LEDANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berpandangan mana-mana parti politik masih berkira-kira untuk meletakkan calon remaja berusia 18 hingga 21 tahun dalam apa jua pilihan raya terdekat kerana langkah itu dianggap satu perjudian berisiko.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun kebenaran meletakkan calon berusia 18 tahun ke atas diluluskan dalam Undang-Undang Tubuh di beberapa negeri termasuk Johor bersama-sama pelaksanaan Undi18 dan pengundi didaftarkan secara automatik.
Beliau bagaimanapun berpandangan, perkara itu masih sangat baharu untuk diambil mana-mana parti politik semata-mata demi meletakkan peranan calon remaja di hadapan.
"Meskipun calon itu mungkin bagus dari sudut usia muda yang boleh menjadi daya penarik golongan muda untuk mengundi, tetapi terdapat elemen dan ciri lain yang kita perlu teliti.
"Contohnya kemampuan mereka untuk berfikir secara matang dalam membawa isu rakyat, turun ke bawah jumpa rakyat. Ini perkara-perkara penting yang perlu diambil kira.
"Saya rasa, mungkin masa sekarang belum sesuai untuk calon-calon remaja sebegini ditonjolkan. Kalau kita ada calon remaja berpotensi untuk dipertaruhkan, ia tidak lebih sekadar eksperimen sahaja. Mungkin berjaya atau tidak," katanya menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di pejabatnya di Tangkak, Ledang pada Rabu.
Pada 6 Januari lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan 1985 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.
Berikutan itu, Johor menjadi negeri terbaru membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya akan datang, selepas Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkeyakinan inisiatif peletakan calon-calon berusia 18 tahun ke atas bakal menjadi satu norma kebiasaan politik pada masa hadapan.
Berikutan itu, beliau menegaskan semua pihak kena meraikan inisiatif membenarkan calon-calon tersebut bertanding pada pilihan raya akan datang kerana perkara itu sudah termaktub dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.
"Cuma paling penting, kita kena pastikan inisiatif pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dapat dijiwai dan dapat direalisasikan dengan tepat.
"Saya rasa itulah usaha ke hadapan kita untuk menjadikan orang-orang muda lebih matang, lebih bersikap kenegaraan dan bertanggungjawab.
"Usaha sebegini juga mengelakkan golongan-golongan 'otai' politik terus menguasai pentas politik selama berdekad-dekad. Kita kena bimbing golongan muda untuk menjadi pemimpin masa hadapan," ujarnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca