SHAH ALAM - Aspirasi atau manifesto Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor banyak menumpukan kepada golongan muda di negeri tersebut.
Calon Pejuang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Abdul Azim Abdul Malek menyifatkan aspirasi tersebut mencakupi keseluruhan, kemahuan dan kehendak anak muda seperti peningkatan ekonomi, peluang pekerjaan dan mengembangkan pertanian.
Jelasnya, ini kerana golongan berkenaan mempunyai jumlah mengundi melebihi 50 peratus pada PRN Johor.
"Anak-anak muda terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak menyebabkan mereka hilang pekerjaan dan tempat bergantung.
"Manifesto dan Aspirasi Johor yang disifatkan mencakupi keseluruhan, kemahuan serta kehendak anak muda untuk memberi peluang kepada mereka menceburi banyak bidang tanpa keluar dari daerah itu sendiri.
"Jadi, mereka tidak perlu bekerja luar. Kalau di sini (Johor), kebanyakan orang muda kerja di Kuala Lumpur atau Singapura. Kita mahu anak muda balik di tempat masing-masing supaya dapat beri impak positif ekonomi.
"Saya nampak manifesto Pejuang memang sangat boleh dilaksanakan jika pengundi memberi mandat kepada parti ini untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam Wacana Sinar edisi ke-326 yang bertajuk PRN Johor: Manifesto Siapa Paling Win? Yang disiarkan pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor dan Calon DUN Semerah, Mohd Fared Khalid dan Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Mengulas mengenai tawar menawar dalam membentuk kerajaan, Abdul Azim berkata, perkara tersebut akan dilakukan sekiranya parti tersebut membawa motif sama iaitu mementingkan rakyat.
Dalam masa sama ujarnya, Pejuang tidak akan melakukan tawar-menawar untuk membentuk kerajaan bersama parti yang dipimpin pemimpin yang mempunyai kes rasuah.
"Kalau penawaran itu sama untuk merealisasikan, fikir berkaitan rakyat di Negeri Johor, kita boleh bersama. Kita tidak melilih parti yang dipimpin oleh mereka yang mempunyai kes rasuah.
"InsyaALLAH, kita bersama dengan orang yang benar, berintegriti yang mampu beri keselesaan dan hasrat apa rakyat mahukan. Ramai rakyat Johor mahu pemimpin berwibawa dan tidak berkompromi dengan rasuah,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca