BANYAK berita dan kisah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan disajikan untuk para pembaca dan Kuda Kepang juga muncul khusus untuk bersama dengan para pembaca Sinar Harian sepanjang tempoh berkempen ini.
Menurut sejarah, Kuda Kepang ialah sejenis tarian unik yang sebenarnya dikenali dengan pelbagai nama seperti jaran kepang, kuda lumping, jathilan dan ebeg.
Bagi orang Jawa ‘jaran’ ialah kuda manakala ‘kepang’ merujuk kepada anyaman. Bagi masyarakat Jawa panggilan bagi kuda kepang yang popular ialah jaran kepang kerana pertunjukan yang dipersembahkan ialah menggunakan anyaman kuda.
Dulu tarian Kuda Kepang ini untuk tujuan pemujaan, tetapi sekarang tidak lagi dan lebih kepada aktiviti kebudayaan.Seronoknya tentang Kuda Kepang ialah lagi meriah alat muzik yang dimainkan, lagi lincah penarinya beraksi mengikut rentak.
Jadi sepanjang PRN Johor ini semakin menghampiri hari pengundian maka lagi lincah Kuda Kepang nak menulis tentang perkara yang menarik tentang keletah orang politik.
Cuma malangnya, orang politik tidak boleh lincah sangat sebab semua kena patuh kepada prosedur operasi standard (SOP). Nampaknya, calon-calon perlulah cari cara kreatif untuk dekati pengundi-pengundi mereka.
Tetapi satu perkara yang Kuda Kepang hendak nasihatkan kepada calon-calon. Mereka perlu dekati pengundi dengan apa cara sekalipun dan tidak mengharapkan media sosial semata-mata.
Memang benar ini zaman media sosial mempunyai satu kuasa hebat tetapi realitinya ialah calon yang sudah biasa di lapangan dan memahami denyut nadi rakyat akan dapat peluang lebih besar.
Kesimpulannya, belum tentu jika seseorang itu dilihat jaguh di media sosial maka dia menjadi jaguh di mata rakyat.
Oleh yang demikian, Kuda Kepang hendak ucapkan selamat berkempen untuk semua calon dan selamat memilih untuk para pengundi.
Klik di sini untuk terus membaca