RATUSAN ribu penduduk Ukraine telah meninggalkan negara itu sejak kempen pencerobohan Rusia bermula pada Khamis lalu.
Ketika ini, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan ia perlu membuat rancangan yang teliti untuk menangani sehingga empat juta pelarian jika konflik tersebut bertambah buruk.
Sementara itu, Pesuruhjaya Krisis UNHCR di Kesatuan Eropah (EU) berkata, mereka sedang menilai situasi yang bakal menjadi krisis kemanusiaan terbesar di benua Eropah untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
"Kami menjangkakan sehingga tujuh juta menjadi pelarian dan 18 juta terjejas dari segi kemanusiaan akibat konflik tersebut," ujarnya.
Pada masa ini, ketibaan pelarian dari Ukraine di beberapa negara Eropah telah disambut dengan tangan terbuka sebagai tanda solidariti dengan golongan tersebut.
POLAND
Kira-kira 196,000 penduduk Ukraine telah melintasi sempadan ke Poland selepas ketibaan kira-kira 50,000 individu pada Jumaat lalu.
Data terbaharu menunjukkan 90 peratus pelarian tersebut mendapatkan perlindungan di rumah rakan atau ahli keluarga mereka selain sembilan pusat penerimaan dibuka berhampiran sempadan untuk menempatkan golongan terbabit.
Difahamkan, Poland sudah memberi perlindungan kepada 1.5 juta rakyat Ukraine sebelum serangan Moscow itu bermula.
Di seluruh negara, penduduk tempatan turut menawarkan penginapan, wang tunai, pakaian dan kerja untuk golongan yang baharu tiba di Warsaw.
ROMANIA
Sejak Khamis lalu, kira-kira 47,000 penduduk Ukraine telah melintasi sempadan ke Bucharest dan 22,000 sudah bergerak ke negara lain.
Kebanyakannya melalui Siret di utara Romania yang turut menempatkan sebuah kem berhampiran Marmatiei.
Penduduk setempat menggunakan media sosial untuk kempen sumbangan makanan dan pakaian.
HUNGARY
Kira-kira 71,000 pelarian Ukraine telah merentasi sempadan ke negara itu.
Beberapa bandar sempadan seperti Zahony telah menubuhkan pusat penerimaan di bangunan awam selain mengagihkan makanan dan pakaian kepada golongan itu.
MOLDOVA
Kira-kira 70,000 rakyat Ukraine dilaporkan melintasi ke negara itu malah Ketua UNHCR di Eropah Tengah, Roland Schilling memuji tindak balas negara kecil itu dalam menghadapi situasi yang semakin meruncing.
Perdana Menteri, Natalia Gavrilița turut mengadakan lawatan ke lintasan sempadan di Palanca yang mendirikan khemah dan kemudahan perubatan untuk golongan tersebut.
"Kami menyokong rakyat Ukraine untuk menghadapi hari gelap ini. Moldova akan membantu mereka yang memerlukan transit selamat atau tempat perlindungan. Kami bersama anda!" katanya.
SLOVAKIA
Lebih 17,600 rakyat Ukraine tiba di negara itu sejak Khamis lalu.
Kira-kira 160,000 penduduk Ukraine dilaporkan menjadi pelarian dalam negara."Angka itu dipercayai jauh lebih tinggi, namun situasi tegang di Kiev menyukarkan usaha untuk menganggarkan jumlah sebenar dan menyalurkan bantuan kepada mereka," kata Ketua UNHCR, Filippo Grandi menerusi Twitter. - AFP
INFO BANTUAN UNTUK KIEV
- Amerika Syarikat umumkan bantuan ketenteraan tambahan berjumlah AS$350 juta (RM1.5 bilion) selain AS$54 juta (RM227 juta) untuk bantuan kemanusiaan.
- EU sepakat untuk menggunakan dana berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk pembelian bekalan senjata kepada Ukraine selain menghantar jet pejuang kepada negara itu.
- Kanada mahu hantar peralatan ketenteraan dan memberi pinjaman AS$394 juta (RM1.6 bilion) untuk membantu pertahanan Kiev.
- Jerman berikrar untuk menghantar peralatan ketenteraan termasuk 1,000 senjata antikereta kebal dan 500 peluru berpandu Stinger.
- Perancis mahu menghantar lebih banyak peralatan ketenteraan termasuk bekalan bahan api.
- Britain memaklumkan ia akan memberikan 'bantuan sokongan' kepada Ukraine.
- Belgium menghantar bekalan 3,000 raifal automatik tambahan dan 200 senjata antikereta kebal.
- Belanda memberi dana tambahan AS$22 juta (RM92 juta) untuk bantuan kemanusiaan dan 200 peluru berpandu Stinger dalam tempoh terdekat.
- Republik Czech mahu menghantar 4,000 mortar dan pelbagai senjata lain termasuk 3,000 mesingan dan jutaan bekalan peluru.
- Itali menyalurkan bantuan AS$123 juta (RM517 juta) sebagai sokongan terhadap Kiev.
- Portugal menghantar gogal penglihatan malam, ves kalis peluru, bom tangan dan raifal automatik G3 kepada Ukraine.
- Greece mahu menghantar 'peralatan pertahanan' dan bantuan kemanusiaan.
- Romania yang berkongsi sempadan dengan Ukraine menawarkan 11 hospital tentera mereka untuk merawat mangsa cedera selain penghantaran peralatan ketenteraan bernilai AS$3.3 juta (RM14 juta).
- Sepanyol dan Israel berjanji untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada Ukraine.
- Denmark dan Sweden juga mahu menyumbangkan peralatan ketenteraan kepada Kiev.
Klik di sini untuk terus membaca