MALAM 27 Rejab iaitu malam Israk Mikraj baru sahaja berlalu. Peristiwa yang berlaku 1,400 tahun lampau itu amat signifikan bukan sahaja buat baginda Rasulullah SAW, bahkan penting buat seluruh umat Islam. Nabi Muhammad SAW dibawa ke langit... Klik di sini untuk terus membaca

MALAM 27 Rejab iaitu malam Israk Mikraj baru sahaja berlalu. Peristiwa yang berlaku 1,400 tahun lampau itu amat signifikan bukan sahaja buat baginda Rasulullah SAW, bahkan penting buat seluruh umat Islam.

Nabi Muhammad SAW dibawa ke langit pada tahun yang dikenali sebagai Tahun Dukacita. Tiga malang besar terjadi kepada baginda. Pada tahun 622 masihi itu, isteri tercinta baginda, Siti Khadijah Khuwailid pergi menghadap Illahi.

Abu Talib pula adalah bapa saudara yang paling disayangi Nabi kerana sentiasa mengasihinya sejak kecil. Bapa saudaranya itu kerap menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk melindungi Nabi daripada pelbagai angkara kaum Quraisy.

Sebagai insan yang disayangi, Nabi begitu sedih kerana bapa saudaranya itu tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah hingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun itu juga, Nabi dan anak angkatnya, Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah. Mereka bukan sahaja menolak ajaran yang dibawa baginda, malah mencederakannya. Peristiwa ini juga menambah kesedihan baginda.

Kita telah membaca perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Masjid al-Aqsa di bumi dan terangkat ke langit hingga ke Sidratul Muntaha. Banyak jua tafsiran dan pandangan mengenainya. Antara yang menarik ialah pandangan Dr Syofyan Hadi, seorang pensyarah di Universiti Imam Bonjol, Padang, Sumatera. Katanya, ALLAH SWT menghiburkan Nabi yang berdukacita dengan membawanya mengembara hingga ke hujung alam.

Walaupun tiada cendekiawan lain yang berpandangan seperti beliau, namun tiada pula yang menyanggah sudut pandang ini. Sebaliknya, ia menjadi antara pandangan yang diterima umum. Jika begitu, apakah mengembara itu sesuatu yang menghiburkan atau yang lebih penting, menghilangkan duka lara?

Menurut Dr Tamara McClintock, seorang pakar psikologi dari California, mengembara itu menghilangkan stres. Katanya, melakukan sesuatu yang di luar rutin itu dapat merehatkan minda agar ia relaks. Mengembara juga membina semula diri kita yang baharu. Perjalanan ke sesebuah tempat yang belum pernah dikunjungi memberi kita peluang untuk menilai semula diri.

AURA TEMPAT BARU

Mengembara juga merangsang kreativiti. Menurut Adam Galinsky, seorang Profesor di Columbia Business School, berkunjung ke tempat baharu memberi kita peluang untuk belajar sesuatu yang baharu. Proses menempah tiket kapal terbang dan berbaris di kaunter penerbangan memberikan seseorang itu untuk belajar semula pentingnya mematuhi sistem.

Cuba memahami bahasa baharu, belajar menjamah hidangan yang belum pernah dirasa, menyesuaikan diri dengan cuaca, melihat alam semula jadi mahupun rimba batu di tempat orang, tidak akan melupakan kita kepada apa yang biasa dilalui.

Apabila kita meninggalkan diri yang biasa, kelima-lima pancaindera iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan tangan yang menyentuh tiba-tiba menjadi terangsang dan peka. Kita menjadi siap siaga seperti rusa masuk kampung. Ia amat bagus kerana akan mensensitifkan semula segala deria.

Yang penting juga, apabila kita berehat daripada rutin harian, kita berpeluang untuk menghayati kebesaran ALLAH SWT. Banyak ayat al-Quran menggalakkan kita mengembara. Di antaranya ialah ayat 137 Surah Ali Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadiankejadian berdasarkan) peraturan-peraturan ALLAH yang tetap. Oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).”

Jadi, tinggalkan segala yang dinamakan kesibukan. Lepaskan kerja buat beberapa hari. Pasti bos akan agihkan tugas kita kepada yang lain. Insya-ALLAH, mereka di pejabat tidak akan menghubungi kita. Mereka sedang sibuk hingga terlupakan kita. Maknanya kita sudah jadi tidak penting. Oleh itu, sedarilah bahawa kita perlu pentingkan diri andainya jika mahu hidupkan diri yang dah hilang.

Barangkali, diri kita yang sebenar sudah tertinggal di kampung halaman!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca