SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia tidak perlu bertanggungjawab untuk bayaran sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu sebagaimana diarahkan Mahkamah Arbitrasi (Timbang Tara) Perancis yang memutuskan perkara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia tidak perlu bertanggungjawab untuk bayaran sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu sebagaimana diarahkan Mahkamah Arbitrasi (Timbang Tara) Perancis yang memutuskan perkara itu.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana secara dasarnya, kerajaan Malaysia tidak terikat dengan arahan keputusan tersebut sekiranya proses tuntutan itu tidak mendapat kerelaan kerajaan Malaysia sendiri.

"Isu ini adalah timbang tara yang dibuat secara bersendiri tanpa kerelaan atau kehadiran kerajaan Malaysia, maka jika ada keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA), secara dasarnya keputusan itu tidak mengikat dan kerajaan Malaysia tidak perlu mengambil apa-apa tindakan.

"Maka kerajaan Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab untuk membayar kepada (waris) Sultan Sulu. Jadi dalam konteks ini jelas kerana tuntutan timbang tara itu dibawa tanpa kehadiran kerajaan Malaysia dan tanpa kerelaan kerajaan Malaysia,”katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman web berita Sepanyol La Informacion bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu itu sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, isu tersebut berbangkit dipercayai bertujuan menimbulkan reputasi buruk terhadap kerajaan Malaysia justeru wajar agar kerajaan mengambil langkah untuk melindungi reputasi.

"Isu bayaran kepada (waris) Sultan Sulu, kita serah kepada kerajaan untuk menentukannya. Sebab perjanjian tersebut yang mengikat kerajaan Malaysia, namun bayaran dihentikan kerana pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

"Jadi perkara itu perlu diselesaikan mengikut pandangan dan keputusan kerajaan Malaysia, mungkin dengan berbincang serta membuat perundingan semula,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, jika kerajaan telah mengambil bahagian dalam perbicaraan PCA dalam isu tersebut, keputusan yang dibuat masih boleh diketepikan dengan membawanya ke Mahkamah Tinggi Malaysia.

"Peruntukan di bawah Akta Timbang Tara 2005 Seksyen 37 mengatakan bahawa jika apa-apa keputusan PCA atau keputusan timbang tara itu dibuat maka Mahkamah Tinggi boleh menyemaknya,'' ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca