LEDANG - Meskipun majoriti parti pembangkang tidak akan bertanding di bawah inisiatif khemah besar diusahakan Pakatan Harapan (PH), kesemua mereka perlu mencapai persefahaman tawaran pilihan raya yang sama dari segi konsep untuk dikemukakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, langkah itu penting kerana semua parti pembangkang, termasuk Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan) memiliki musuh yang sama.
Jelas beliau, persefahaman tawaran pilihan raya yang sama dari segi konsep mungkin tidak perlu sampai parti-parti ini menandatangani persetujuan menggunakan manifesto pilihan raya secara bersama.
"Sebagai contoh, janji menolak kleptokrat dan kluster mahkamah, kita semua setuju. Tolak rasuah pun semua parti dalam pembangkang bersetuju. Tawaran untuk bela rakyat, kita semua setuju. Begitu juga tawaran pemilikan rumah mampu milik kepada rakyat Johor.
"Ini semua merupakan perkara dasar yang sepatutnya tidak bermasalah untuk dipersetujui bersama.
"Bagi saya, persefahaman tawaran pilihan raya secara bersama amat penting bagi menunjukkan kebersamaan sebagai pembangkang dan kesediaan untuk mengambil alih kerajaan di negeri Johor," katanya menerusi satu wawancara eksklusif Sinar Premium di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ledang, di Tangkak pada Rabu.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim mengakui proses memuktamadkan penyediaan manifesto dan tawaran pilihan raya masih lagi dalam perbincangan di antara parti-parti dalam PH dan Muda.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi masih menekankan asas tawaran pilihan raya daripada PH-Muda mesti dibuat secara bersama dengan parti pembangkang lain.
"Untuk PRN Johor, konsep sama juga. Kita tidak tahu masa akan datang. Katakan ada kerusi dimenangi PKR, Parti Amanah Negara, DAP mahu pun Muda. Ada kerusi dimenangi Pejuang yang akhirnya membolehkan kami menubuhkan kerajaan.
"Justeru, kita kena bincang baik-baik macam mana kita hendak gabungkannya bagi membentuk sebuah kerajaan pembangkang campuran.
"Sebab masing-masing ada hak dan ruang mereka. Ini kerana perkara ini berdasarkan kepada berapa kerusi dimenangi, namun saya sudah melihat ke hadapan. Itu mungkin akan menjadi perkara dirancang baik atas dasar untuk memimpin negeri Johor," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca