[MUKADIMAH] Bergelar bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal tampil mengetuai cabaran Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dianggap antara calon heavyweight, mampukah Dr Sahruddin bukan sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, bahkan memastikan PN menang dalam pilihan raya ini?
Bagi mengetahui apakah percaturan PN ikuti wawancara eksklusif, PENGARANG BERITA, ZAMRI RAMBLI dan WARTAWAN, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN serta MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI bersama Dr Sahruddin.
SINAR HARIAN: Dalam kempen 14 hari ini, sejauh manakah persiapan Bersatu dan PN untuk menghadapi PRN Johor nanti?
SAHRUDDIN: Sebetulnya Bersatu dan PN sudah membuat persiapan lebih awal sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor. Ini kerana kita sudah tahu bahawa Menteri Besar Johor akan memohon perkenan sultan untuk membubarkan DUN pada bila-bila masa biarpun ia sebenarnya bukan satu keperluan mendesak sekarang.
Di peringkat Bersatu, saya sudah menggerakkan dan memastikan semua ketua bahagian serta jentera parti bersiap sedia kerana PRN Johor akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Indikator kita apa? PRN Melaka di mana tiada angin tetapi tiba-tiba UMNO bubarkan DUN Melaka kerana beberapa ADUN umum lompat parti. Kejadian itu memberikan kita hint atau petunjuk bahawa insiden sama juga mungkin akan berlaku di Johor dengan 1,001 alasan tidak munasabah di pihak UMNO.
Pada PRU14, Bersatu menang 11 kerusi DUN Johor hasil kerjasama dengan rakan kongsi dalam PH terutama di kerusi campuran dan bukan majoriti Melayu. Bagaimanapun situasi sekarang adalah berbeza, apa komen Datuk?
Saya cukup yakin kita bukan hanya boleh mempertahankan 11 kerusi berkenaan, malah jumlahnya mungkin bertambah pada PRN kali ini. Apa yang penting kerjasama antara parti gabungan PN dan gerak kerja Bersatu di bahagian berkenaan sendiri. Apabila Bersatu, Gerakan dan Pas dapat bergerak bersama, saya yakin kita bukan hanya dapat mempertahankan kerusi berkenaan, malah menambahkan lagi bilangannya. Apa lagi kita lihat kerusi di mana wakil rakyat PN menunjukkan prestasi cemerlang seperti saya sendiri; penyandang DUN Tenang, Mohd Solihan Badri dan penyandang DUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi serta beberapa lagi wakil rakyat di Kota Tinggi. Kami sentiasa bekerja untuk membantu masyarakat dan memastikan pembangunan di kawasan kami berjalan dengan sempurna.
Semua sudah maklum pertambahan 750,000 pengundi muda dan baharu yang didaftarkan secara automatik. Jadi sejauh mana usaha Bersatu untuk menarik golongan pengundi berkenaan?
Pertama, Armada Bersatu dan Pemuda PN perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk menarik seberapa ramai mungkin anak muda bersama-sama PN. Mungkin anak muda tidak selesa apabila kita menggunakan nama parti. Jadi kita sudah gerakan NGO untuk bersama kita. Sebagai contoh dalam program saya, kita ada skuad prihatin Johor yang terbabit dengan aktiviti bantuan kepada mangsa banjir dan bantuan Covid-19. Itu semua kita sudah gerakan. Daripada maklum balas kita peroleh, bantuan disalurkan PN kepada mangsa banjir amat positif. Kami juga sudah pergi ke Selangor selain Johor untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Bantuan kami dapat sambutan dan insya-ALLAH kami akan terus memberikan bantuan dan menyantuni anak muda. Begitu juga dengan program tukar minyak hitam untuk penunggang motosikal yang kami sudah buat dari awal untuk anak muda dan sumbangan bantuan Covid-19 disegerakan menggunakan anak muda. Apa pun program dan aktiviti saya lakukan mesti membabitkan anak muda yang terlibat secara langsung.
Seperti yang kita tahu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi tumpuan kepada kerusi dimenangi Bersatu pada PRU14, sejauh manakah Datuk melihat cabaran yang bakal diberikan oleh mereka di kerusi terbabit?
Parti Muda meletakkan enam calon dalam PRN Johor termasuk di DUN Bukit Kepong. Memang mereka fokus kepada anak muda tetapi jangan dilupakan pengundi lain seperti warga emas dan dewasa. Keadaan itu berbeza berbanding Bersatu yang sentiasa memberi fokus untuk membantu semua lapisan masyarakat bukan hanya golongan muda tetapi merangkumi warga emas, dewasa malah kanak-kakak sekali pun.
PN perlu memastikan bakal calon kita mestilah pemimpin berintegriti, jujur, amanah dan mereka memang aktif dalam membantu masyarakat setempat dan mestilah anak tempatan, bangsa Johor. Orang Johor ini tinggi pendidikan agamanya, mengikut darjah khas kerana pendidikan keagamaan memainkan peranan penting untuk pemilihan calon PN khususnya Bersatu.
Kami tidak mahu calon daripada golongan bukan-bukan kerana bangsa Johor amat mengutamakan nilai keagamaan. Jadi mereka di luar sana memainkan peranan penting untuk pemilihan seseorang calon. Ini kerana masyarakat Johor berpandangan mereka tidak melihat parti sebaliknya pemilihan calon. Sebab itulah semua calon Bersatu dan PN adalah anak tempatan dan kami percaya mereka berkhidmat di kawasan berkenaan dengan sangat baik. Muda juga meletakkan calonnya di DUN Bukit Kepong tetapi saya sendiri tidak tahu asal usulnya daripada mana dan bekerja di mana? Apa yang saya tahun calon Muda berkenaan adalah seorang aktivis dan telah lama berkhidmat di Muar. Bagaimanapun, kita perlu ingat daerah Muar ini luas dan mempunyai tiga kerusi Parlimen. Setahu saya dia kurang berkhidmat di Parlimen Pagoh namun muncul secara tiba-tiba bertanding di DUN Bukit Kepong. Jadi masyarakat boleh menilainya sendiri. Sangat penting calon daripada Bersatu itu merupakan anak tempatan yang sudah lama berkhidmat di kawasan mahu ditandingi nanti.
Bagaimana Datuk melihat pertembungan banyak penjuru berikutan penyertaan banyak parti politik dalam PRN kali ini?
Kita kena ingat Malaysia adalah sebuah negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Jadi sesiapa pun boleh bertanding dalam PRN Johor jika mereka layak bukan hanya gabungan parti besar seperti PN, BN, PH, malah Muda, Pejuang mahu pun Bebas sekali pun boleh bertanding dalam PRN kali ini. Begitu juga di Melaka kita boleh lihat ada pertembungan dua, tiga hingga lima penjuru.
Masyarakat dan pengundilah yang akan menilai calon mana yang mereka akan pilih dan jadi wakil rakyat di kawasan mereka. Harapan saya kepada pengundi adalah mereka perlu mengutamakan calon yang jujur, berintegriti dan diyakini mampu berkhidmat untuk rakyat di kawasan terbabit. Janganlah kita hanya memilih calon yang hanya muncul semasa pilihan raya dan apabila menang dia hilang entah ke mana serta hanya akan muncul dekat pilihan raya akan datang.
Apa guna kita mempunyai wakil rakyat sedemikian, pemimpin yang tidak betul-betul berkhidmat di kawasan itu. Sebab itu saya dan rakan-rakan lain aktif membantu penduduk di kawasan Parlimen Pagoh termasuk DUN Bukit Kepong. Saya hampir setiap hari turun ke DUN Bukit Kepong untuk membantu penduduk di kawasan saya begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dari segi pembangunan mahu pun bantuan kepada rakyat memerlukan.
Sejauh manakah tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri untuk menjadi Penasihat Ekonomi Johor mampu mempengaruhi pengundi pada PRN nanti?
Saya sangat setuju dengan tindakan beliau kerana kita memang memerlukan pemimpin bijaksana dan berpandangan luas, tinggi ilmu mentadbir dalam sesebuah negeri dan negara. Muhyiddin ialah bekas Menteri Besar Johor dan bekas Perdana Menteri, jadi beliau tahu strategi bagaimana bagi memastikan pembangunan ekonomi Johor.
Lebih baik beliau menjadi Penasihat Ekonomi berbanding orang sebelah sana penasihat ekonominya adalah Kluster Mahkamah. Jadi apabila mereka (UMNO) cakap Menteri Besar Johor akan menjadi boneka kepada Muhyiddin, mereka silap dan belum terbukti.
Tetapi apa yang terbukti adalah negeri Johor menjadi boneka Kluster Mahkamah, tiada hujan dan ribut tiba-tiba PRN Johor. Siapa cakap negeri Johor tidak stabil, kerana Belanjawan Johor 2022 lulus, kemudian undian untuk kelulusan Undi18 pun tiada masalah.
Selepas dua undian berkaitan dua isu berkenaan lulus sepatutnya isu ketidakstabilan kerajaan negeri tidak timbul jadi penting masyarakat Johor dapat melihat bahawa kerajaan negeri sekarang adalah boneka kepada Kluster Mahkamah.
Seperti kita tahu selepas PRU14, Johor sudah tiga kali menukar Menteri Besar dan majoriti menjadi amat tipis, cuma satu kerusi selepas kematian Allahyarham Datuk Osman Sapian, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa ADUN Bersatu akan lompat parti. Jadi adakah kerajaan negeri ketika itu benar-benar stabil atau hanya di permukaan sahaja tetapi dalamannya masih goyang?
Sepatutnya isu ketidakstabilan kerajaan negeri tidak timbul kerana kami daripada PN dan Bersatu sudah menegaskan bahawa kami kekal menyokong kerajaan BN dipimpin oleh Datuk Hasni Mohamad. Khabar angin semua orang boleh bercakap tetapi kena ada bukti kukuh.
Malah, semua orang bercakap mahu melompat keluar dari Bersatu itu akhirnya menyokong BN, jadi sebetulnya kerajaan sedia ada masih stabil, kecuali jika ia berlaku di Melaka mereka keluar dari kerajaan dan menyertai blok pembangkang. Ini tidak, mereka keluar Bersatu yang menjadi sebahagian kerajaan negeri dan menyertai UMNO. Jadi dakwaan kerajaan negeri Johor tidak stabil hanyalah alasan BN untuk membubarkan DUN dan akhirnya yang sengsara adalah rakyat. Masalah Covid-19 gagal diatasi malah semakin teruk dan meningkat. Jadi apa tindakan daripada kerajaan negeri dan persekutuan yang ada sekarang seolah-olah mereka tidak mengambil tindakan konkrit untuk membantu rakyat dan mengurangkan jangkitan Covid-19.
Adakah semua calon PN akan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi memastikan mereka sentiasa menjaga integriti semasa PRN nanti?
Saya boleh sahkan bahawa semua calon PN akan menandatangani SD dan kita akan jemput wakil media untuk menyaksikan upacara berkenaan.
Difahamkan, Datuk bakal diangkat sekali lagi menjadi Menteri Besar jika PN kembali berkuasa di Johor. Jadi apakah wawasan dan projek pembangunan dirancang untuk meningkatkan kembali ekonomi rakyat dan negeri Johor pada masa depan?
Sebetulnya kita akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN untuk menentukan siapa calon Menteri Besar Johor jika PN kembali berkuasa. Sesiapapun yang dipilih menjadi calon Menteri Besar, saya akan akur dan taat dengan keputusan pucuk parti tetapi apa yang lebih penting kita perlu membentuk kerajaan negeri baharu. Bagaimanapun, jika saya dipilih menjadi Menteri Besar Johor sekali lagi saya akan memastikan bahawa jumlah jangkitan Covid-19 menurun dan pintu sempadan Johor dibuka dengan segera.
Saya seorang doktor dan berpengalaman menangani pelbagai kes termasuk pencemaran Sungai Kim Kim. Saya berjaya menangani isu Sungai Kim Kim bersama Allahyarham Osman yang menjadi Menteri Besar ketika itu.
Saya juga berjaya menangani isu kes pencemaran di Taman Mawar. Muhyiddin pula hampir berjaya menangani kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara sebelum dijatuhkan oleh geng Kluster Mahkamah.
Jadi berdasarkan pengalaman saya dan Muhyiddin menangani kes Covid-19, saya cukup yakin bahawa pintu sempadan Johor akan dapat dibuka semula.
Sekarang ini kita dapat lihat walaupun kes Covid-19 tinggi namun masyarakat tetap berkumpul beramai-ramai, PRN mahu dilaksanakan tetapi pintu sempadan kenapa kerajaan persekutuan enggan buka. Apa yang paling penting buat masa sekarang semua masyarakat perlu menjayakan kempen imunisasi atau mengambil suntikan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, hari-hari kita dengar kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya orang ramai mematuhi SOP dan menjaga jarak fizikal sekali gus menyebabkan kes jangkitan Covid-19 menurun.
Tetapi sekarang kes Covid-19 meningkat, orang ramai sudah tidak kisah soal pematuhan SOP. Jadi kesimpulannya, perkara pertama saya mahu lakukan jika terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Menteri Besar adalah untuk memastikan pintu sempadan antarabangsa terutama antara Johor dan Singapura dapat dibuka semula seperti biasa.
Tambahan pula, Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sendiri menyatakan bahawa pintu sempadan antarabangsa perlu dibuka segera bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk dapat dipacu dengan jayanya. Keduanya, negeri Johor amat mementingkan ilmu agama Islam, malah orang Johor amat tinggi ilmu agamanya.
Sebab itulah semasa saya menjadi Menteri Besar dulu fokus utama kita adalah pendidikan sebab itu pelbagai bantuan diberikan kepada sekolah agama rakyat, sekolah rendah dan menengah, sekolah jenis kebangsaan Cina dan India bagi membolehkan anak Johor mendapat pendidikan sempurna, seterusnya perkara lain termasuk infrastruktur asas.
Jadi jika saya menjadi Menteri Besar Johor semula, saya akan memberikan fokus memastikan pembangunan di Johor dapat dipacu dengan lebih cemerlang. Dulu orang melihat Johor adalah sebuah negeri maju dan hebat serta sentiasa berlumba-lumba dengan Singapura, namun sekarang Johor jauh ketinggalan. Jadi insya-Allah dengan pengalaman Muhyiddin dan saya, kita akan dapat kembali memacu kemajuan dan kemakmuran negeri Johor ke arah lebih cemerlang.
Apa perkara yang Datuk terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan susulan terlalu sekejap menjadi Menteri Besar sebelum ini?
Sebenarnya masih banyak benda yang saya mahu lakukan semasa menjadi Menteri Besar. Perkara yang paling saya terkilan ialah pelaksanaan Kad Sihat Johor yang dijangka dapat membantu rakyat Johor terutama B40 ke bawah yang dibatalkan oleh kerajaan negeri selepas saya tidak lagi menjadi Menteri Besar. Saya juga terkilan kerana projek jalan raya Johor Bahru-Mersing, projek sambungan Lebuhraya Utara Selatan daripada Pagoh-Johor dibatalkan. Kalau kita perasan di tempat lain semua Lebuhraya Utara Selatan mempunyai tiga hingga empat lorong sebelah tetapi kenapa Johor dianak tirikan.
Jadi kita kena jalinkan hubungan erat dengan kerajaan persekutuan supaya aliran pembangunan dan bantuan kewangan ke Johor dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Malah, projek pembangunan yang dirancang semasa saya menjadi Menteri Besar tergendala misalnya dulu kita merancang untuk menjadikan kawasan Johor Utara sebagai hub Industri Ruminan atau industri penternakan lembu pedaging, pesisir pantai dari Muar ke Johor Bahru masih tergendala. Kita mahu menjadikan penternak kita lebih berjaya. Sekarang Malaysia termasuk Johor terpaksa mengimport daging lembu dari luar negara. Itulah yang amat menyedihkan saya kerana banyak projek berimpak tinggi untuk masyarakat Johor terpaksa ditangguhkan.
Boleh Datuk dedahkan berapa sasaran jumlah kerusi bakal dimenangi PN pada PRN Johor kali ini?
Saya tidak boleh mendedahkan jumlah tepat namun bilangannya melebihi majoriti mudah dan membolehkan PN membentuk kerajaan Johor baharu selepas PRN nanti.
Ada penganalisis berpandangan untuk membendung kemaraan BN/UMNO di Johor, PN perlu membentuk khemah besar bersama PH dan rakan parti pembangkang lain. Apa pandangan Datuk?Perkara itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti, tugas saya sebagai Setiausaha Bersatu Johor adalah memastikan jentera parti sentiasa bersiap sedia dan kita menang PRN Johor.
PERTEMBUNGAN SENGIT BERSATU-UMNO DI TIMUR JOHOR
Apa cabaran Datuk untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong dalam PRN Johor nanti?
Saya berkeyakinan kuat dan sebagai doktor kita sudah menganalisis masalah, jadi sepanjang berkhidmat di DUN Bukit Kepong, apatah lagi dengan sokongan dan bantuan dari pemimpin senior seperti Muhyiddin dan Datuk Tahir Mohd Taat selaku orang lama dalam parti sekali gus memudahkan saya berkhidmat di DUN Bukit Kepong.
Malah hubungan saya dengan ketua jabatan dan pucuk pimpinan masyarakat termasuk kadi, imam dan ketua kampung sangat akrab sehingga menyebabkan segala isu dan masalah di DUN Bukit Kepong dapat ditangani dengan jayanya.
Malah, dari segi sokongan bumiputera juga tiada masalah. Buktinya setiap kali saya mengadakan program bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di DUN Bukit Kepong, ramai penduduk menyertai dan sambutannya amat positif. Jadi saya percaya insya-ALLAH saya akan dapat mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong pada PRN kali ini. Masyarakat bukan Melayu melihat seorang pemimpin itu mampu bekerja untuk rakyat atau tidak, berintegriti dan amanah atau tidak? Jadi jika seseorang pemimpin itu berintegriti, jujur dan amanah insya-ALLAH, baik orang Melayu, Cina dan India serta kaum lain akan dapat menerimanya dan mendapat sokongan.
Boleh Datuk jelaskan mengenai kawasan yang bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Bersatu dan BN dalam PRN kali ini?
Sebetulnya kawasan yang akan menyaksikan pertembungan sengit antara Bersatu dan UMNO adalah di bahagian timur Johor. Cabarannya memang cukup hebat namun saya cukup yakin kita mampu menang kerana kebanyakan wakil rakyat kita sebelum ini pun menang di kawasan utara dan timur Johor. Jadi insya-ALLAH tiada masalah kerana kebanyakan wakil rakyat Bersatu sentiasa turun padang membantu penduduk menghadapi masalah.
Klik di sini untuk terus membaca