ALLAHYARHAM punya dua hajat besar. Pertama, untuk mementaskan sebuah cerita bangsawan ‘secara besar-besaran’. Ia merupakan pementasan yang ‘tulen’ dan ‘autentik’ seperti yang terlihat pada era kegemilangan bangsawan satu masa dulu. Beliau juga mahu agar peralatan bangsawan yang terkumpul di kediamannya di Jalan Hamzah, Kampung Baru, Kuala Lumpur dapat ditempatkan di sebuah ‘muzium bangsawan’.
Allahyarham Seniman Negara Abdul Rahman Bakar atau lebih dikenali sebagai Rahman B menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.43 petang Khamis yang baru lalu di Hospital Kuala Lumpur.
Hajatnya tidak kesampaian.
Dengan pemergian beliau berakhirlah generasi penggiat seni bangsawan yang sezaman dengannya. Beliau sebahagian daripada era kegemilangan bangsawan. Rahman B juga melihat zaman kejatuhan seni yang satu masa dulu amat popular dalam kalangan orang Melayu.
Saya kehilangan lebih daripada seorang ‘abang’. Saya mengenal beliau lebih 60 tahun lalu. Beliau dan kumpulan bangsawan Bintang Timur Opera pernah bermain di kampung saya, Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor pada tahun-tahun 60-an. Kumpulan ini dimiliki dan dipimpin oleh Bakar M, ayah Rahman B. Malah Bintang Timur Opera adalah satu-satunya kumpulan bangsawan milik orang Melayu pada ketika itu, kumpulan lain dimiliki oleh pemodal Arab, India dan Cina.
Selain Rahman B, isterinya, Rohaya B dan dua orang adiknya Rahim B dan Rohani B adalah pelakon utama Bintang Timur Opera.
Selama berbulan-bulan kumpulan ini bermain di kampung saya. Saya budak yang tinggal paling hampir dengan tempat pementasan. Maka sayalah yang selalunya diminta membeli barang-barang keperluan di pekan selain mengambil upah menarik tirai setiap kali pementasan.
Bangsawan pada tahun-tahun pertengahan 60-an itu mulai mengalami zaman kemerosotan. Filem sudah mengambil tempat sebagai hiburan utama orang Melayu. Tahun-tahun 50-an dan awal 60-an merupakan era gemilang sinema Melayu. Banyaklah pelakon bangsawan yang berhijrah ke filem.
Bintang Timur Opera cuba bertahan. ‘Seri panggung’ (gelaran untuk wanita yang menjadi tarikan utama dalam bangsawan) bagi kumpulan itu, Rohani B khabarnya banyak mendapat tawaran untuk berlakon di Singapura. Kejelitaan beliau tidak kalah dengan mana-mana pelakon layar perak pada masa itu. Tetapi Rohani B memilih untuk terus bersama-sama kumpulan ayahnya. Bintang Timur Opera akan pincang tanpa beliau sebagai tarikannya.
Pada akhirnya, Bintang Timur Opera gulung tikar di kampung saya. Mereka pulang sehelai sepinggang ke Kuala Lumpur. Di atas runtuhan bangsawan, seorang guru kampung bernama Misdi Abu Bakar telah menggerakkan kumpulan sandiwara, di mana saya juga terlibat sama. Sandiwara adalah seni transisi di antara bangsawan dan drama moden.
Bangsawan membuka cakrawala saya terhadap dunia seni. Saya melihat grandeur alam cereka yang luar biasa, dengan glamor dan kehebatan di pentas. Saya teruja dengan lakonan, set dan peralatan dunia make-belief yang tidak pernah saya bayangkan sebelumnya. Bangsawan menarik saya pada dunia seni, khususnya drama pentas. Saya aktif di pentas sejak dari bangku sekolah hingga ke universiti dan sewaktu bekerja. Saya kebetulan memimpin sebuah syarikat media yang juga terbabit dalam industri content atau kandungan kemudiannya.
Pengalaman bersama-sama Bintang Timur Opera saya rakamkan dalam tujuh bab buku saya, Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2017.
Saya sentiasa mengagumi Rahman B. Saya sering menemuinya apabila ada kesempatan. Saya mendengar kisah-kisahnya sewaktu bersama bangsawan sejak usia mudanya.
KESEDIHAN
Saya menghargai usaha Rahman B mengumpulkan bahan-bahan bangsawan di rumahnya. Lebih penting lagi saya berkongsi kesedihan apabila beliau sentiasa gagal untuk mendapatkan pembiayaan bagi mementaskan bangsawan, "sebelum Bang Rahman menutup mata kali terakhir’,” katanya.
Saya berusaha keras bersama-sama Zakaria Arrifin, orang yang menulis buku Biografi Seniman Negara Rahman B, menemui kementerian, jabatan, yayasan dan dana seni untuk tujuan itu. DBP bersedia memberi ruang pementasan dan latihan.
Pada 22 Mac 2021, Tan Sri Rais Yatim berkunjung ke rumah Rahman B. Pada pertemuan itu, Rahman B memohon bantuan Rais untuk mendapatkan biaya mementaskan bangsawannya. Rais berjaya mendapatkan dana yang diperlukan.
Sayangnya keadaan pandemik Covid-19 semakin memburuk selepas itu dan Rahman B sendiri tidak sihat. Maka projek itu tergendala sehingga kini.
Allahyarham telah dinobatkan ‘Seniman Negara’ pada tahun 2003. Beliau adalah penerima keenam anugerah yang bertujuan menghargai jasa tokoh-tokoh yang terlibat dalam dunia seni dan kebudayaan. Jikalau sastera ada Anugerah Sastera Negara, seni punya Anugerah Seniman Negara.
Dr Zainatul Shuhaida Abdul Rahman dari UiTM khabarnya sedang menyiapkan kisah hidup Rahman B. Selain daripada itu, beliau sedang menyusun skrip bangsawan dalam simpanan Allahyarham. Pada waktu yang sama beliau juga sedang mengumpulkan lagu-lagu serta gurindam dan mantera yang digunakan dalam persembahan bangsawan. Beliau memerlukan bantuan untuk meneruskan usaha yang bermakna ini.
Mudah-mudahan juga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menempatkan semua koleksi bahan-bahan bangsawan di rumah Allahyarham di dalam sebuah muzium yang boleh dinamakan ‘Muzium Bangsawan Rahman B’.
Sekurang-kurangnya legasi dan perjuangan seorang hamba seni akan terus kekal di pantai zaman. Dengan itu tertunailah salah satu hajat besar beliau.
*Tan Sri Johan Jaaffar adalah wartawan veteran, juga aktivis seni dan budaya
Klik di sini untuk terus membaca