ISTILAH lockdown (Perintah Kawalan Pergerakan) sangat tabu kepada dunia semikonduktor global. Ketika ini, dunia semikonduktor global secara serius menyorot senario Covid-19 di Malaysia. Dunia tertanya-tanya, apakah Malaysia akan kembali memperkenalkan lockdown.
Penulis difahamkan, dunia semikonduktor global berdepan detik sukar sekiranya kilang atau pengeluaran loji cip tempatan tidak beroperasi mengikut jadual permintaan. Kelewatan pengeluaran integrated circuit (IC) boleh menyebabkan rangkaian bekalan automotif global terjejas teruk.
Pesanan IC peringkat permulaan dan pertengahan, diod kuasa serta komponen kuasa lain yang digunakan dalam sistem komputer dan aplikasi penggunaan lain komunikasi digital sangat genting kepada perkembangan teknologi dunia.
Penulis cuba memahami apakah masalah bakal timbul jika bekalan IC global terhenti. IC atau litar bersepadu adalah satu set litar elektronik pada cip semikonduktor.
Laporan statistik Joschka Muller daripada statista.com menunjukkan Malaysia boleh menghasilkan 26.7 bilion semikonduktor jenis silikon dan gallium arsenide. Ia antara contoh separa konduktor paling tinggi digunakan dalam litar elektronik dan sel solar pada 2020. Angka itu menurun tujuh peratus berbanding 28.79 bilion pada 2019.
Ketika ini ada lebih 50 vendor cip antarabangsa mengendalikan hab semikonduktor serantau termasuk IDM Infineon, NXP, Renesas, STMicroelectronics dan Texas Instruments (TI). Pakar semikonduktor kuasa seperti Nexperia, Intel, AMD dan X-Fab turut beroperasi di Malaysia. OSAT ASE Technology yang berpangkalan di Taiwan juga mempunyai kilang pengeluaran di negara ini.
Malaysia kini diiktiraf salah satu daripada 10 negara teratas dalam industri semikonduktor dunia. Negara menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global.
Penulis juga mendapati pasaran bahan semikonduktor global sehingga 2026 menunjukkan peningkatan permintaan. Kategori elektronik pengguna seperti komputer riba, tablet, telefon mudah alih dan jam tangan pintar serta rangkaian talian komunikasi perlu pelaksanaan kompleks bahan semikonduktor.
Pasaran telefon pintar menjadi pengguna utama semikonduktor. Jadi, penulis mendapati dunia sangat memerlukan IC dari Malaysia. Penggunaan 5G dan teknologi Internet of Things (IoT) turut mempengaruhi dunia semikonduktor di Malaysia. Malah, bahan semikonduktor silikon karbida atau silicon carbide (SiC) dan galium nitrida (GaN) turut menerima permintaan untuk segmen elektronik pengguna.
Menjelang 2026, pengguna telefon pintar dan pemain industri peringkat global dijangka memilih peranti 5G serta teknologi 6G bagi melancarkan proses operasi seharian. Jadi, tidak hairanlah kenapa wartawan Digitimes, Jessie Shen menyuarakan kebimbangan dunia jika Malaysia kembali melaksanakan PKP. Jessie menjangkakan pelaksanaan PKP mempengaruhi pertumbuhan jualan mikropemproses pada 2022. Rentetan itu, Digitimes turut melaporkan sektor semikonduktor China kini mula bersiap sedia jika Malaysia melaksanakan PKP. Langkah itu bagi memastikan harga IC atau peralatan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya, kononnya atas nama PKP.
Pengalaman ini dialami sendiri penulis dalam menangani isu kekurangan IC. Dalam kesibukan membangunkan pusat latihan kemahiran profesional lengkap dengan keperluan perkakasan dan peralatan latihan kemahiran bertaraf industri 4.0, prasarana pembelajaran kemahiran secara hibrid, sistem rangkaian telekomunikasi pintar dan pengurusan bangunan pintar, ada kontraktor tempatan mengambil kesempatan menukar spesifikasi ditetapkan jenama atau spesifikasi peralatan elektronik atau semikonduktor atau IoT. Mereka turut menaikkan harga berlipat kali ganda.
Ada juga penjual yang tidak sah atau unauthorized reseller mengaku penjual sah menggunakan surat palsu untuk menipu pengguna atau pelanggan. ALLAH SWT telah memperincikan senario ini dalam surah al-Rum ayat [30:9].
Penulis berharap kerajaan memantau aktiviti syarikat semikonduktor lain seperti Mouser Electronics (Mouser), Analog Devices, Cypress, IDT, Maxim Integrated, Microchip, NXP, Onsemi, STMicroelectronics, Texas Instruments bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Kerajaan perlu segera memperkukuh keupayaan domestik dengan meningkatkan produktiviti melalui automasi dan pendigitalan. Usaha dan strategi dinamik perlu diteliti semula bagi mengekalkan prestasi syarikat semikonduktor, sekali gus mengelak kekurangan bekalan IC global.
Kesimpulannya, Malaysia perlu mengekalkan peranan strategiknya sebagai pemain utama semikonduktor bertaraf global.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca