KLUANG - Penolong Bendahari Pemuda UMNO Kluang, Shahrol Azizie menyeru agar masyarakat hari ini tidak terlalu cenderung ke arah politik totok kepartian.
Pelawak terkenal tanah air yang lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro berkata, sebaliknya satu revolusi pemikiran baharu perlu diterapkan terutamanya kepada anak-anak muda sebagai pelapis pemimpin akan datang.
Beliau turut hairan apabila masih ramai individu dengan pegangan ideologi politik yang berbeza tidak boleh duduk semeja, hingga ada yang tidak boleh berkawan langsung.
"Baru-baru ini, kawan saya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun datang sini bersama dengan calonnya dan saya raikan mereka. Boleh duduk minum semeja kerana kita meletakkan nilai persahabatan lebih tinggi berbanding ideologi politik.
"Kenapa kita nak letakkan ideologi politik itu di atas? Yang penting perlu lihat agama, bangsa dan negara, kemudian barulah politik. Ini kadang kala orang meletakkan politik di atas sehingga boleh bergaduh adik-beradik.
"Kita nak bawa kepada masyarakat, revolusi pemikiran baharu dalam politik, jangan terlalu taksub apabila tengok (ahli) Parlimen bergaduh, kita di bawah pun bergaduh juga.
"Jangan terlalu totok dengan politik. Ada masanya kita tegakkan ideologi, bukan 24 jam berpolitik, ini tidak bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Dari Pentas Lawak ke Dunia Politik’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai pembabitan selebriti dalam pentas politik, Shahrol berkata, beliau amat mengalu-alukan sahabat-sahabat daripada dunia seni yang bersama-sama menceburi bidang itu walaupun dengan pegangan parti yang berbeza.
Bagaimanapun, ujarnya, masih ramai masyarakat yang belum dapat menerima keadaan di mana selebriti tanah air berada dalam kancah politik.
"Masyarakat mungkin tidak dapat menerima kerana (keadaan) ini masih baharu tidak seperti negara luar.
"Negara jiran, Indonesia berapa ramai pelawak di sana yang bersama dengan parti politik? Apabila di pentas politik, dia tidak bercerita tentang komedi tetapi rakyat mereka boleh terima.
"Tetapi di Malaysia masih baharu, ada yang cakap, (pelawak) sertai politik sebab tidak ada tawaran kerja. Saya pelik, kenapa tidak ada tawaran kena sertai politik? Sedangkan saya Alhamdulillah baik-baik saja,” katanya.