SHAH ALAM - Arahan pembayaran pampasan bernilai kira-kira RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu yang terakhir disifatkan sebagai permainan politik antarabangsa semata-mata. Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tuntutan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Arahan pembayaran pampasan bernilai kira-kira RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu yang terakhir disifatkan sebagai permainan politik antarabangsa semata-mata.

Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tuntutan itu hanya isu yang direka untuk memberi ancaman, memburukkan nama dan menyusahkan rakyat Malaysia.

Menurutnya, perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo itu sebenarnya sudah pun dilupuskan sekitar tahun 1948.

"Setahu saya hal ini sudah selesai. Perjanjian 1878 dah lupus, ia telah diatasi menerusi beberapa perjanjian dengan British yang menutup tuntutan itu sebelum pembentukan Malaysia lagi.

"‘Tidak sepatutnya ada tuntutan, saya cadangkan kerajaan kaji semula sejarah sebab hal ini memang dah diputuskan, jadi tidak perlu dilayan.

"Tambah pula Malaysia sekarang berada dalam situasi politik yang lemah, konsentrasi lebih tertumpu pada masalah dalaman, jadi pihak antarabangsa akan ambil peluang.

"Memang ini satu strategi politik pihak luar untuk menghentam dan melemahkan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Isnin, laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris sultan Sulu itu sekurang-kurangnya RM62.59 bilion.

Pembayaran wang sebanyak RM5,300 setahun itu adalah berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Ahlam Kiram dengan dua pedagang Eropah, Alfred Dent dan Baron von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Jelas Ramlah, sekitar tahun 1948, mahkamah Filipina telah melayan tuntutan bekas Sultan Sulu, Jamalul Kiram III dan memutuskan Malaysia perlu membayar pampasan berkenaan.

"Kerajaan Malaysia nak elakkan keadaan lebih keruh, jadi kita bayar setiap tahun. Tapi, pada 2013, Jamalul Kiram III meninggal dunia, kemudian datang dua kumpulan yang menuntut bayaran tersebut. Tetapi wang berkenaan tidak boleh diberi sebab tidak ada satu keluarga pun yang jelas hak mereka," ujarnya.

Dalam masa sama, Ramlah turut mempersoalkan tindakan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa yang mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis.

"Arahan ini tidak sah, jika disemak betul-betul sejarahnya, memang British dah buat perjanjian dengan kesultanan Sulu, jadi sudah tidak ada tuntutan. Kenapa pula Sepanyol yang keluarkan (arahan) sedangkan sebelum ini Sabah sudah pun jadi tanah jajahan British.

"Bukan mahkamah dunia, timbang tara Madrid itu siapa yang kenal? Memang dari segi peraturan, benda ini dah selesai dah. Jadi saya rasa kita tidak perlu respon.

"Perdana Menteri pun kena hati-hati keluar kenyataan, jangan ikut cakap dunia saja. Kena panggil ahli sejarah yang memang buat kajian tentang perjanjian ini,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca