JOHOR BAHRU - Hanya Perikatan Nasional (PN) pilihan terbaik rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi mengembalikan kemajuan ekonomi, pendidikan dan kestabilan politik di negeri Johor, pada masa depan.
Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, PN sudah membuktikan sebelum ini mempunyai rekod yang cemerlang baik di peringkat Persekutuan mahu pun semasa mentadbir Johor.
"Saya seorang doktor dan berpengalaman menangani pelbagai kes termasuk pencemaran Sungai Kim Kim. Saya berjaya menangani isu Sungai Kim Kim bersama Allahyarham Datuk Osman Sapian yang menjadi Menteri Besar ketika itu.
"Saya juga berjaya menangani isu kes pencemaran di Taman Mawar. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hampir berjaya menangani kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara sebelum dijatuhkan oleh geng Kluster Mahkamah," katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Sinar Premium di sini baru-baru ini.
Lantaran itu, tambah Sahruddin, beliau amat bersetuju dengan tindakan Muhyiddin merangkap Pengerusi PN yang menawarkan diri untuk menjadi Penasihat Ekonomi Johor jika parti itu berjaya menang dalam PRN Johor pada 12 Mac nanti.
"Saya sangat setuju dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin kerana kita memang memerlukan pemimpin bijaksana dan berpandangan luas, tinggi ilmu mentadbir dalam sesebuah negeri dan negara. Tan Sri adalah seorang bekas Menteri Besar Johor, bekas Perdana Menteri, jadi beliau tahu strategi bagaimana bagi memastikan pembangunan ekonomi Johor.
"Lebih baik Tan Sri Muhyiddin menjadi Penasihat Ekonomi berbanding orang sebelah sana penasihat ekonominya adalah Kluster Mahkamah. Jadi apabila mereka (UMNO) cakap Menteri Besar Johor akan menjadi boneka kepada Tan Sri Muhyiddin mereka silap dan belum terbukti.
"Tetapi apa yang terbukti adalah negeri Johor menjadi boneka Kluster Mahkamah, kerana tiada hujan dan ribut tiba-tiba PRN Johor. Siapa cakap negeri Johor tidak stabil, kerana Belanjawan Johor 2022 sudah lulus, kemudian undian untuk kelulusan Undi18 pun tiada masalah.
"Selepas dua undian berkaitan dua isu berkenaan lulus sepatutnya isu ketidakstabilan kerajaan negeri tidak timbul jadi penting masyarakat Johor dapat melihat bahawa kerajaan negeri sekarang adalah boneka kepada Kluster Mahkamah," katanya yang merupakan Setiausaha PN dan bekas Menteri Besar Johor.
Katanya, PRN Johor sebenarnya tidak perlu diadakan dalam masa terdekat kerana ekonomi negara belum pulih sepenuhnya dan kes Covid-19 masih lagi tinggi termasuk di Johor.
"Khabar angin semua orang boleh bercakap tetapi kena ada bukti kukuh. Malah, semua orang bercakap mahu melompat keluar dari Bersatu, namun akhirnya menyokong BN.
"Jadi sebetulnya kerajaan sedia ada masih stabil, kecuali jika ia berlaku di Melaka mereka keluar dari kerajaan dan menyertai blok pembangkang. Ini tidak mereka keluar Bersatu yang menjadi sebahagian kerajaan negeri dan menyertai UMNO.
"Jadi dakwaan kerajaan negeri Johor tidak stabil hanyalah alasan BN untuk membubarkan DUN dan akhirnya yang sengsara adalah rakyat. Masalah Covid-19 gagal di atasi malah semakin teruk dan meningkat.
"Jadi apa tindakan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan yang ada sekarang seolah-olah mereka tidak mengambil tindakan konkrit untuk membantu rakyat dan mengurangkan jangkitan Covid-19," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca