SHAH ALAM - Pakar sejarah, Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong mempersoalkan jumlah pampasan sekurang-kurangnya RM62.59 bilion yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada waris Sultan Sulu yang terakhir adalah terlalu tinggi.
Menurut beliau, sekiranya benar Malaysia perlu berbuat demikian, kadar bayaran sepatutnya hanya sekitar RM53,000 sahaja berdasarkan pemberian sebanyak RM5,300 setahun.
"Ia sepatutnya sekitar RM53,000 sahaja, bagaimanakah ia dikira? Inilah persoalan yang membingungkan rakyat.
"Pihak media perlu cuba memberi jawapan kepada jumlah pampasan tersebut yang bersifat semacam tiga juta kali daripada persetujuan asal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris sultan Sulu itu sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).
Malaysia dilaporkan telah berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 susulan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Stampa dipetik sebagai berkata, dengan tidak membayar wang pemisahan sejak 2013, Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.
Mengulas lanjut, Kok Seong bagaimanapun berkata, Perjanjian 1878 itu sah kerana diakui kerajaan Malaysia setelah mengambil alih pentadbiran Sabah melalui penubuhan Malaysia pada 1963, dengan meneruskan bayaran semenjak tahun 1878.
"Sehubungan ini, pemberian sebanyak RM5,300 setahun terus dilakukan sehingga peristiwa Lahad Datu pada 2013, apabila waris Kesultanan Sulu menyerang kita di Sabah.
"Sudah hampir 10 tahun ia dihentikan yang sebenarnya bertentangan dengan perjanjian ini.
"Justeru, kita memang bersalah dalam hal ini, walaupun kita amat terkilan dengan serangan berkenaan yang sebenarnya adalah pencabulan terhadap perjanjian 1878 oleh pihak Kesultanan Sulu,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca