LEDANG - Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sepatutnya lebih bersikap terbuka menerima kerusi-kerusi pilihan raya yang memerlukan mereka bekerja keras dalam membina jentera, pengaruh dan jaringan sokongan penduduk walaupun sukar, menerusi... Klik di sini untuk terus membaca

LEDANG - Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sepatutnya lebih bersikap terbuka menerima kerusi-kerusi pilihan raya yang memerlukan mereka bekerja keras dalam membina jentera, pengaruh dan jaringan sokongan penduduk walaupun sukar, menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sejumlah tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditawarkan parti itu kepada Muda iaitu Semarang, Sri Medan dan Tanjung Surat adalah kerusi di mana parti baharu itu berpotensi untuk menang sekiranya mereka sanggup membina pengaruh pada masa hadapan.

Jelas beliau, Muda kena ingat bahawa menyertai politik bukan sekadar wadah menarik sokongan segmen pengundi muda sahaja, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan pada keseluruhan segmen.

"Sebagai contoh, kekuatan PKR adalah di kawasan campuran dan kawasan bandar. Di DAP, banyak di kerusi bandar. Tetapi kita tidak juga ketepikan kerusi luar bandar.

"Memang PKR ada kekurangan sedikit di kawasan luar bandar, tetapi kita percaya bahawa semua orang kena buat kerja. Kena bantu. DUN Johor Lama, Tanjung Surat yang melibatkan majoriti lebih 80 peratus pengundi Melayu, mengapa PKR kena bertanding di sini?

"Muda kena ingat, masuk politik bukan sekadar tarik segmen orang muda sahaja, kena dapatkan sokongan semua segmen. Mereka mesti ada satu kesediaan keseluruhan. Atas alasan itu, PKR tawarkan tiga kerusi kepada Muda. Namun, Muda meminta tiga kerusi lain," katanya kepada Sinar Premium dalam satu wawancara eksklusif di pejabatnya di Tangkak pada Rabu.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan nama calon mereka di Larkin iaitu Dr Zamil Najwah Arbain selepas rundingan bersama Muda gagal mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu meletak calon bagi kerusi DUN sama, sekali gus mengesahkan pertembungan dengan 'rakan sekutu' dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan akan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya empat penjuru di kerusi Larkin yang disandang bekas Exco daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Mohd Izhar Ahmad.

KERUSI GRED A

Berikutan itu, Syed Ibrahim menegaskan parti itu juga tidak boleh sekadar memberikan kerusi boleh menang (gred A) kepada Muda hanya mengambil kira mereka merupakan rakan kerjasama PH yang baharu.

Ujarnya, PKR juga kena mengambil kira faktor kebolehmenangan calon ditampilkan Muda kerana koalisi PH perlu memastikan kerusi DUN yang diberikan itu, mampu menang dan bukan sekadar berlandaskan elemen popular.

"Sebagai contoh, Muda hendak bertanding di DUN Puteri Wangsa, kerusi yang bagus dan mempunyai sokongan kuat pengundi PH. Namun, dengan hanya meletakkan calon baharu dan muda, itu dianggap sebagai winnable factor? Saya rasa tidak.

"Perkara itu mesti disusuli gerak kerja jentera pilihan raya yang telah dilakukan. Adakah cukup jentera? Adakah mereka mempunyai cukup anggota untuk turun jumpa pengundi? Bagaimana pula dengan 'polling agent' dan 'counting agent'? Ya, faktor media sosial juga penting.

"Ini semua adalah perkara-perkara asas dalam gerakan parti dan jentera. Bukan saya hendak perkecil dan hina Muda memandangkan kita adalah rakan. Tetapi lebih baik mereka menumpukan usaha bertanding di kerusi sedia ada diberikan, sediakan jentera pilihan raya sewajarnya. Barulah kita akan memberikan sokongan," luahnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca