SAYA tidak melaluinya, apatah lagi menjadi saksi mata tetapi saya mendapat tahu daripada pelbagai sumber, bagaimana ketika Felda mula dibuka lebih 60 tahun dahulu, banyak suara menentangnya dan tidak sedikit yang meramalkan ia akan gagal.... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA tidak melaluinya, apatah lagi menjadi saksi mata tetapi saya mendapat tahu daripada pelbagai sumber, bagaimana ketika Felda mula dibuka lebih 60 tahun dahulu, banyak suara menentangnya dan tidak sedikit yang meramalkan ia akan gagal.

Ramai yang ditawarkan peluang menjadi peserta (ketika itu belum muncul istilah peneroka) menolaknya. Selain itu, terdapat banyak kes peserta yang telah terpilih lari balik kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat baharu, yang kebanyakannya terletak di tengah belantara baru diteroka.

Ketika kerajaan mahu membangunkan Pulau Langkawi menjadi pulau bebas cukai dahulu pun begitu juga. Ramai yang bukan sahaja membantah tetapi juga mempertikai dan memperlekehkannya.

Sekarang ini, mungkin ramai dalam kalangan mereka yang mengkritik dan meremehkan Felda dahulu itu telah kembali ke alam yang satu lagi.

Bagi yang masih hidup, tentu mereka malu sendiri melihat bagaimana Felda berkembang maju dengan para peserta yang dahulu tiada apa-apa, kini kebanyakannya mampu hidup lebih baik.

Kalau kerajaan mendengar suara-suara yang menentang, Langkawi juga sekarang ini mungkin kekal menjadi pulau yang dimakan sumpah. Masih padang jarak padang tekukur. Tak merasalah pelancong hendak makan siakap kayangan.

Menolak dan adakala sehingga ke peringkat menentang perubahan adalah perkara lumrah dalam kehidupan.

Sejarah sarat dengan kisah-kisah seperti ini. Ia bukan sahaja melibatkan soal perubahan dalam perkara-perkara berskala besar seperti berkaitan dengan pembangunan negara atau sistem masyarakat tetapi juga yang membabitkan kumpulan-kumpulan kecil seperti di tempat kerja. Tidak terkecuali perubahan-perubahan bersifat individu. Semuanya ada cabaran dan ada halangan.

"Sudah banyak kali saya cuba berubah bang tetapi keluarga tak boleh terima saya. Masyarakat juga terus pandang serong terhadap saya. Asal ada benda hilang, waima anak ayam buta sekalipun, sayalah yang jadi sasaran.

"Akhirnya saya kembali ke sini. Hidup bersama-sama mereka yang senasib dengan saya. Di sini tiada siapa yang perasan dirinya lebih mulia daripada orang lain. Kami setaraf. Sama-sama gelandangan.”

Itu pengakuan yang saya pernah dengar daripada seorang anak muda, dengan kehidupannya berpindah-randah dari satu kaki lima ke kaki lima yang lain di Kuala Lumpur.

Dalam kes ini, kita mungkin melihat anak muda itu yang menolak perubahan. Dia tidak cukup kental mendepani cabaran yang datang bersama perubahan yang cuba dilakukannya tetapi yakinlah bahawa dia tidak perlu berpatah balik ke sarang lamanya jika keluarga dan masyarakat tidak terlalu skeptikal serta mengalu-alukan perubahan tersebut.

PEMBANGUNAN

Bukan tidak ada kes di mana penduduk di sesuatu tempat menolak rancangan pembangunan yang melibatkan kawasan mereka.

Penentang-penentang jenis ini disebut nimbys, kependekan daripada Not In My Backyard. Selalunya hal itu berlaku apabila mereka (penduduk) bimbang pembangunan dirancang itu akan menjejaskan hak dan kehidupan mereka.

Dan selalunya pula, kes-kes begini akan menjadi lebih panas apabila ada pihak-pihak luar campur tangan, sama ada untuk menyimbah petrol atau menyiramkan air bergantung di mana terletaknya kepentingan pihak luar berkenaan.

Sahabat-sahabat yang mengetuai sesebuah jabatan atau mengusahakan perniagaan tentu cukup faham tentang bagaimana sukarnya melaksanakan sesuatu perubahan.

Usahkan hendak memperkenalkan dasar atau pendekatan baharu, hendak mengubah skop tugas seorang kakitangan pun kadang-kadang payahnya bukan main.

Penolakannya akan diterjemahkan dengan seribu satu cara, daripada memuncungkan bibir hingga ke tingkap sehinggalah kepada mensabotaj tempat dia sendiri mencari rezeki.

Beban yang lebih berat ditanggung oleh mereka berstatus pemimpin. Semakin besar pasukan dipimpin, semakin besarlah pula keberangkalian munculnya penolakan terhadap apa juga idea dan gagasannya. Kalau tersilap langkah, yang ditolak nanti bukan sahaja perubahan tetapi juga pemimpin itu sekali!

Ada banyak sebab kenapa manusia cenderung menolak sesuatu dan antara paling sering adalah takut perubahan itu akan menyebabkan mereka hilang kawalan ke atas sesuatu, hilang keselesaan yang selama ini dikecap hasil daripada kebiasaan pada keadaan sedia ada, dan takut dengan ketidakpastian yang menanti di hadapan susulan daripada perubahan tersebut.

PERUBAHAN

Penentang-penentang perubahan juga banyak jenisnya. Ada yang menolak perubahan melibatkan dirinya sahaja tetapi tidak kisah jika perubahan itu terjadi kepada pihak lain.

Di antara dua laluan yang melintasi Jambatan Haizhuyong di kota Guangzhou, ‘terselit’ sebuah rumah satu tingkat berukuran 40 meter persegi dan ia menjadi satu-satunya rumah yang terdapat di situ. Punca keberadaannya di situ adalah kerana pemiliknya enggan berpindah dan menolak tempat baharu yang ditawarkan kerana menganggap tempat itu tidak kena dengan ‘selera’nya.

Contoh lain banyak terdapat di merata dunia tetapi contoh paling mudah boleh dilihat dalam filem animasi Up yang melatari kisah seorang tua enggan menjual rumahnya yang menjadi ‘gedung’ nostalgia dia dan isterinya sehingga menyebabkan rumah itu menjadi ‘binaan ganjil’, terselit di celah-celah bangunan pencakar langit.

Penentang perubahan jenis individualistik ini memang memeningkan kepala tetapi seperti nimbys lain, sekurang-kurangnya mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Yang lebih membingungkan adalah jenis yang menentang apa sahaja. Asal namanya perubahan, dia akan tentang tidak kira sama ada perubahan itu membabitkan dirinya ataupun tidak.

Kalau itu belum cukup mengarut, ada lagi yang lebih mengarut iaitu jenis yang dia tidak menolak perubahan pada dirinya tetapi dia tidak mahu orang lain berubah. Dia sendiri tinggal di banglo besar di atas bukit tetapi dia memimpin tunjuk perasaan menentang projek pembangunan di kawasan bukit.

Abaikan mereka. Ingatkan diri kita bahawa melakukan perubahan adalah tuntutan ke atas setiap manusia. Itulah yang terkandung dan terselindung dalam konsep ‘hijrah’.

Sama ada sebagai individu, sebagai ahli keluarga, sebagai masyarakat, sebagai peneraju syarikat, sebagai ketua jabatan, sebagai pemimpin, malah sebagai pengemis jalanan, jadikanlah perubahan sebagai kata kunci utama dalam menjalani kehidupan ini.

Perubahan juga haruslah bermakna bergerak daripada satu keadaan kurang baik atau tidak baik kepada yang lebih baik. Jika hari ini pendapatan kita RM50 dengan bekerja lapan jam sehari, maka ubahlah ia kepada sembilan atau 10 jam sehari supaya angka pendapatan itu menjadi RM60 atau lebih.

Akan ada yang meremehkan. Mengejek dan berusaha menarik kita ke belakang. Lagi sekali abaikan.

Kerana terpedaya dengan bisikan-bisikan dari luarlah, Qabil mempersembahkan korban yang akhirnya ditolak oleh ALLAH. Jangan jadi Qabil, jadilah seperti Ismail yang berani menyerahkan leher kepada apa yang diyakininya sebagai betul dan benar. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca