KERAJAAN perlu berbelanja besar sekiranya mahu mewujudkan sebuah kawasan perumahan mampu milik komprehensif kepada golongan B40, M40 di negara ini.
Penaung Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Ng Seing Liong berkata, kajian perlu dibuat sebelum kerajaan boleh membuat keputusan untuk membina rumah mampu milik termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ekonomik dan dan selesa.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan harga bahan binaan yang mahal ketika ini agak sukar untuk mewujudkan perumahan seperti ini.
"Satu keluarga sahaja sudah ada dua atau tiga buah kereta kalau nak bina rumah bertingkat macam PPR, kena bina sekali tempat letak kereta yang luas dan itu semua membabitkan kos tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, jika kawasan perumahan itu nanti dilengkapi kemudahan pengangkutan awam seperti stesen LRT atau MRT dan sebagainya ia boleh memberi nilai tambah kepada perumahan itu.
"Ini termasuklah kemudahan internet, tempat riadah dan dilengkapi tempat ibadat serta pasti membabitkan kos yang tinggi, kalau kerajaan bersedia keluar belanja atau subsidi tiada masalah,” jelasnya.
Seing Liong berkata, jika rumah bertingkat pada keluasan 800 hingga 1,000 kaki persegi seunit harga bagi seunit rumah boleh dijual pada harga RM200,000 ke RM300,000.
"Ini harga mampu milik, selebihnya kos kerajaan perlu tanggung sebab sukar nak bina rumah mampu milik berkualiti dalam keadaan sekarang ini.
"Boleh bina tapi kos pembinaannya mungkin lebih dan tiada untung sangat untuk pemaju,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca