OLEH sebab saya ada terlihat beberapa video kemalangan jalan raya di Facebook, sistem kecerdasan buatan (AI) media sosial itu terus memaparkan beberapa lagi video kemalangan untuk saya tonton.
Salah satu video yang menarik perhatian adalah kemalangan yang melibatkan dua orang penghantar makanan di sebuah simpang empat di Alam Damai Cheras, Kuala Lumpur.
Daripada tarikh yang dipaparkan, nampaknya kejadian tersebut baru sahaja berlaku. Rakaman video yang berdurasi kira-kira 20 saat itu menunjukkan lima orang penghantar makanan dipercayai dalam perjalanan menghantar tempahan pelanggan mereka.
Tiga orang penghantar makanan membelok ke kiri, manakala seorang lagi melanggar lampu isyarat untuk meneruskan laluan ke depan. Beberapa saat kemudian, datang seorang penghantar makanan dari arah kiri yang cuba mengejar lampu isyarat hijau merempuh penghantar makanan terbabit.
Tidak dapat dipastikan keadaan kedua-dua penghantar makanan tersebut. Saya berdoa agar tiada kecederaan yang parah melibatkan mereka berdua.
Saya juga ada terlihat video kejadian di Kuala Selangor melibatkan dua buah lori simen yang cuba membelok ke kanan tetapi kerana salah satunya hilang kawalan, maka ia pun terbalik.
Mujurlah lori itu hanya ‘menyimbah’ tumpahan simen ke arah kereta Proton Exora yang sedang berada di lampu isyarat itu. Jika ia terbalik dan menghempap kenderaan lain, maka kita sudah boleh membayangkan keadaan ngeri yang pasti berlaku.
Berdasarkan pengalaman sendiri, saya sentiasa berdoa setiap kali berada di persimpangan lampu isyarat terutama ketika berada di simpang tiga lampu isyarat di Taman Alam Budiman, Jalan Persiaran Mokhtar Dahari di Shah Alam.
Laluan itu merupakan jalan yang sering digunakan kenderaan berat dan pemandangan biasa apabila melihat ia dibawa dengan laju.
Berada di simpang tiga itu, saya berasa seolah-olah nyawa di hujung tanduk kerana kedudukan simpang tersebut selepas menuruni bukit menyebabkan kenderaan berat sukar untuk membrek.
Di kawasan itu juga, lori kerap terbabas, ada yang melanggar tiang lampu isyarat dan paling menakutkan adalah merempuh kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat berkenaan. Pernah suatu ketika, lori terbabas seperti menjadi acara bulanan kerana ada sahaja kemalangan di kawasan berkenaan.
LAMPU HIJAU, LAMPU MERAH
Sebenarnya, ketika berada di lampu isyarat, kita kadangkala terpaksa menyaksikan keadaan yang kita sendiri tidak mahu saksikan.
Pernah juga saya melihat kemalangan maut di depan mata melibatkan seorang penunggang motosikal di Padang Jawa, Shah Alam. Ketika itu, penunggang motosikal berkenaan sudah mematuhi undang-undang dengan mula bergerak apabila lampu bertukar hijau.
Tapi apakan daya, ajal menjemput apabila sebuah Myvi dari arah kanan yang cuba mengejar lampu hijau merempuh dan mengheret mangsa lebih satu meter.
Mangsa yang saya percaya, seorang pekerja kilang berdasarkan uniform dipakai maut di tempat kejadian.
Sebagai pengguna jalan raya, pendidikan yang kita peroleh mengenai arahan lampu isyarat di sekolah memandu tidak boleh ‘dipatuhi’ sepenuhnya kerana tindakan pemandu lain yang berbeza pemahaman mereka.
Kita sebaliknya kena peka dengan keadaan sekeliling setiap kali lampu isyarat bertukar warna. Misalnya, lampu kuning yang bermaksud sedia untuk berhenti telah difahami segelintir pemandu sebagai tekan pedal minyak atau pulas throttle motor lebih banyak supaya berjaya lepasi laluan itu.
Isyarat lampu merah pula bukan tanda berhenti tapi boleh dilanggar sesuka hati, manakala isyarat lampu hijau tidak perlu bergerak kerana leka dengan telefon pintar masing-masing.
Oleh sebab itu, kewaspadaan kita setiap kali berada di jalan raya terutama di persimpangan lampu isyarat perlu ditingkatkan berkali-kali ganda dan hendaklah sentiasa berdoa agar dijauhi pelbagai musibah.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca