SAYA bersetuju dengan pandangan mantan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bahawa Malaysia harus berpendirian tegas atas pencerobohan Ukraine oleh Rusia. Beliau mengingatkan kita bahawa "Melihat kepada isu geopolitik semasa yang... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA bersetuju dengan pandangan mantan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bahawa Malaysia harus berpendirian tegas atas pencerobohan Ukraine oleh Rusia.

Beliau mengingatkan kita bahawa "Melihat kepada isu geopolitik semasa yang menyelubungi perairan negara kita dengan pencerobohan negara kuasa besar di kawasan timur, kita mungkin berada dalam kedudukan yang sama seperti Ukraine".

Hari ini, hari ketujuh bumi Ukraine dilanggari Rusia, beribu-ribu gugur dan cedera, manakala lebih 660,000 insan telah menjadi pelarian. Bagi mereka yang bersimpati dengan Vladimir Putin, pencerobohan ini adalah reaksi yang munasabah atau absah demi menjaga keselamatan Rusia.

Menurut mereka, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak harus diperluaskan untuk merangkumi negara mantan satelit Soviet seperti Poland dan Hungary serta negara yang dahulunya sebahagian daripada Kesatuan Soviet seperti Lithuania, Latvia, Estonia dan Ukraine yang mengejar keahliannya.

Hujah ini berasaskan konsep ‘gelanggang pengaruh’ (sphere of influence) dalam kajian hubungan antarabangsa iaitu kuasa-kuasa besar boleh dan akan menentukan peraturan di negara-negara jirannya, dan tidak benarkan kuasa lain masuk campur. Satu contoh ialah Doktrin Monroe yang dikemukakan Presiden Monroe pada Abad ke-19 bahawa negaranya akan menentang penjajahan kuasa Eropah di hemisfera barat.

Daripada sudut ini, Rusia adalah mangsa gertakan oleh Amerika Syarikat dan Putin adalah pemimpin negara yang mempertahankan kepentingan negaranya.

Tak kisah berapa ramai rakyat Ukraine yang terkorban, Rusia tetap tidak bersalah kerana negara kecil seperti Ukraine tidak berhak menentukan dasar luarnya.

Malah, dalam ucapannya pada 22 Februari lalu, dua hari sebelum pencerobohan sepenuhnya ke atas Ukraine, Putin menafikan keabsahan Ukraine sebagai sebuah negara kerana ia serumpun dengan Rusia dan dilihat sebagai sebahagian yang tidak dipisahkan daripada negara tersebut.

Putin inginkan bahawa bukan sekadar ‘keselamatan’ Rusia di sekitar sempadannya, malah pemulihan empayar Rusia dahulu kala. Ketamakan ini sebenarnya sebab negara-negara seperti Lithuania, Latvia, Estonia dan Poland yang pernah ditawan dan dimasukkan ke dalam Empayar Rusia atau Kesatuan Soviet ingin mendapat perlindungan daripada NATO.

PERBANDINGAN DENGAN MALAYSIA

Sebenarnya, Malaysia pernah menjadi mangsa idea ‘gelanggang pengaruh’ ini. Selama dua tahun lapan bulan sejak Januari 1963, Indonesia cuba ‘mengganyang’ Malaysia dengan menuduh negara sebagai ‘projek neo-kolonisme’ dan menggugat keselamatan Indonesia.

Dalam Konfrontasi Indonesia-Malaysia yang meragut beberapa ratus nyawa dalam pencerobohan kecil-kecilan berselerak ini, Indonesia disokong oleh Kesatuan Soviet, China, Vietnam Utara dan Filipina.

Banyak negara dunia ketiga yang kononnya antikolonialisme tidak mengecam hasrat kolonisme Indonesia ke atas Malaysia sepertimana China, India dan Emirah Arab Bersatu enggan mengecam Rusia. Ketika itu, yang menyokong Malaysia ialah United Kingdom, Australia, New Zealand, Brunei, Amerika Syarikat dan Kanada.

Menarik sekali bab sejarah ini diingati orang Ukraine di Malaysia yang memulakan rayuan di change.org untuk Malaysia mengiktiraf kekasaran Rusia ke atas Ukraine sebagai pencerobohan, sedangkan mungkin ada pak menteri yang sudah melupainya.

Syukur hari ini Indonesia adalah negara jiran baik kita. Akan tetapi, ini tidak bermakna Malaysia tidak dilihat oleh kuasa-kuasa yang lebih besar dalam ‘lingkungan pengaruh’ mereka.

Kita perlu membela Ukraine hari ini supaya Malaysia akan dibela pada masa depan. Kalau Rusia boleh sesuka hati mengubah sempadan antarabangsa di Eropah, tidak bolehkah kuasa besar lain buat yang sama di Asia?

Siapa akan membela Malaysia kalau ada kuasa yang merampas Pulau Layang-layang kita?

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca