RUSIA masih tidak berundur dari Ukraine walaupun terdapat tekanan global yang semakin meningkat sehingga menyaksikan siasatan jenayah perang dibuka terhadap Moscow. Tidak ketinggalan, pihak antarabangsa telah memulakan pelbagai sekatan yang... Klik di sini untuk terus membaca

RUSIA masih tidak berundur dari Ukraine walaupun terdapat tekanan global yang semakin meningkat sehingga menyaksikan siasatan jenayah perang dibuka terhadap Moscow.

Tidak ketinggalan, pihak antarabangsa telah memulakan pelbagai sekatan yang boleh menghancurkan ekonominya selain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melarang penyertaannya daripada kejohanan Piala Dunia.

Setelah perbincangan pertama antara Moscow dengan Kiev gagal mencapai kejayaan pada Isnin, Rusia terus menyasarkan serangan manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy meminta larangan global terhadap penerbangan pesawat-pesawat dan kapal-kapal milik negara yang memulakan serangan tersebut.

Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menggariskan tuntutan Moscow supaya Barat mengaku kedaulatan Rusia ke atas Crimea dan Ukraine melakukan demiliterisasi sebagai syarat untuk menamatkan serangan.

Putin turut menyatakan kesediaan untuk menghentikan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam di Ukraine dan menjadikan jalan raya utama khususnya dari selatan Kiev selamat untuk digunakan.

Beliau memberikan reaksi itu menerusi perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron sejurus sebelum perbincangan antara Rusia-Ukraine berlangsung pada Isnin.

Menerusi panggilan telefon antara Putin dengan Macron itu, pemimpin Rusia tersebut menekankan bahawa penyelesaian hanya mungkin dilakukan jika kepentingan keselamatan Rusia dipertimbangkan tanpa syarat, kata Moscow.

BEDILAN PELURU BERPANDU

Pertempuran turut berlaku semasa dialog itu diadakan dengan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh akibat serangan Rusia di Kharkiv yang menghadapi bedilan peluru-peluru berpandu Moscow.

Letupan juga dilaporkan berlaku sekitar Brovary iaitu sebuah bandar di pinggir ibu kota, Kiev.

Kebakaran akibat serangan tentera Rusia juga telah menyebabkan sejumlah orang awam terbunuh termasuk kanak-kanak manakala di Kharkiv, kenderaan perisai dan kereta kebal Rusia berada di sekitar bandar itu, kata Datuk Bandarnya, Igor Terekhov yang dipetik daripada media Ukraine.

Lebih daripada 350 orang awam termasuk 14 kanak-kanak terbunuh semasa pencerobohan itu, kata Ukraine manakala lebih setengah juta orang telah melarikan diri dari negara berkenaan.

Tentera Rusia turut menggesa penduduk Ukraine meninggalkan Kiev dalam usahanya untuk menawan bandar raya tersebut.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menyatakan kebimbangannya ketika tentera Rusia mara ke arah loji nuklear terbesar di bandar Zaporizhzhia dan kemudian berjaya menawannya pada Isnin.

Bagaimanapun bandar kecil Berdyansk di selatan Ukraine telah ditawan oleh tentera Rusia.

Moscow mendakwa ia berjaya menguasai ruang udara di seluruh wilayah Ukraine sambil menuduh tentera negara itu menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Bagaimanapun Olivier Kempf iaitu seorang penganalisis keselamatan di sebuah badan pemikir Perancis iaitu 'Foundation for Strategic Research' atau Yayasan Untuk Penyelidikan Strategik menyatakan bahawa tentera Rusia mungkin menghadapi masalah logistik di Ukraine.

"Ini ialah perang, jadi sudah tentu ada kesulitan. Tentera Rusia mungkin mempunyai masalah logistik tetapi ia membuat kemajuan. Hanya dalam permainan video anda dapat menakluk negara dalam tempoh dua hari," katanya kepada AFP.

Tentera Ukraine masih tidak mahu menyerah diri selepas tentera Rusia menceroboh negara itu. - Foto AFP

ICC BUKA KERTAS SIASATAN

Dalam pada itu, dunia telah bertindak balas dengan memberikan reaksi diplomatik, ekonomi, budaya dan sukan manakala pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tindakan Moscow itu turut dikritik.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pula membuka siasatan tentang jenayah perang yang dilakukan Rusia di Ukraine.

Menurut pendakwa raya ICC, Karim Khan dalam satu kenyataan seperti dilaporkan oleh AFP, terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan telah dilakukan di Ukraine sejak tahun 2014.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menyatakan bahawa pertempuran di Ukraine itu mesti dihentikan.

Kanada turut mengumumkan larangan import minyak dari Rusia pada Isnin dan Kesatuan Eropah serta sekutunya juga sedang menyiapkan lebih banyak sekatan terhadap Moscow.

Turki pula menyatakan bahawa ia memberi amaran untuk mengehadkan pelayaran kapal-kapal perang yang melalui Selat Dardanelles dan Bosphorus iaitu langkah yang diminta oleh Ukraine untuk menyekat kapal-kapal perang Rusia menggunakan selat berkenaan untuk menuju ke Laut Hitam.

Rusia juga tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan bola sepak Piala Dunia Piala FIFA dan bertanding di peringkat kelab-kelab Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) serta beberapa acara sukan lain seperti badminton, luncur ais selain digugurkan menjadi tuan rumah kejohanan bola tampar dunia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca