[MUKADIMAH] Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini mengkritik sifat segelintir pemimpin yang memberi pelbagai alasan untuk ‘menghalalkan’ kesalahan yang dilakukan terutama membabitkan soal integriti dan rasuah.
Tegas beliau, Malaysia juga masih belum ada budaya seperti di Korea, Jepun dan beberapa negara Barat yang maju di mana apabila pemimpin atau mana-mana individu yang berjawatan melakukan kesalahan, mereka akan meletakkan jawatan.
Ikuti kupasan mendalam daripada Mohd Annuar tentang pentingnya sistem nilai diperkasakan bagi menjaga integriti dan mencegah rasuah serta salah laku dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
JOHAN: Akhir-akhir ini Datuk Seri banyak bercakap tentang soal etika, sistem nilai orang Melayu dan sebagainya. Apa yang mendorong Datuk Seri berbuat demikian?
MOHD ANNUAR: Pada saya perkara-perkara ini menjadi asas atau sauh kepada diri seseorang dan hari ini saya lihat benda itu sudah tidak ada. Saya sentiasa mengambil satu contoh pengajaran dan guru dalam soal integriti. Saya tidak malu mengaku saya seorang anak nakal yang mula menghisap rokok pada umur seawal sembilan tahun. Ini pengalaman peribadi.
Ini bagi saya sebesar-besar guru di mana bila saya bercakap tentang integriti, saya gunakan contoh ini. Pada umur sembilan tahun, saya hisap rokok sebab nenek saya memang seorang perokok. Nenek saya keluarga bangsawan, jadi merokok itu satu budaya dalam keluarga saya dan apabila dia tidak ada mancis, saya ditugaskan untuk menyalakan api rokok. Di situlah saya mula belajar memegang rokok.
Saya mula merokok secara main-main sehinggalah pada tahun 1970 apabila saya sudah berumur 18 tahun dan berada di Tingkatan Enam. Masa itu anak-anak Melayu kalau dapat masuk ke Tingkatan Enam, walaupun dalam aliran sastera pun dianggap cukup hebat. Masa itu saya dapat biasiswa bulanan RM150.
Pada ketika itu nilainya begitu besar sebab gaji saya sebagai guru sementara pun RM150 sebulan, anak Tingkatan Enam pun dapat RM150. Jadi saya sudah ada wang yang lebih dan sudah mula membeli rokok dengan jumlah yang besar, yang boleh beli sekotak rokok enam batang dan boleh mula menghisap enam batang rokok sekurang-kurangnya satu hari.
Tanpa saya sedari ia beri kesan fizikal, bibir dan gusi saya sudah mulai hitam. Satu hari ayah saya tanya satu soalan adakah saya merokok dan saya mengaku saya merokok. Dia pula bukan seorang perokok dan dia nasihatkan saya kalau boleh berhentilah. Tetapi pagi esoknya bila saya sarapan, ibu saya beritahu saya yang bapa saya berbangga kerana saya memiliki sifat yang jujur.
Dia akan lebih kecewa kalau saya menafikannya. Maknanya dengan seorang ayah, saya sanggup menipu. Saya ada pilihan untuk mengatakan tidak tetapi kesan peristiwa itu, saya tidak merokok di depannya sebagai tanda hormat.
Bila saya masuk ke universiti, saya balik ke rumah di Tumpat, Kelantan. Pada satu malam dia tanya saya adakah saya sudah berhenti merokok, saya kata tidak. Dia kata dia tak nampak saya hisap rokok, adakah kerana saya tidak ada duit. Saya kata tidak, saya kata saya hormat pada bapa dan dia bertanya pada saya rokok jenis apa saya hisap.
Esoknya bila dia balik kerja, dia belikan saya sekarton rokok Benson & Hedges. Jadi saya melihat dari situlah sebesar-besar pengajaran apabila kita bersifat jujur. Bila kita mengaku dan bertaubat, Tuhan mengampunkan kita dan ayah saya memahami dan dia lebih kecewa kalau saya menipu.
Inilah bagi saya pengajaran yang saya hidupkan dalam jiwa saya. Sepanjang bekerja, kalau saya buat salah, saya akan mengaku. Kalau saya tersalah guna barang pejabat, saya pulangkan balik sebab pada saya itulah sebesar-besar guru atau ilmu yang ayah saya tinggalkan.
Apa makna integriti pada hari ini Datuk Seri?
Saya nampak tidak ada (integriti) sebab orang yang mengambil duit boleh menafikan. Dia kata tidak ambil duit. Orang yang misalnya melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan arahan-arahan perkhidmatan, memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan kesalahannya. Kita masih belum ada budaya seperti di Korea, Jepun dan beberapa negara Barat yang maju yang apabila mereka melakukan kesalahan contohnya seorang pemandu bas yang melanggar orang dan mati, dia sanggup letak jawatan kerana merasakan dia harus mengaku bahawa ini satu kesalahan.
Apa maknanya perbuatan mengaku kesilapan itu dalam konteks kita pada hari ini sedangkan kita tahu bahawa sistem nilai kita sudah berubah? Pada dasarnya mereka mengambil sikap kenapa nak mengaku?
Ia kerana bagi saya di situ kegagalan pendidikan agama pada hari ini. Ia tidak membina roh sebab di dalam Islam sudah terang dinyatakan bahawa kalau kamu membuat kesalahan dan kesilapan kau akan dihukum. Contohnya, Nabi Adam AS sendiri setelah dipesan oleh ALLAH SWT agar jangan mendampingi pohon khuldi tetapi baginda tetap mendampinginya. Ini kelemahan manusia. Nabi Adam kemudian dihukum, dicampakkan ke dunia dan baginda sepanjang hidup bertaubat memohon keampunan atas kesilapan itu agar dapat kembali semula ke syurga.
Jadi kalau kita berpegang kepada itu, membuat kesilapan adalah satu norma manusia tetapi keberanian mengaku kesilapan itu, ALLAH menjanjikan pengampunan. Berbalik kepada kisah saya, daripada ayat yang dituturkan ayah saya kepada ibu saya yang bahawa dia akan lebih kecewa kalau saya menafikan. Jadi ayat itu satu ayat yang cukup berharga kepada saya.
Jadi saya didik anak-anak saya begitu juga. Misalnya kalau mereka sudah memecahkan satu balang kaca walau tidak mahal tetapi jangan cari alasan seperti salahkan kucing. Dosa kita menipu kepada orang yang kita buat salah kemudian dihukum pula kucing yang tidak berdosa seperti dipukul dengan penyapu lidi atas kesalahan yang ia tidak boleh pertahankan.
Jadi pada saya itu nilai yang saya peroleh juga di surau-surau di sekolah saya dahulu. Saya bersekolah di sekolah kebangsaan biasa, bukan sekolah agama tetapi saya tetap belajar agama. Pada masa itu tidak ada pun mata pelajaran agama dalam kelas di sekolah, tambahan lagi bila saya masuk sekolah Inggeris dan saya hanya mengikuti kelas-kelas agama di surau-surau yang sama seperti kuliah agama semasa waktu Maghrib atau Isyak tetapi terlampau asas pelajarannya namun ia tetap masuk ke dalam (hati).
Kalau kita perhatikan tentang nilai dalam masyarakat Melayu itu sendiri tentunya ia mahu supaya nilai-nilai yang baik dan kualiti seperti juga dalam Islam sebab kita ada kekuatan kemelayuan kita. Kita ada kekuatan keislaman kita. Kombinasi daripada dua ini sepatutnya menjadi benteng yang sangat kuat untuk kita mengekalkan integriti, kejujuran dan sebagainya. Jadi apa sebenarnya berlaku kepada masyarakat kita?
Sebab apabila orang Melayu sudah mula hilang nilai malu. Malu ini pada saya dalam masyarakat Melayu cukup tinggi malah di zaman saya dibesarkan dalam masyarakat Melayu sehinggakan apabila berlaku sesuatu perkara yang dia rasakan memalukan keluarga, keluarga sanggup berhijrah dan keluar daripada kampung.
Sebab tidak sanggup menghadapi malu itu. Tetapi hari ini situasinya macam kalau buat salah macam satu kebanggaan tidak ada apa-apa yang hendak dimalukan walaupun kita duduk dalam kereta besar yang dibeli dengan wang rasuah, kita berbangga dengannya. Orang akan bertanya dengan gaji dan pendapatan, jika kita ada 10 buah kereta. Walaupun jawatan kita menteri, orang akan bertanya adakah gaji menteri boleh mempunyai cukup sumber pendapatan untuk mempunyai 10 buah kereta dan motor besar.
Orang tertanya-tanya tetapi kita tidak merasa malu untuk naik kereta yang kita beli bukan dari sumber pendapatan yang halal. Pada saya untuk melihat integriti, pokok bunga dalam pasu atau di taman dan binatang dalam zoo pun boleh beritahu saya dan ada bahasanya. Malah sampin dan jaket yang dipakai oleh seorang pegawai atau petugas awam boleh memberitahu saya sama ada dia mengamalkan rasuah atau tidak.
Dompet dan tas tangan, kasut yang dipakai serta tali leher berjenama boleh memberitahu saya dengan gaji seorang yang berjawatan tertentu sama ada dia mampu atau tidak mampu memakai barang-barang itu.
Kenapa sampai begitu nilai kita rosak, sampai ke peringkat ini boleh berlaku?
Ia kerana bila kita bercakap pasal benda besar, kita lupa kepada benda asas. Benda asasnya berbalik kepada apakah tujuan dan matlamat pendidikan? Ia adalah untuk membentuk keperibadian manusia. Biarlah dia tidak ada ijazah doktor falsafah (PhD) tetapi dia mencernakan jiwa dan sifat seperti Za’ba (Tan Sri Zainal Abidin Ahmad) satu masa dahulu dan sebagainya.
Beliau tidak ada PhD tetapi dia diberi taraf pendeta dan beliau sebenarnya menunjukkan sifat-sifat seorang pendeta. Hari ini kita sudah ada ribuan yang sudah ada PhD, ribuan juga yang sudah bertaraf profesor. Sudah ada pun Majlis Profesor Negara (MPN) yang kita tidak terfikir.
Tetapi adakah mereka bercakap melambangkan jiwa kependetaan seorang yang mempunyai dan mempertahankan maruah dan nilai-nilai yang unggul, mulia, suci, murni atau mereka menjadi burung kakak tua untuk mengesahkan dan menyokong kepada sumber yang telah memberikan mereka ‘payung’ kekayaan.
Jadi nilai pada diri mereka yang membuatkan kita sendiri bertanya akan taraf mereka sama ada wajar dia mendukung satu gelaran seorang profesor yang begitu tarafnya. Sepatutnya dia tidak berkompromi dalam menyuarakan perkara-perkara kebenaran.
Apakah masalah utama dalam sistem pendidikan sehingga soal teras atau nilai yang sangat penting untuk ditanamkan kepada anak-anak kita ini?
Kita terlampau mengukur pencapaian kuantitatif. Saya dapat tahu ada negeri dan sekolah, oleh kerana untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), anak murid di sekolah dididik untuk mempraktikkan seni meniru semasa mengambil peperiksaan iaitu untuk meniru cara menjawab kertas peperiksaan.
Ini dikenal pasti apabila mereka mendapat keputusan cemerlang dan terpilih masuk ke sekolah berasrama penuh.
Namun akhirnya guru Matematik Tambahan dan Matematik menghadapi masalah untuk mendidik mereka sebab antara keputusan tercatat di kertas dengan keupayaan sebenar dalam bilik darjah sangat berbeza.
Bila ditanya mengapa mereka begitu lemah, mereka memberitahu mereka meniru semasa menjawab soalan periksa untuk mendapat gred tertinggi dan terpilih ke sekolah asrama penuh dan diberitahu bahawa mereka dibimbing untuk untuk meniru dalam menjawab peperiksaan.
Kalau guru di sekolah untuk mencapai KPI sudah boleh meletakkan nilai yang sedemikian kepada pelajar. Ada guru yang ditemui dan mengakui perkara ini.
Ada guru yang juga kawan keluarga saya yang pindah dari Kuala Lumpur ke negeri tertentu terkejut kerana pelajar memang diasuh dan dibimbing cara meniru untuk jawab peperiksaan.
Sampai ke peringkat itu sudah berlaku dalam bilik darjah, melibatkan anak-anak yang kita didik dari sekolah rendah lagi.
Kalau diperhatikan, transformasi masyarakat Melayu yang dahulunya miskin tetapi sekarang sudah ramai yang menjadi golongan profesional hasil Dasar Ekonomi Baru dan melahirkan generasi Melayu yang berinspirasi. Adakah itu tidak menimbulkan satu krisis untuk mencemburui dengan niat negatif dan buat apa sahaja mencapai matlamat?
Kita kembali kepada nilai. Saya teringat ketika saya jadi mahasiswa di universiti, kita menjemput Datuk Asri Muda iaitu menteri tugas-tugas khas sekitar 1975, semasa perbualan dia beritahu, dia tidak bernasib baik seperti generasi hari ini. Ada universiti dan sebagainya, tetapi gurunya adalah kitab dan alam semesta adalah universitinya.
Apabila dia berkata sedemikian, bagi saya teringat bahawa guru saya adalah seorang tukang kebun di sebuah sekolah di Batu Pahat yang dikenali sebagai Wak.
Saya melihat pokok-pokok di sekolah itu cukup cantik kerana tukang kebun ini ada ‘roh’ untuk menjaganya. Ketika itu umurnya 55 tahun dan Wak bercerita kepada saya yang dia ada lapan anak.
Semuanya bekerja, lima perempuan dan tiga lelaki. Saya kata begitu hebat. Saya bertanya, Wak sudah ada anak yang jadi doktor dan jurutera, tetapi mengapa Wak masih bekerja? Dia kata itu kejayaan anak-anak yang Tuhan limpahkan, tetapi dia hendak berbudi kepada alam.
Dia kata pokok-pokok memberikan kehidupan. Jadi kalau dia tak bekerja, dia tidak berpeluh.
Jadi saya termenung balik, bagaimana dia mampu hantar anak ke luar negara dengan dengan gaji seorang tukang kebun dan menjual sate setiap malam.
Wak kata kalau kita ikhlas dengan ALLAH, DIA akan bayar kita bukan dengan gaji tetapi melalui anak-anaknya. Dia berikan kebijaksanaan akal kemudian Tuhan menghantar anak-anak yang baik, oleh kerana keikhlasannya itu.
Wak kata satu jemput baja pun dia tidak akan curi daripada tanaman maka ALLAH bayar dirinya dengan semua anak-anaknya mendapat biasiswa untuk belajar.
Jadi pada saya, itu menjadi guru saya, seorang tukang kebun boleh jadi guru kita. Jangan kita ingat kita sudah ada ijazah dari universiti, kita lebih hebat dari tukang kebun.
Saya malu dengan dia, kejayaan dan pencapaian sampai hari ini saya tidak dapat bandingkan dengan pencapaian, anak-anak saya tidak seperti anak Wak tukang kebun di salah sebuah sekolah di Batu Pahat ini.
Apa pandangan Datuk Seri tentang situasi rasuah dalam negara ketika ini?
Pada saya kalau kanser sudah tahap empat, saya sampai pada keadaan merasakan ada berapa peratus lagi yang tidak lakukan begitu (rasuah). Ada berapa peratus lagi yang mempunyai integriti dan tidak terperangkap.
Sehinggakan dalam institusi agama dalam kalangan petugas masjid pun telah sampai ke pengetahuan saya, ada yang akan cuba (mencuri) walau sedikit melalui pembekal makanan untuk jamuan di masjid, kalau ada peluang untuk mencari ruang mendapatkan 10 atau 20 sen pun akan dicari juga.
Saya pernah makan di sebuah restoran di Tapah dan bila habis makan saya minta resit sebab nak claim perbelanjaan makan.
Orang restoran boleh tanya saya, jumlah makanan adalah RM60 tetapi nak suruh dia tulis berapa nilai dalam resit. Saya tanya apa maksudnya? Dia kata ini biasa, (orang) pejabat sekitar, sekolah pun termasuk, kalau makan RM60, mereka suruh tulis RM80.
Jadi kalau begitu satu restoran di Tapah jawab dekat saya begitu maknanya itu sudah jadi norma.
Ada pula kadang-kadang bila saya beli untuk pejabat saya, bila nak hari raya, kadang-kadang untuk kawan-kawan, untuk klien nak hantar baju batik sebagai baju raya, orang jual baju batik akan tanya, Datuk harga batik sehelai RM300, Datuk nak suruh kami tulis resit berapa? Itu sudah norm (norma).
Kalau misal kata kita buat struktur atau kontrak tender bernilai beratus juga atau bilion dan sebagainya, sudah tentu ada faktor apa dimaksudkan rasuah. Jadi bagaimana hal ini dapat ditangani?
Saya bukan tidak pernah diuji. Pada usia 27 dan 28 tahun, saya sudah bekerja dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saya juga sudah juga pernah bekerja sebagai Setiausaha Sulit Kanan, Tun Musa Hitam selama hampir lima tahun semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Saya pernah ditawarkan pada waktu itu bukan sedikit (ganjaran) hanya untuk tolong rekomen taraf penduduk tetap kepada seseorang walaupun dia memang sudah layak untuk mendapat taraf tersebut sebenarnya. Pemimpin MCA ini telah menawarkan kepada saya sebuah rumah di Cheras pada tahun 1982 yang bernilai RM220,000.
Kisahnya, memang saya ada hasrat untuk beli rumah kerana masih menyewa pada waktu itu dan dia telah menghantar seseorang untuk menunjukkan satu projek pembangunan di Cheras tetapi saya tidak mampu membelinya pada harga tersebut kerana pada ketika itu kelayakan saya untuk membeli rumah hanyalah sebanyak RM130,000 sahaja namun dia menawarkan saya untuk membeli rumah itu pada harga tersebut dan selebihnya dianggap sebagai hadiah kerana saya sudah bantu. Tetapi saya tolak.
Ini termasuk kisah apabila saya di Majlis Agama Islam apabila kebetulan seorang kawan minta tolong saya serahkan kepada jawatankuasa tender dan dia berjaya.
Selepas itu dia datang ke pejabat saya dan meletakkan dalam beg sebanyak RM500,000. Dia kata ini memang sudah niat untuk diberikan kepada saya.
Bagi saya, ini satu perbuatan tidak cerdik. Sepatutnya dia menawarkan RM500,000 ini lebih tinggi kepada Majlis Agama Islam dalam tender.
Apa jadinya kepada generasi ini dari segi sistem nilainya?
Kita lihat pada hari ini apa yang sedang berlaku. Bagi mereka menipu itu satu perkara yang normal. Tidak ada kesalahan, tidak malu dan tidak sedar balik kepada asas. Macam saya dulu, cukup takut apabila tok guru saya menceritakan di kanan saya ada satu malaikat dan di kiri saya juga ada malaikat yang melihat apa yang saya buat.
Saya jadi begitu takut dan kalau ada pensel sebatang hari ini yang tertinggal dalam bilik darjah pun saya akan serah kepada cikgu. Saya takut kalau saya bawa balik ke rumah nanti malaikat catit saya sudah mencuri. Begitu berkesannya ustaz saya mengajar dan ustaz saya bukan graduan. Ustaz-ustaz ini dahulu naik basikal sahaja ke surau-surau.
Klik di sini untuk terus membaca