SUDAH seminggu Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine yang mendapat perhatian meluas di seluruh dunia.
Perang itu juga memberi kesan ke atas hubungan antarabangsa sehingga meminggirkan Moscow di peringkat antarabangsa, menyatukan Barat yang berpecah sebelum ini dan mencetuskan kebimbangan tentang isu nuklear.
Serangan Moscow ke atas Ukraine itu juga menandakan berlakunya titik perubahan bagi seluruh dunia.
Ia juga menyebabkan hancurnya harapan bahawa selepas Perang Dingin, Eropah akan terhindar daripada peperangan darat berskala besar, kata Ali Wyne iaitu Penganalisis Kanan dengan syarikat perunding politik, Eurasia Group.
Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bersama-sama mengecam serangan Rusia terhadap jirannya itu sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap peraturan antarabangsa yang dibina selepas Perang Dunia II.
TARIK TALI PINGGANG HITAM
Hukuman cepat dan menyakitkan diterima oleh Rusia setakat ini.
Ia meliputi sistem kewangan Rusia yang mengalami kelumpuhan sehingga menyebabkan golongan oligarki dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menerima kesan akibat serangan tersebut.
Pihak berkuasa AS dikatakan akan memburu golongan oligarki yang kaya dan merampas aset-asetnya manakala tali pinggang hitam yang dianugerahkan oleh Persatuan Taekwondo Sedunia kepada Putin pula ditarik baik pada awal bulan ini.
Pesawat-pesawat Rusia pula dilarang daripada terbang di ruang udara Eropah dan menyertai pertandingan sukan utama manakala negara-negara Barat melaksanakan sekatan yang belum pernah terjadi sebelumnya ke atas Moscow.
"Rusia akan menjadi negara pariah dan adalah sukar untuk melihat bagaimana ia dapat memulihkan sesuatu yang menyerupai interaksi normal dalam sistem antarabangsa," kata Sarah Kreps iaitu seorang profesor di Universiti Cornell.
Pada tahun 2019, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengalami 'kematian otak' yang disebabkan oleh perselisihan antara anggota-anggotanya dan diperkecil-kecilkan oleh bekas Presiden AS, Donald Trump.
Ketika Joe Biden dipilih menggantikan Trump, beliau berusaha membawa kembali 'tenaga' baharu dalam pakatan itu dengan harapan dapat bergantung kepada NATO ketika AS mengalami perselisihan dengan China.
Itu mendorong lebih banyak perpecahan dalaman berlaku dan beberapa anggota menyatakan bahawa kontroversi dengan Beijing bukanlah sebahagian daripada misi NATO.
NATO KEMBALI BERSATU
Dilahirkan pada awal Perang Dingin dengan tujuan melindungi Eropah daripada ancaman Kesatuan Soviet di bawah payung nuklear AS, pakatan ketenteraan itu kini menemui semula tujuan penubuhannya dan musuh utamanya iaitu Moscow.
"Pencerobohan Rusia telah memperkuatkan NATO, memperdalamkan penjajaran transatlantik dan mungkin memaksa Jerman untuk membalikkan pendirian lamanya tentang penghantaran senjata ke zon konflik," kata Wyne seperti dilaporkan oleh AFP.
"Sama ada perpaduan Barat jangka pendek itu menghasilkan pendekatan jangka panjang untuk berurusan dengan Moscow masih menjadi persoalan yang terbuka," ujarnya lagi.
Seorang diplomat dan ahli ekonomi Perancis, Jean Monnet yang memainkan peranan penting dalam membangunkan kembali Eropah selepas Perang Dunia II pernah menyatakan bahawa Eropah akan lahir daripada krisis dan juga daripada penyelesaiannya terhadap krisis tersebut.
Kata-katanya itu didapati benar sehingga ke hari ini.
Dengan mempedulikan desakan Paris supaya kekuatan ketenteraan ditingkatkan di Eropah, sebanyak 27 anggota Kesatuan Eropah (EU) meluluskan bantuan sebanyak sejumlah setengah bilion euro (RM2.3 juta) untuk tujuan pertahanan kepada Ukraine.
Dalam langkah yang dramatik, Berlin melanggar doktrinnya yang lama ketika mengumumkan bahawa ia akan menghantar bantuan senjata ke Ukraine.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menyatakan bahawa negaranya yang sering dikritik oleh AS kerana anggaran pertahanannya yang kecil merancang untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dengan memodenkan angkatan tenteranya.
Inilah yang dikatakan oleh Presiden Switzerland, Ignazio Cassis ketika beliau mengumumkan bahawa negaranya akan menyokong semua sekatan EU terhadap Rusia sekali gus memecahkan tradisi berkecuali dan reputasinya sebagai pusat perbankan antarabangsa.
Finland dan Sweden yang secara tradisional tidak bersekutu dengan NATO kini semakin hampir untuk menyertainya.
Jepun, Korea Selatan dan Singapura pula mengecam pencerobohan Rusia walaupun India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih belum berbuat demikian.
Namun, Rusia mempunyai sekutu sendiri.
Moscow mendapat sokongan daripada Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Presiden China, Xi Jinping pula memberikan sokongan kepada Putin sejurus sebelum Rusia menyerang Ukraine.
Bagaimanapun, masih perlu dilihat sejauh manakah China akan membantu Rusia bagi mengimbangi kesan akibat sekatan yang dilaksanakan oleh negara-negara Barat.
Sungguhpun begitu, China tetap berhati-hati.
Ia memilih untuk berkecuali daripada memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yag mengecam pencerobohan Rusia di Ukraine sambil menyatakan kesalan yang mendalam berhubung peperangan tersebut.
"Pencerobohan Rusia telah meletakkan China dalam kedudukan yang seba salah," kata Wyne.
"Semakin berlarutan dan berdarah konflik itu, menyebabkan semakin meningkatnya cabaran terhadap China untuk mengimbangi sokongannya ke atas Rusia (seperti menentang pengembangan NATO)," ujarnya lagi.
Pada minggu lalu, Putin bercakap bahawa pasukan nuklear strategiknya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekali gus menyebabkan kegemparan di seluruh dunia.
Ini menyebabkan pemimpin Rusia itu kini telah berulang kali membuat rujukan terhadap senjata nuklear dengan harapan menghalang Barat daripada memperkuat pertahanan Ukraine, kata Kreps. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca