DALAM sesebuah pilihan raya, antara aspek terpenting tetapi jarang dipedulikan sangat adalah manifesto – sebuah dokumen pengisytiharan tentang niat, cadangan atau penawaran parti-parti tertentu kepada pengundi setempat. Manifesto... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM sesebuah pilihan raya, antara aspek terpenting tetapi jarang dipedulikan sangat adalah manifesto – sebuah dokumen pengisytiharan tentang niat, cadangan atau penawaran parti-parti tertentu kepada pengundi setempat.

Manifesto selalunya menyatakan perancangan sesebuah parti yang memperincikan peranan dan perubahan yang akan mereka lakukan jika terpilih menjadi perwakilan atau membentuk kerajaan.Senang cerita, manifesto adalah janji-janji yang ditawarkan parti politik kepada rakyat jika mereka diundi dan menang pilihan raya.

Manifestolah yang membezakan parti politik dengan parti-parti lain dalam menjual idea mereka ketika memancing undi semasa pilihan raya.

Dalam konteks politik Malaysia, manifesto sering menjadi polemik pilihan raya yang sangat menarik. Umum mengetahui bagaimana manifesto sering dicanang dan dijaja dalam setiap pilihan raya, namun setelah pilihan raya tamat, manifesto tersebut juga senyap dan sepi.

Mungkin sudah biasa dan kerap terkena, pengundi akhirnya melihat manifesto sekadar janji politik yang tiada kepastian. Maka, timbul istilah gula-gula politik, janji dicapati dan manifesto bukan kitab suci yang menjadikan orang politik semakin tidak dipercayai dalam segenap aspek.

Apa masalah dengan manifesto? Jelas masalahnya adalah ia tidak terikat secara perundangan untuk dilunaskan oleh mereka yang menawarkannya. Manifesto tidak mempunyai keterikatan undang-undang (legal binding) yang membolehkan ia dikuatkuasakan secara sah.

Hal itu boleh dilihat dalam kes saman sivil sekumpulan ibu tunggal terhadap kerajaan Selangor pada 2013 berkenaan pembayaran elaun RM100 untuk ibu tunggal yang termaktub dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum 2008. Adakah manifesto tidak penting dan tidak perlu dikemukakan dalam setiap pilihan raya? Secara umum, manifesto masih penting dan perlu sekurang-kurangnya dalam beberapa perspektif.

Pertama, manifesto boleh menjadi panduan kepada pengundi untuk memahami matlamat dan hala tuju parti-parti bertanding serta bagaimana mereka bekerja untuk mencapai matlamat tersebut. Kedua, manifesto berfungsi sebagai alat memantau perkembangan dan kemajuan pelaksanaan janji-janji yang dicadangkan kepada pengundi sepanjang memerintah.

Ketiga, manifesto boleh bertindak sebagai kad laporan (report card) yang memudahkan pengundi menilai prestasi dan pencapaian mereka yang terpilih sebagai pemimpin pada pilihan raya seterusnya.

Memang bagus jika ada cadangan mewujudkan akta bagi menguatkuasakan manifesto dengan keterikatan undang-undang yang sah.

REALISTIK

Kalau itu berlaku, mungkin parti-parti politik akan lebih berhati-hati dan realistik dalam merangka manifesto masing-masing. Pada masa yang sama, rakyat boleh menuntut hak mereka di mahkamah jika ada janji-janji dalam manifesto tidak dipenuhi dan belum ditunaikan.

Mungkin hal itu masih jauh untuk dicapai kerana ia memerlukan penelitian menyeluruh dan keazaman politik yang kuat, sesuatu yang barangkali sukar berlaku sekiranya melihat sikap dan iltizam orang politik kita.

Tetapi dalam konteks manifesto, parti-parti politik sendiri mesti realistik dan bersederhana dalam menawarkannya kepada rakyat.

Tidak salah bercita-cita tinggi bagi menawan hati rakyat tetapi biarlah berpijak di bumi nyata. Walaupun manifesto tidak terikat dengan mana-mana perundangan tetapi sebagai sebuah parti yang mendapat mandat, manifesto itu wajib dihormati dan ditunaikan.

Sebagai pemerintah, menunaikan manifesto adalah manifestasi mudah tentang bagaimana sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab itu sepatutnya berlaku.

Bagi pengundi pula, setiap manifesto mesti diukur dengan melihat apakah kandungannya memberikan visi jelas dan bertanggungjawab.

Ingatlah, manifesto bukanlah tempat elit politik untuk mempamerkan janji-janji indah dan memukau tetapi isinya palsu dan bercelaru.

Mungkin benar manifesto adalah sebuah panduan, bukannya kitab suci yang wajib dipatuhi dan dipenuhi tetapi sebagai sebuah panduan, sekurang-kurangnya hormatilah apa yang telah dijanjikan.

Bertindaklah mengikut acuan digariskan kerana rakyat paling tidak pun sudah membaca manifesto tersebut, kalaupun tidak mempercayai sepenuhnya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca