SHAH ALAM - Biarpun Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lapan ikrar termasuk memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan isi berpendapatan rendah (B40), namun ia mungkin tidak banyak membantu parti itu menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ini kerana hampir semua parti bertanding pada PRN kali ini termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga memberikan pelbagai tawaran menarik termasuk kemajuan ekonomi, kestabilan politik dan pembangunan belia menerusi manifesto masing-masing bagi menarik undi Bangsa Johor.
Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, walaupun hampir kesemua gabungan parti politik baik BN, PN mahu pun PH sudah mengemukakan manifesto masing-masing namun beliau percaya rakyat dan pengundi Johor akan membuat pemilihan berdasarkan prestasi dan pencapaian semasa mereka memerintah sebelum ini.
Beliau berkata, secara dasarnya manifesto dilancarkan oleh BN dan PN tidak mempunyai perbezaan termasuk mengembalikan kestabilan politik, membangunkan semula ekonomi Johor menerusi pembukaan pintu sempadan antarabangsa terutama dengan Singapura, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagainya.
Bagaimanapun, Jeniri berkata, beliau percaya pada akhirnya rakyat Johor akan memilih gabungan parti yang mampu mewujudkan kestabilan politik bagi memastikan negeri berkenaan terus berkembang pesat bukan hanya dari segi ekonomi, malah pendidikan, menyelesaikan masalah kesihatan terutama Covid-19 dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan generasi muda sekarang.
"Secara keseluruhannya saya melihat tawaran dikemukakan oleh BN dan PN tiada bezanya kecuali pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan B40, namun ia tidak akan memberikan impak besar kepada sokongan pengundi pada PRN Johor nanti.
"Saya tidak fikir rakyat Johor akan membuat keputusan mengundi PN semata-mata kerana pemberian air percuma 20 meter padu sebulan kepada B40, sedangkan banyak perkara yang lebih besar dan penting harus diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.
Jeniri berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan 'Demi Bangsa Johor'.
Muhyiddin berkata, PN menyediakan Ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan termasuk pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor, pada 12 Mac ini
Selain air percuma, Muhyiddin juga menjelaskan PN berjanji akan membuat pengecualian penuh bayaran lesen perniagaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk tempoh lima tahun, serta akan berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat di Johor.
Sementara itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohamad mengumumkan BN akan melancarkan manifesto yang mengandungi lima teras utama bagi menjadikan Johor sebagai negeri yang didokong naratif politik baharu dan stabil.
Menurut Hasni, tawaran yang ingin dibawa itu juga telah direncana dengan baik dan bersifat realistik agar ia tidak menjadi janji kosong yang tidak dapat dilaksanakan BN sekiranya membentuk kerajaan pasca PRN Johor.
"Ikhtiar Barisan Nasional Johor terdiri daripada lima ikhtiar yang merangkumi Ikhtiar Kemajuan Ekonomi, Ikhtiar Kesejahteraan Rakyat, Ikhtiar Orang Muda Johor (OMJ), Ikhtiar Membudayakan Pentadbiran Berintegriti dan Ikhtiar Reformasi Politik.
"Ini adalah usaha dalam masa lima tahun untuk mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan pelaburan negara," katanya.
Berikutan itu, Jeniri menegaskan rakyat dan pengundi Johor perlu membuat perbandingan dengan amat teliti apakah kebaikan dan keburukan jika mereka memilih BN, PN atau PH atau parti lain dalam PRN nanti.
"Tindakan itu perlu kerana pilihan mereka itu bukan hanya akan menentukan kemajuan ekonomi, malah pendidikan dan masa depan anak mereka untuk tempoh akan datang," katanya.
Jeniri berkata, berdasarkan analisis dan sentimen rakyat menunjukkan BN masih kekal mendahului gabungan parti lain termasuk PN dan PH dari segi sokongan pengundi Johor secara keseluruhannya ketika ini.
Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada BN kekal mendahului dari segi sokongan pengundi termasuklah pertembungan banyak penjuru, perpecahan dalam kalangan parti pembangkang, PH dan PN.
Klik di sini untuk terus membaca