TABUNG Alam Sedunia (WWF) Malaysia melaporkan, Malaysia merupakan pengguna plastik kedua terbesar di Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78 kilogram plastik setahun. Sektor yang paling banyak menyumbang kepada penggunaan... Klik di sini untuk terus membaca

TABUNG Alam Sedunia (WWF) Malaysia melaporkan, Malaysia merupakan pengguna plastik kedua terbesar di Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78 kilogram plastik setahun. Sektor yang paling banyak menyumbang kepada penggunaan plastik adalah sektor pembungkusan. Penggunaan plastik dan polisterin untuk membungkus makanan adalah amalan biasa dalam kalangan pengguna. Namun, adakah selamat jika menggunakan plastik untuk membungkus makanan khususnya makanan panas? Tiga bahan asas dalam membuat plastik adalah flatat, bisfenol A (BPA) dan dicampur juga dengan bahan polibrominat bifenil eter (PBDEs). Flatat adalah bahan paling banyak digunakan dan berfungsi melembutkan plastik yang keras. BPA adalah bahan yang menjadikan plastik lebih keras, tahan lama dan menghalangnya daripada pudar manakala PBDEs menjadikan plastik kalis air. Campuran bahan bertoksik seperti pewarna dan pewangi dalam penghasilan plastik mendedahkan lagi risiko bahaya kepada manusia.

Perpindahan bahan kimia daripada plastik kepada makanan atau minuman yang dibungkus boleh berlaku sekiranya penggunaan bahan plastik tersebut disalah guna. Pendedahan suhu tinggi terhadap plastik boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia plastik.

Malah, tempoh masa pendedahan makanan, makanan berasid dan jenis makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan. Natijahnya, kesan bahaya plastik kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun. Maka, tidak mustahil, peningkatan penyakit kanser mutakhir ini antara lain disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama.Bahan pembungkus polisterin pula mengandungi bahan karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.

BAHAN KIMIA

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser kepada manusia.

Bahan kimia daripada bekas tersebut menyerap ke dalam makanan dan kemudian ke dalam tubuh manusia. Stirena adalah mutagen yang boleh mengakibatkan perubahan genetik yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan.

Kajian Institut Penyelidikan Tenaga dan Alam Sekitar (IEER) menunjukkan polisterin yang diperbuat daripada HCFC-22 berpotensi mengancam persekitaran tiga hingga lima kali lebih tinggi berbanding bahan buangan lain disebabkan mengandungi tirena dan benzena yang mengambil masa 500 tahun untuk dimusnahkan secara semula jadi selain terkait dengan penipisan ozon.

Justeru, marilah mengorak langkah melestari persekitaran dengan memberi tumpuan kepada bahan produk alami sebagai pengganti plastik dan polisterin khususnya dalam pembungkusan makanan. Secara tradisi, daun dijadikan kaedah pembungkusan terutamanya makanan. Penggunaan daun dalam pembungkusan makanan menyumbang pada kelestarian alam sekitar kerana, bahan alami lebih bersih dan mudah dilupuskan berbanding bungkusan yang diperbuat daripada plastik dan polisterin.

Daun pisang misalnya tidak menghasilkan sebarang bahan kimia yang boleh memudaratkan pengguna seperti yang terjadi pada bungkusan plastik apabila bersentuhan dengan makanan panas.Maka, penggunaan daun pisang masih dipraktikkan dalam proses pembungkusan makanan dan kuih-muih seperti nasi lemak, tapai dan pais.

Ternyata, memanfaatkan sumber bahan alami dalam kehidupan seharian bukan hanya mempunyai kebaikan kepada kesegaran makanan yang dikonsumsi malah turut mendidik diri dan keluarga serta masyarakat daripada ancaman pencemaran penggunaan plastik dan polisterin berlebihan.

Justeru, masyarakat perlu diberi pendedahan serta kesedaran berterusan untuk beralih kepada bahan alami seterusnya mengurang dan akhirnya tidak bergantung kepada penggunaan plastik dan polisterin disebabkan kemudaratannya terhadap kesihatan dan alam sekitar.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca