[MUKADIMAH] Malaysia melalui Perdana Menteri yang menghadiri Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 telah membuat komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Malaysia melalui Perdana Menteri yang menghadiri Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 telah membuat komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi dengan kawasan hutan dan pokok.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang berkongsikan mengenai isu dan kegiatan pembalakan haram yang kerap mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Ikuti wawancara eksklusif yang dikendalikan oleh Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, MUHAMMAD AFHAM RAMLI di Ibu Pejabat JPSM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk kongsikan mengenai jenis hutan dan keluasan kawasan hutan yang masih ada di Semenanjung Malaysia?

MOHD RIDZA: Malaysia sangat bertuah kerana dilimpahi dengan pelbagai spesies flora dan fauna serta ekosistem sehinggakan dikenali sebagai antara 12 buah negara megakepelbagaian.

Mengikut perangkaan tahun 2020, keluasan tanah di Semenanjung Malaysia adalah 13.22 juta hektar. Daripada jumlah itu, seluas 5.69 juta hektar adalah tanah berhutan yang meliputi hutan simpanan kekal (HSK) iaitu 4.8 juta hektar dan bukan HSK sebanyak 888,450 hektar.

HSK di Semenanjung Malaysia dikelaskan kepada dua kategori utama iaitu hutan pengeluaran dan hutan perlindungan di mana masing-masing mempunyai keluasan 2.96 juta hektar dan 1.84 juta hektar.

Secara umumnya, kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia terdiri daripada tiga jenis ekosistem iaitu hutan paya laut, hutan paya gambut dan hutan darat.

Mohd Ridza. Foto : Rosli Talib

Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut apakah yang dimaksudkan dengan hutan pengeluaran?

Hutan pengeluaran adalah kategori HSK yang dibenarkan aktiviti pembalakan untuk menampung bekalan bahan kayu mentah bagi keperluan tempatan.

Pembalakan dalam hutan pengeluaran dilaksanakan di bawah konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang berteraskan kepada tiga tunjang utama iaitu kesejahteraan masyarakat, kemakmuran ekonomi dan kestabilan alam sekitar.

Pembalakan dijalankan secara tebangan terpilih di mana hanya pokok-pokok matang dengan saiz perepang tertentu yang dibenarkan ditebang manakala pokok-pokok yang bersaiz kecil ditinggalkan sebagai stok pokok untuk pusingan tebangan selanjutnya yang dijadualkan 30 tahun berikutnya.

Maknanya bila sesuatu kawasan itu di balak, contohnya 100 hektar pada tahun ini, 30 tahun akan datang boleh datang semula ke kawasan yang sama untuk pembalakan kali kedua.

Selain daripada itu, aktiviti pembalakan dalam HSK juga dilaksanakan dengan syarat-syarat yang ketat seperti pematuhan Garis Panduan Pembinaan Jalan Hutan, penandaan pokok ibu dan pengekalan zon penampan.

Pembalakan dalam HSK dikawal keluasannya melalui penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi setiap negeri. Setiap tahun telah dihadkan berapa luas kawasan HSK yang boleh dibalak.

Berdasarkan pemantauan JPSM, pembalakan secara sah ini dibuat di bawah had dan tidak melebihi catuan yang ditetapkan oleh semua negeri. Ini antara cara kita mengawal pembalakan di HSK.

Kegiatan pembalan haram secara kecil-kecilan di Terengganu dilakukan individu berjaya dikesan jabatan perhutanan.

Isu pembalakan haram kerap menjadi perbahasan hangat masyarakat hari ini. Sejauh manakah seriusnya kegiatan pembalakan haram ini tahun lalu?

Pada tahun 2021, terdapat 407 kes kesalahan hutan dikesan yang mana 55 kes adalah pembalakan haram dan 352 kes adalah kesalahan hutan lain. Kesalahan hutan lain itu merujuk kepada kesalahan seperti menceroboh HSK untuk tujuan pendakian, perlombongan, pertanian dan seumpamanya.

Bagi pembalakan haram, definisinya dalam konteks JPSM merujuk kepada kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen15(1) Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 (Pindaan 1993) iaitu mengambil hasil hutan di tanah kerajaan dan HSK tanpa lesen, Seksyen 40(1) iaitu memindahkan hasil hutan dari tanah milik atau rizab tanpa lesen dan Seksyen 81(1)(b) iaitu tebang, potong pokok dalam HSK.

Daripada 407 kes kesalahan hutan yang dikesan pada tahun 2021, sebanyak 245 kes dilaporkan berlaku di HSK, 19 kes berlaku di tanah kerajaan dan 71 di dalam milikan atau industri berasaskan kayu, lima di tanah milik dan 67 dalam transit iaitu kesalahan di atas jalan raya.

Daripada 407 kes kesalahan hutan tersebut, jabatan telah berjaya menahan 637 individu terdiri daripada 605 rakyat tempatan dan 32 warga asing.

Mengikut trend kesalahan pembalakan haram sejak tahun 2015 hingga tahun lalu, kesalahan kegiatan ini mencatatkan penurunan kecuali mulai tahun 2019 apabila pembalakan haram didefinisikan semula sebagaimana dijelaskan tadi.

Pada 2015, kita merekodkan 12 kes, tahun 2016 terdapat 11 kes, bagi tahun 2017 dan 2018 pula masing-masing tiga kes sebelum meningkat kepada 84 kes pada tahun 2019. Tahun 2020 pula mencatatkan 56 kes manakala tahun lalu dengan 55 kes.

Namun, berdasarkan pemerhatian kita, kes pembalakan haram di negara adalah di tahap terkawal dan tidak berlaku secara berleluasa. Mungkin masyarakat lihat sesuatu kawasan ada pembalakan, mereka anggap itu pembalakan haram.

Apabila siasatan dibuat, kerja-kerja itu ada lesen sah daripada jabatan dan ia dilakukan di tempat yang diluluskan.

Bagaimanapun, JPSM dari segi dasar tetap mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pembalakan haram untuk disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan. Sekiranya benar ada pembalakan haram, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Bagaimana modus operandi sindiket pembalakan ini bagi mengaburi kegiatan haram itu daripada dikesan pihak berkuasa?

Tidak dinafikan ada banyak modus operandi bagi kegiatan pembalakan haram sama ada ia dilakukan oleh sindiket mahupun individu secara kecil-kecilan.

Mengikut kes lepas yang dilaporkan, pernah berlaku seorang penduduk kampung yang masuk ke dalam hutan mencari pokok untuk ditebang dan dibelah menjadi papan atau kayu bagi tujuan kegunaan sendiri contohnya untuk membina rumah dan seumpamanya. Mungkin juga individu ini ada mendapat tempahan daripada individu lain untuk bekalan kayu.

Selain itu, ada juga dikesan suspek yang menggunakan lori kecil bermuatan kayu balak yang ditutup dengan kanvas. Secara mata kasarnya tidak dikesan kesalahan, namun apabila diperiksa menemui kayu balak yang dipotong pendek untuk dibawa keluar tanpa lesen. Ini kita percaya ia dilakukan oleh sindiket.

Bagi sindiket yang berskala lebih besar pula, mereka ada rangkaian tersendiri termasuklah menggunakan khidmat tonto bagi mengesan kehadiran anggota penguat kuasa. Selalunya aktiviti curi dilakukan berhampiran kawasan yang ada lesen dan sindiket terbabit tidak akan pergi ke kawasan hutan yang tiada aktiviti pembalakan kerana itu akan menampakkan kegiatan sindiket. Sindiket akan pergi ke kawasan berhampiran yang ada pembalakan berlesen dan di situlah sindiket akan cuba berselindung di sebalik lesen sah orang lain di mana sindiket akan ‘tumpang’ balak yang dikeluarkan. Sindiket kebanyakan akan aktif beroperasi semasa di luar waktu pejabat dan ketika musim perayaan.

Kita tahu berapa anggaran jumlah isi padu pokok yang dikeluarkan bagi satu kawasan pembalakan berlesen berdasarkan bilangan pokok yang kita telah ditanda dan dibenarkan tebang. Jika ada lebihan pengeluaran, anggota penguat kuasa akan buat semakan untuk tindakan lanjut sebagai pemantauan.

Mohd Ridza menunjukkan imej satelit yang digunakan JPSM untuk memantau keadaan hutan dan lokasi hotspot pencerobohan. Foto : Rosli Talib

Berdasarkan kes-kes dan modus operandi yang dilaporkan, apakah langkah jabatan untuk menangani kegiatan pembalakan haram?

JPSM mempunyai beberapa pendekatan untuk memantau kawasan hutan daripada aktiviti pencerobohan, antaranya dengan menggunakan teknologi remote sensing dan imej satelit. JPSM dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara telah membangunkan sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS) iaitu satu sistem untuk pantau perubahan litupan kawasan hutan.

Contohnya, melalui imej satelit dalam FMRS, kita boleh melihat semua lokasi hutan mengikut tempoh masa yang berbeza. Contohnya kerajaan negeri Selangor telah melaksanakan moratorium tiada pembalakan bagi tempoh 25 tahun mulai tahun 2010. Melalui pemantauan yang dibuat menerusi FMRS, sepatutnya keseluruhan kawasan HSK di Selangor hijau apabila dilihat melalui imej satelit, tetapi bila dapati kawasan itu ‘kosong’ atau berubah warna, ia menunjukkan ada kemungkinan berlakunya pembukaan hutan. Bila nampak perubahan itu, kita akan hantar pasukan untuk buat semakan kawasan tersebut.

Selain itu, jabatan turut melakukan rondaan lapangan melalui Unit Penguatkuasaan di negeri dan daerah dengan penumpuan kepada kawasan hotspot iaitu lokasi yang dikenal pasti sering berlaku pencerobohan. Selain rondaan, teknologi dron juga digunakan untuk memantau lokasi-lokasi tertentu.

Secara keseluruhannya, jenayah pembalakan haram adalah sesuatu yang serius kerana ia melibatkan kehilangan hasil kerajaan. Pada saya ada aspek lain terkesan akibat pembalakan haram ialah menjejaskan imej negara, negeri dan jabatan selain ketirisan hasil. Selain itu, ia akan mengakibatkan kerosakan biodiversiti dan alam sekitar.

Pembalakan yang berlesen dan haram adalah berbeza kerana kawasan berlesen ada ditetapkan garis panduan kepada pelesen untuk dipatuhi. Kita tanda pokok yang dibenarkan tebang dan akan direkod termasuklah meletakkan tag dan nombor siri setiap pokok tebangan.

Pembinaan jalan hutan juga dikawal kerana ada spesifikasi yang dikenakan untuk mengelakkan kerosakan alam sekitar. Pokok tepi sungai walaupun besar kita tidak benarkan tebang serta pokok buah-buahan yang ada kepentingan dari segi fauna seperti tualang untuk lebah, walaupun saiz besar kita tidak benarkan tebang. Tetapi pembalakan tanpa lesen ini, mereka tebang dan melakukan apa juga ikut suka sahaja.

Jabatan perhutanan merobohkan struktur pembinaan haram di kawasan HSK di Gombak, Selangor pada tahun lalu.

Apakah sasaran pokok yang kerap dijadikan sasaran oleh pembalak haram?

Semenanjung Malaysia memiliki keluasan 4.34 juta hektar hutan darat dan kaya dengan pelbagai jenis pokok. Apa yang dikenal pasti, pembalak haram biasanya akan menyasarkan kayu berharga seperti cengal, merbau, balau. Harga bagi setiap kayu itu bergantung kepada spesies, misalnya cengal sekitar RM6,000 bagi satu tan manakala balau sekitar RM4,000 atau lebih.Apabila harga kayu ini mahal di pasaran, di situlah kita kesan ada segelintir pihak yang mengupah individu untuk mencari kayu di hutan secara tidak sah. Namun hari ini, saya percaya kegiatan pembalakan haram sukar dilakukan kerana sikap masyarakat yang lebih peka terhadap penjagaan hutan dan ditambah pula terdapatnya pelbagai platform untuk mereka menyalurkan aduan dengan cepat seperti penggunaan media sosial dan talian hotline.

Jabatan perhutanan menyita sebuah lori balak dan menahan pemandunya dalam operasi di jalan Bukit Fraser menghala Kuala Kubu Bharu, pada 20 Januari lalu.

Dengan aktiviti pembalakan yang berterusan dan sasaran kerajaan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan, apakah langkah jabatan bagi menghijaukan hutan yang terjejas?

Selepas selesai pembalakan dalam HSK, kita akan nilaikan semula kawasan itu dan akan menjalankan penanaman semula sekiranya didapati bilangan pokok dalam dirian tinggal tidak mencukupi daripada piawaian yang ditetapkan. Selain kawasan yang dibalak, kita juga ada menjalankan penanaman di kawasan lapang atau kawasan terosot dalam HSK.

Terbaru, pada tahun lalu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia telah melancarkan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025. Sambutan masyarakat terhadap kempen ini amat menggalakkan di mana bilangan pokok yang ditanam telah melebihi sasaran 20 juta untuk tahun 2021.

Klik di sini untuk terus membaca