SHAH ALAM – Kegagalan sistem pendidikan untuk membina 'roh' mengakibatkan integriti dalam diri majoriti masyarakat sudah tiada. Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pendidikan terutamanya pendidikan agama adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Kegagalan sistem pendidikan untuk membina 'roh' mengakibatkan integriti dalam diri majoriti masyarakat sudah tiada.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pendidikan terutamanya pendidikan agama adalah perkara asas atau 'sauh' yang membentuk keperibadian seseorang manusia.

"Bila kita bercakap pasal benda besar (soal integriti), kita lupa kepada benda asas. Benda asasnya berbalik kepada apakah tujuan dan matlamat pendidikan? Ia adalah untuk membentuk keperibadian manusia.

"Biarlah dia (seseorang itu) tidak ada ijazah doktor falsafah (PhD) tetapi dia mencernakan jiwa dan sifat seperti Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba.

"Beliau tidak ada PhD tetapi diberi taraf pendeta dan beliau sebenarnya menunjukkan sifat-sifat seorang pendeta kerana memiliki nilai-nilai yang unggul, mulia, suci dan murni,” katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Annuar yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak menegaskan, walaupun negara pada hari ini sudah ada ribuan rakyat yang memiliki PhD, bertaraf profesor serta tertubuhnya Majlis Profesor Negara (MPN), namun timbul persoalan sama golongan itu memiliki jiwa kependetaan atau tidak.

Mohd Annuar (kanan) dijemput sebagai tetamu pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

"Adakah mereka seorang yang mempunyai dan mempertahankan maruah dan nilai-nilai yang unggul, mulia, suci, murni atau mereka menjadi ‘burung kakak tua’ untuk mengesahkan dan menyokong kepada sumber yang telah memberikan mereka 'payung' kekayaan.

"Jadi nilai pada diri mereka yang membuatkan kita sendiri bertanya akan taraf mereka sama ada wajar dia mendukung satu gelaran seorang profesor. Sepatutnya dia tidak berkompromi dalam menyuarakan perkara-perkara kebenaran,” ujarnya.

Katanya, sistem pendidikan yang berjaya seharusnya dapat membina 'roh' dan keperibadian mulia dengan sifat-sifat terpuji seperti tidak menipu, tidak takut mengaku kesalahan dan kesilapan sendiri seterusnya berusaha untuk memperbaiki diri.

"Membuat kesilapan itu adalah satu norma manusia tetapi keberanian mengaku kesilapan, ALLAH menjanjikan pengampunan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca