SHAH ALAM - Harga rumah terlalu tinggi serta syarat yang dikenakan rumit dan membebankan menjadi punca utama seseorang individu itu tidak mampu memiliki kediaman sendiri. Menurut juruteknik, Azli Ahmat, 47, dia menyewa rumah dan masih belum... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Harga rumah terlalu tinggi serta syarat yang dikenakan rumit dan membebankan menjadi punca utama seseorang individu itu tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Menurut juruteknik, Azli Ahmat, 47, dia menyewa rumah dan masih belum mempunyai perancangan untuk membeli rumah disebabkan ekonomi tidak stabil, malah harga rumah yang ditawarkan pemaju terlalu tinggi.

Selain itu, dia yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, syarat-syarat kelayakan untuk membeli rumah juga sangat ketat dan membebankan.

"Saya sebagai seorang pekerja swasta memang tidak mampu untuk membeli rumah sendiri, ditambah lagi dengan komitmen yang banyak setiap bulan.

"Justeru, saya pilih untuk menyewa. Lagipun rumah yang dijual terlalu tinggi selain mempunyai syarat yang agak ketat,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut senada, buruh kasar, Mohd Zaini Zakaria, 53, yang mana berpendapat golongan B40 sepertinya sukar memiliki rumah kerana ketidakseimbangan harga rumah dengan pendapatan di samping syarat dikenakan pihak bank terlalu rumit.

"Bagi rakyat kategori B40 seperti saya, sudah tentunya tidak mampu membeli rumah sendiri sebagaimana yang disarankan kerajaan. Selain itu, syarat dikenakan oleh pihak bank terlalu rumit, tak mampu memenuhi kesemua kriteria yang diperlukan,” katanya yang berasal dari Machang, Kelantan.

Bagi seorang pemandu Grab Food, Sahnizat Abdul Hamid, 44, pula dia tidak pernah memohon untuk membeli rumah sendiri kerana mengakui tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, ditambah pula tiada tawaran khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.

"Jadi saya lebih memilih untuk menyewa sahaja. Hampir sembilan tahun saya bersama isteri dan anak-anak menetap di salah sebuah bilik surau, sekitar Johor Bahru.

"Tiga tahun lepas ada juga memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), tetapi sehingga sekarang masih belum mendapat apa-apa perkembangan.

"Bagaimanapun saya berharap kerajaan dapat memperkenalkan tawaran khusus kepada semua OKU yang sudah berkeluarga kerana tidak ramai daripada kami yang kaya dan berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar, Noor Akhidah Mohd Mustafa, 42, berkata, dia sebelum ini berhasrat membeli rumah, tetapi melihat kepada harga tanah dan rumah yang terlalu tinggi menyebabkan hasrat untuk memiliki rumah tersebut terkubur.

Noor Akhidah

Sebaliknya, dia yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang berpendapat harga rumah harus dikaji semula selain syarat pembiayaan perumahan dilonggarkan agar tidak membebankan rakyat.

Bagi pengurus penyelenggaraan Kelab Gym di Petaling Jaya, Selangor, Muhammad Khairun Cuganathan, 49, pula, dia pernah membuat permohonan pembiayaan perumahan mampu milik tetapi gagal kerana disenarai hitam.

Muhammad Khairun

"Sebelum ini saya pernah mohon rumah mampu milik, tetapi ditolak. Ini kerana syarat untuk memohon pembiayaan pinjaman dari pihak bank mestilah bebas dari sebarang rekod senarai hitam selain warganegara dan pekerja makan gaji.

"Kereta telah ditarik berikutan saya gagal melunaskan bayaran ansuran kereta. Jadi, ketika ini saya hanya bergantung kepada rumah sewa sahaja,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca