Ahad lalu 368,000 penduduk Ukraine telah melarikan diri, dengan 45,200 individu masuk ke sempadan Poland dalam masa hanya 15 jam.

Tidak semua melihat insiden pelarian sebagai sesuatu yang menyedihkan, sentiasa saja ada yang ‘menangguk di air keruh’. Timbalan speaker kepada parlimen negara haram Israel telah pun meminta agar beribu pelarian Ukraine yang mahu datang ke negara tersebut diberi kebenaran masuk.

Mereka bakal menjadi penghuni di penempatan-penempatan haram Yahudi di tanah yang dirampas dari rakyat Palestin. Dengan rasa belas kasihan Eropah Barat terhadap penduduk Ukraine, pastinya pencerobohan haram ini mudah untuk dijustifikasikan kelak di peringkat antarabangsa. Diharapkan apa yang berlaku Ukraine bakal memberikan pengajaran terutamanya bagaimana rasuah politik yang tidak dibendung bakal menjahanamkan sesebuah negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca