SHAH ALAM - Manifesto yang ditawarkan oleh parti-parti dalam pilihan raya perlu bersifat ‘membumi’ atau realistik dan bersederhana, walaupun ia bukanlah ‘kitab suci’ yang wajib ditunaikan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, walau apa jua manifesto yang dikemukakan parti-parti dalam memancing undi, ia haruslah dilihat daripada perspektif rakyat, yang juga ‘tuan’ kepada negara ini.
Selain itu katanya, mana-mana parti yang memenangi pilihan raya mesti menunaikan manifesto yang dikemukakan, walaupun ia masih lagi belum ‘legally binding’ (ikatan perjanjian).
"Ia sekurang-kurangnya wajib dihormati kerana manifesto ini perlu sentiasa diukur dan dinilai oleh rakyat, supaya tidak menjadi suatu tempat dan medan bagi parti politik untuk mempamerkan janji-janji indah dan memukau.
"Tapi sesudah menang, mereka (rakyat) diabaikan begitu sahaja dan manifesto ini sekadar janji-janji manis.
"Kita bersetuju bahawa manifesto ini bukanlah wajib ditunaikan tapi ia mesti dianggap sebagai panduan, walaupun ia bukan ‘kitab suci’ tetapi sebagai sebuah panduan, manifesto itu mestilah dihormati dan ditunaikan sebagaimana dijanjikan,” katanya dalam Wacana Sinar yang bertajuk ‘PRN Johor: Manifesto siapa paling win’ pada malam Jumaat.
Wacana itu itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Khalid yang juga calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda Johor, Riad Ahmad yang juga calon Pejuang DUN Maharani.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, keyakinan rakyat terhadap manifesto itu adalah melalui bagaimana parti-parti politik menterjemahkan pelaksanaannya dan bukannya berlindung dengan pelbagai alasan tidak melaksanakannya.
"Pertandingan populariti adalah sesuatu yang lazim dalam pilihan raya. Kalau kita faham pertandingan populariti ini, apa jua isu yang melatari dan boleh menjejaskan populariti terutamanya dalam konteks menunaikan manifesto, akan menjadi peluru tabur kepada pihak lawan.
"Walaupun manifesto ini nampak ringan tetapi hakikatnya ia adalah sesuatu yang amat berat kerana ia mempertaruhkan reputasi dan integriti.
"Segala kata-kata bukan sahaja dinilai dalam manifesto, tetapi juga dinilai dalam perbuatan dan ini akan dibawa untuk lima tahun akan datang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca