[MUKADIMAH] Peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 bukan sahaja menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang Putrajaya malah membawa ‘tsunami’ politik yang tidak berkesudahan dalam negara. PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 bukan sahaja menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang Putrajaya malah membawa ‘tsunami’ politik yang tidak berkesudahan dalam negara.

PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP selepas itu juga tampak kurang lagi menyengat dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja sangat penting untuk PH menebus kekecewaan mereka di Melaka dan Sarawak bahkan menjadi petunjuk sokongan rakyat menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarang Berita Sinar Harian, ZAMRI RAMBLI dan wartawan, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN serta MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI berkesempatan menemu ramah Pengerusi PKR Johor, SYED IBRAHIM SYED NOH di pusat khidmatnya di Ledang, Muar baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat perbezaan kualiti dan personaliti calon-calon ditampilkan pada PRN Johor ini?

SYED IBRAHIM: Dari segi calon-calon PKR kali ini, kita mempunyai gabungan pelbagai aspek. Misalnya calon-calon penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lepas, kesemua mereka akan bertanding semula kecuali penyandang DUN Pemanis. Beliau dahulu adalah calon kita sebelum melompat parti.

Jadi, yang lain-lain adalah di DUN Semerah (Mohd Khuzzan Abu Bakar), Bukit Naning (Md Ysharuddin Kusni) dan Tiram (S Gopalakrishnan).

Dari segi komposisi calon, saya sudah sebutkan banyak campuran terdiri gabungan orang lama, muka baharu, wanita dan pemuda. Calon ini ditampilkan bukan sahaja ambil kira keterampilan, personaliti dan kemampuan menggalas tugas, namun turut dikenal pasti dari sudut kesesuaian mereka bertanding di sesebuah kawasan.

Dengan mengambil strategi menggunakan logo pilihan raya berbeza dengan PH, bagaimana penerimaan rakyat Johor terutama pengundi Melayu dan 750,000 pengundi baharu terhadap kempen PKR setakat ini?

Kita sudah buat keputusan berkenaan logo ini walaupun tidak mudah. Sebagai antara parti dalam PH, kita ada logo parti masing-masing dan kita ada logo PH. Justeru, keputusan akhir adalah PKR akan guna logo parti sendiri manakala Amanah dan DAP akan guna logo PH.

Faktor logo adalah penting selain strategi dan jentera. Bila sebut mengenai signifikannya logo, kaji selidik dan perkara-perkara ini perlu dilakukan. Mahu atau tidak, saya kena sebut apa yang PKR lalui pada PRN Melaka memang menjadi pengajaran.

Memang betul, kalau dalam kalangan pengundi Melaka di luar bandar, kita dapati mereka lebih mengenali logo ‘mata’ yang simboliknya logo PKR. Mereka juga berpersepsi logo Harapan yang berwarna merah adalah logo DAP. Justeru, strategi penggunaan logo pilihan raya memang ada kesannya ke atas pengundi.

Jika singkap kembali PRU14, logo yang PH gunakan adalah logo PKR. Jadi, logo PKR sebenarnya sudah ada penjenamaan baik bukan sahaja dalam kalangan pengundi bandar dan kawasan campuran, tetapi juga kawasan luar bandar.

Jadi, kami rasa logo PKR ini merupakan satu kelebihan yang boleh diberi peluang untuk sekali lagi kita buktikan pada PRN Johor sebagai daya tarikan. Hakikatnya tidak ada kekeliruan kepada rakyat sebab mengundi ikut DUN. Jadi dalam kertas undi itu, hanya akan ada logo PKR atau logo PH. Tiada kedua-dua logo sekali dalam satu kertas undi.

Lebih menarik, bila logo PKR kembali digunakan pada PRN Johor, pengundi dilihat lebih tertarik kerana beranggapan logo ‘mata’ adalah mewakili Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Bagaimanapun, satu keperluan kaji selidik lebih objektif perlu dibuat selepas PRN Johor.

Di sebalik strategi guna logo pilihan raya, majoriti rakyat Johor masih skeptikal langkah itu memberi implikasi berbeza kepada kempen PKR kerana mereka beranggap PKR masih dipengaruhi DAP. Jadi bagaimana PKR mahu membuktikan sebaliknya?

Saya rasa kita kena buktikan tiada parti dalam PH yang mempengaruhi satu sama lain sebaliknya mewujudkan kerjasama kukuh. Sebab itu dalam perbincangan kami sebagai PH Johor, kita selalu tegaskan bahawa kita semua adalah rakan bersama yang sudah lama.

Maksudnya, ada kesepakatan kuat dan kita masih berpegang kepada dasar-dasar sama. Cuma strategi sekarang logo berbeza. Itu sahaja. Jadi saya ingin menegaskan strategi politik kami dalam PH sama, tawaran pun sama.

Kita akan mengeluarkan manifesto bersama. Naratif-naratif kempen pilihan raya yang akan dibawa oleh parti-parti PH juga adalah sama.

Dari segi konsep dan naratif, PH terbukti bersama melalui semangat setiakawan. Mesti ada tawaran khusus mengikut kawasan.

Bagaimana YB melihat pertembungan banyak penjuru yang bakal berlaku pada PRN Johor nanti? Adakah kewujudan lebih banyak parti pembangkang akan memecahkan lagi undi PH dan PKR?

Ini menarik. Di Johor, banyak tempat sejarahnya, banyak penjuru. Terutamanya kerusi DUN Gambir dalam Parlimen Ledang, sejarahnya daripada dahulu lagi kerusi itu ditandingi paling kurang lima penjuru. Sebab ada calon Bebas sampai tiga orang.

Jadi sudah tentu dengan suasana sekarang, di mana ada banyak parti. Ini kita kena buat penelitian tepat. Apakah kesan daripada banyak penjuru akan menjejaskan sokongan kepada PKR? Apakah senario pecah undi PH yang berlaku di PRN Melaka akan kembali berlaku di Johor?

Andaian asal PH adalah dengan kehadiran PN pada PRN Melaka, undi Melayu dikuasai BN sebelum ini akan berpecah. Makanya dalam suasana tiga penjuru, kita adalah pemenangnya. Namun perkara itu tidak berlaku kerana pengundi-pengundi kami yang pecah dan cenderung menyokong PN.

Jumlah undi yang diterima BN pada PRN Melaka adalah sama, cuma meningkat 0.5 peratus. Namun, ada cara-cara di mana kita kena pastikan yang pengundi-pengundi PH dan PKR mesti dibawa keluar mengundi. Jika langkah ini gagal dibuat, kita tidak payah cerita perkara lain.

Sebab itu, saya berpesan kepada jentera, jika kita ada keahlian 1,000 orang di sesebuah DUN, maka jumlah pengundi itu yang wajib dibawa keluar dahulu pada PRN kali ini. Kita tidak perlu sibuk hendak tarik sokongan pengundi muda dan atas pagar jika pengundi tegar kita pun gagal dibawa keluar.

Bagi pengundi muda dan atas pagar, kita pun ada strategi untuk menarik sokongan mereka bagi mengundi kita.

Saya harap semua parti pembangkang memfokuskan kepada musuh sama. Jadi kena ada strategi terbaik bagi mengelakkan undi pembangkang berpecah dan menyebabkan pihak musuh lebih relaks.

Syed Ibrahim

Adakah inisiatif khemah besar yang diwujudkan PH akan disambut semua pihak dalam blok pembangkang?

Suasana khemah besar pembangkang adalah sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia. Selepas PRU14, ia membuka era baharu politik di mana pembangkang kuat dan kerajaan pun kuat. Justeru kena ada semak dan imbang.

Seolah-olah boleh tawar-menawar. Bila macam itu, saya tengok banyak sangat perbincangan dilakukan dalam kalangan parti-parti untuk melihat cara bagaimana bergerak dalam suasana sebegini.

Bagi saya khemah besar ini kalau kita ambil sikap atau definisi besar, adalah bergabung dalam satu prinsip dan dasar bersama. Tidak ada berpuluh-puluh dasar, cuma mungkin hanya perlu beberapa dasar sahaja. Ia tidak memerlukan kepada satu pakatan rasmi, ia boleh jadi pakatan longgar. Tetapi ia kena jelas dari segi dasar.

Kalau hendak bergabung tetapi hendak masukkan pelbagai dasar seperti penentuan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak akan jadi kenyataan.

Saya pun bukanlah banyak pengalaman dalam proses perundingan parti. Tetapi apa yang saya nampak, perkara itu tidak mudah. Ada asas-asas tertentu yang menyebabkan kita sukar untuk berbincang dengan parti tertentu. Perbincangan mewujudkan khemah besar juga perlu dua atau lebih hala.

Katakan kita letak sesuatu komitmen, namun komitmen itu tidak dipersetujui satu lagi parti, akhirnya ia tidak boleh dianggap suatu yang terperinci seperti persetujuan mengenai sesebuah dasar, barisan kepimpinan atau faktor tertentu lain. Sebagai contoh, Pejuang tidak setuju MoU (memorandum persefahaman PH dengan Perdana Menteri), PH setuju MoU. Jadi bila hendak bincang, susahlah.

Jadi, adakah faktor itu menyebabkan PH tidak dapat bekerjasama dengan Pejuang?

Mungkin. Saya tidak terlibat dalam perbincangan itu namun, bagi PH, MoU adalah perkara dasar. Kita nampak ada kesukaran di peringkat parti-parti untuk bergabung di bawah khemah besar. Itu tidak menjadi satu keperluan kepada PH untuk membatalkan MoU hanya disebabkan parti lain tidak bersetuju. Jadi, perkara dasar ini mesti dipersetujui dahulu.

Berapa sasaran kerusi DUN Johor untuk dimenangi PKR pada PRN Johor nanti?

Kita bertanding 20 kerusi. Kita tahu landskap politik berubah menjadi sangat sukar. Dahulu kita bertanding 12 kerusi, kita menang lima DUN manakala satu DUN lagi ADUN lompat parti.

Jadi berdasarkan suasana itu, saya sasarkan kalau kita mampu menang separuh atau lebih separuh pun sudah memadai. Secara realistik, masing-masing ada perkiraan sendiri. Kalau dapat sampai lebih separuh kerusi DUN kita menang, itu petanda kebangkitan besar daripada rakyat.

Umum mengetahui isu rundingan kerusi di antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR sebelum ini mencetuskan kontroversi sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin akar umbi PKR. Apa sebenarnya berlaku dalam rundingan itu dan kerusi apakah yang terlibat dalam tawar-menawar dua parti berkenaan?

Konsep perbincangan kerusi di antara Muda-PKR saya akan ringkaskan. Pertamanya kita bincang di peringkat rundingan PH di antara Amanah-DAP-PKR. Kita sudah selesai rundingan ketika itu dengan 20 kerusi diberikan kepada Amanah dan 16 (DAP).

Kemudian, baru kita runding dengan Muda yang benar-benar bersedia untuk berunding berbanding parti pembangkang lain. Melalui rundingan dengan Muda, kita bersikap terbuka untuk mendengar, tetapi saya berharap Muda faham dari segi kekuatan dan latar belakang parti-parti.

Sebagai contoh, kekuatan PKR adalah di kawasan campuran, bandar. DAP banyak kerusi bandar. Tetapi kita tidak juga ketepikan kerusi luar bandar. Memang ada kekurangan sedikit di kawasan luar bandar tetapi kita percaya bahawa semua orang kena buat kerja.

Kena bantu. DUN Johor Lama, Tanjung Surat yang melibatkan majoriti lebih 80 peratus pengundi Melayu, mengapa PKR kena bertanding di sini?

Tetapi kita percaya kita kena buat kerja, bina jentera, bina pengaruh dan bina jaringan penduduk. Inilah perkara yang sepatutnya parti politik lakukan. Jadi bila macam itu, PKR tawarkan kerusi-kerusi yang Muda sepatutnya boleh ‘buat kerja’.

Muda kena ingat, masuk politik bukan sekadar tarik segmen orang muda sahaja, kena dapatkan sokongan semua segmen. Mereka mesti ada satu kesediaan keseluruhan. Atas alasan itu, PKR tawarkan tiga kerusi kepada Muda namun, Muda meminta tiga kerusi lain.

Boleh tahu kerusi apa ditawarkan PKR dan kerusi apa yang diminta Muda?

Kerusi ditawarkan PKR adalah kerusi Semarang, Sri Medan dan Tanjung Surat. Kerusi diminta Muda pula merupakan kerusi bandar iaitu Kempas, Gambir dan Larkin. Saya rasa perkara ini sudah disebut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mereka mahu menumpukan kepada kerusi-kerusi pernah ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu bersama PH terdahulu. Bagi saya, rundingan itu adalah proses yang tidak mudah. Maknanya kita sudah berbincang selama enam bulan. Akhirnya kita memutuskan supaya Muda akhirnya diberikan tiga kerusi disebutkan sebelum ini.

Sejujurnya, saya kagum dengan rakan-rakan Amanah dan DAP yang nampak bersedia (memberikan kerusi boleh menang kepada Muda). Tetapi saya rasa kita tidak boleh ambil kira hanya kerana Muda rakan kerjasama, kita beri kerusi boleh menang. Kita juga kena ambil kira faktor boleh menang calon ditampilkan Muda.

Kita kena pastikan kerusi itu diberikan untuk menang. Bukan hanya kerana elemen popular.

Ini semua adalah perkara-perkara asas dalam gerakan parti dan jentera. Bukan saya hendak perkecilkan dan hina Muda memandangkan kita adalah rakan. Tetapi lebih baik mereka menumpukan usaha bertanding di kerusi sedia ada diberikan, sediakan jentera pilihan raya sewajarnya. Barulah kita akan memberikan sokongan.

Adakah YB yakin kerjasama PH dan Muda akan berjalan lancar sepanjang PRN Johor?

Saya sentiasa sebut, kalau betul kita nampak musuh politik adalah sama, kita tidak payah bermain teka-teki. Soal langgar atau tidak, ini sentimen yang tidak positif.

Akar umbi akan nampak langkah Muda ini tidak gentleman. Bila saya baca reaksi daripada Twitter, tindakan Muda itu juga mendapat reaksi negatif pengundi.

Jadi, itu tidak membantu Muda-PH-PKR untuk keseluruhannya. Mungkin saya boleh kata kepada akar umbi, bila pertembungan Muda-PKR berlaku, yang akan rugi adalah pembangkang itu sendiri. Yang menang nanti akhirnya BN.

Sekiranya koalisi PH-Muda menang pada PRN Johor dan calon PKR diberi mandat untuk menjadi Menteri Besar Johor, apa tawaran, visi dan misi parti kepada rakyat Bangsa Johor?

Ini soalan penting. Saya nampak mesti ada kesepakatan dalam kalangan parti-parti pembangkang. Bila kita sudah memperoleh kemenangan, maka kena duduk berbincang secara tuntas tentang apa kebaikan untuk negeri dan rakyat Johor.

Secara umum, ia akan berkisar kepada tawaran manifesto yang bakal diumumkan nanti. Saya rasa tidak lari jauh daripada perkara dasar. Isu di Johor pastinya menyentuh soal ekonomi, pelaburan, perumahan.

Dalam tempoh tahun 2020 hingga 2021, sebenarnya kita ada lebih 30,000 rumah-rumah terbengkalai. Rumah-rumah ini tidak dapat dibeli disebabkan masalah ekonomi tercetus akibat krisis pandemik Covid-19. Ini jumlah yang sangat besar dan daripada analisis dikeluarkan persatuan pemaju perumahan, puncanya disebabkan pelaburan luar tidak masuk.

Pembeli-pembeli rumah di selatan Johor adalah daripada Hong Kong dan Singapura. Jadi apabila mereka tidak datang melabur, nilai jualan unit perumahan ini merosot teruk. Pada masa sama, kita hadapi isu rumah mampu milik yang terhad.

Bagaimana kita hendak kembalikan nilai pelaburan ekonomi di Johor? Justeru kita kena lakukan manifesto kepada rakyat yang lebih baik daripada dahulu.

Kalau PH kembali memimpin Johor, kita kena pastikan ia bukan sekadar memberi manfaat politik, tetapi akhirnya memanfaatkan rakyat dan masyarakat.

MENANG PRN JOHOR ITU SOAL POKOK, BUKAN CALON MB

Setiap kali PRN, isu siapa calon Menteri Besar (MB) bagi setiap parti pastinya menjadi tanda tanya utama dalam kalangan rakyat untuk mereka mendapat gambaran visi dan misi parti itu sendiri. Adakah PKR-Muda-PH sudah mencapai kata sepakat dalam pencalonan MB daripada parti mana? Bila pengumuman calon MB akan dibuat?

Strategi kali ini adalah berbeza berbanding di Melaka. Satu faktor adalah bangsa Johor kena kaedah berbeza. Yang kedua, isu tercetusnya PRN Melaka dahulu adalah disebabkan isu membabitkan Ketua Menteri. Tetapi di Johor, bukan cara sebegitu.

Namun, ia bukan bermakna kita boleh terima kepimpinan Menteri Besar Johor sebelum ini (Datuk Hasni Mohammad). Ini kerana MB sekarang daripada UMNO iaitu musuh kita.

Saya rasa isu siapa calon MB bukan menjadi satu persoalan pokok buat masa ini. Jadi, dalam kalangan parti-parti dalam PH mahu pun Muda, perkara ini langsung tidak dibincangkan. Saya rasa langkah itu tepat, lebih baik sebegitu.

Yang pertama kita bersetuju PRN ini diadakan secara paksa. Tetapi kalau kita lebih membicarakan soal siapa MB dan tidak bicara isu rakyat, jadi sama sahaja kita dengan mereka. Sudahlah rakyat muak politik, tolak PRN dan akhirnya tidak keluar mengundi nanti.

Jadi, kita kena fokus dan tumpu isu rakyat pada PRN kali ini. Bila sudah menang nanti, maka barulah kita boleh berbincang soal siapa bakal jadi MB berasaskan jumlah kerusi dimenangi antara kita kelak.

Saya rasa ramai pemimpin dalam PKR dan PH berpotensi menjadi calon MB Johor baharu. Sesiapa pun layak. Adakah itu dalam perkiraan saya sewaktu menentukan pemilihan calon? Ya. Tetapi untuk bincang perkara itu sebagai perkara pokok, tidak.

Syed Ibrahim Syed Noh bersama wartawan Sinar Harian, Khairil Anwar Mohd Amin (kiri) dan Mohd Faizul Haika Mohd Khazi (kanan) ketika ditemu bual di Ledang baru-baru ini.

Ini bermakna setiap parti dalam PH termasuk Muda, perlu bersedia dengan calon MB masing-masing sekiranya koalisi PH-Muda menang PRN Johor?

Saya boleh cakap bagi pihak PKR. Saya tidak pasti pendirian Amanah, DAP dan Muda. Ya, kaedah itu merupakan salah satu cara menentukan siapa calon MB daripada PH. Bahkan dalam PKR sendiri, kita sudah ada calon MB bayangan. Tetapi untuk menyatakan mereka inilah calon MB kita, tidak. Bukan itu menjadi persoalan pokok.

Adakah senarai calon MB Johor termasuk Dr Maszlee Malik (calon DUN Layang-Layang)?

Kita tiada nama spesifik siapa. Tetapi nama-nama yang disebut adalah dalam kalangan itu. Bila hendak memilih, kena ada kaedah tertentu untuk diteliti. Mungkin kena tengok bagaimana bentuk kemenangan dan sokongan diberi rakyat kepada calon berkenaan.

Namun, saya rasa pandangan daripada rakyat sangat penting. Pandangan rakan-rakan parti, pandangan akar umbi dan akhir sekali pandangan rakyat perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Orang mungkin nampak Maszlee sahaja, tetapi sebenarnya banyak lagi calon lain yang berpotensi dalam PKR mahu pun PH.

Klik di sini untuk terus membaca