SEMALAM, saya menghantar mesej kepada anak kedua dan bertanya: "Haziq bila periksa? Dah bersedia?”
Jawabnya: "Tiga minggu lagi.”
Orang muda sekarang, sepatah ditanya sepatah dijawab, lalu saya mengulangi lagi soalan kedua itu.
"I will try my best,” jawabnya.
Jawapannya membuatkan saya teringat pernah mendapat pesanan keras apabila menjawab ‘i tried my best’ kepada bos saya. Ketika itu kami melakukan tugasan dan perlu mencapai prestasi ditetapkan. Dan hasil tugasan itu tidak mencapai prestasi dikehendaki.
"Saya amat pantang orang berkata ‘i tried my best’. Ia adalah alasan, kononnya awak sudah cuba sedaya upaya tapi apa boleh buat, kadang-kadang berjaya, kadang-kadang tidak.
"Sepatutnya awak tidak boleh berkata begitu. Memang sudah menjadi tanggungjawab awak menjadikan sesuatu tugasan tercapai matlamatnya dan berjaya. Kalau tidak berjaya atau tidak capai matlamat, mungkin ada kesilapan daripada cara pelaksanaan. Jadi, awak kena cari jalan menyelesaikannya.”Saya hanya memandang bos saya sambil berfikir adakah saya perlu bersetuju dengan kenyataannya itu. Apabila saya berfikir secara mendalam, ada kebenarannya.
Kita perlu berusaha walau dengan apa cara sekalipun untuk mencapai matlamat dikehendaki. Kalau ada kekurangan atau halangan, mungkin pendekatannya tidak betul. Maka, kita perlulah mencari jalan atau cara lain.
Seperti kata pepatah Melayu lama, yang berkaitan dengan usaha – asal ditugal, adalah benih. Dan, biasanya perkara baik kita lakukan akan menghasilkan pulangan atau keputusan yang baik.
Bak kata pepatah lagi, yang lebih menjurus kepada kelakuan dan cara kita melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan – bagaimana ditanam, begitulah dituai. Hasilnya mungkin tidak akan terpesong jauh daripada cara kita melakukannya.
Namun, ada juga saya berfikir, mungkin seperti kata pepatah, adat juara kalah menang, yang memberi maksud tiap-tiap usaha ada laba ruginya. Walaupun kita telah berusaha, kadangkala tidak berjaya juga walaupun pelbagai cara dan jalan telah dicuba.
Mungkin juga begitu. Cuma pada pendapat saya, jika tidak berjaya, jalan dan caranya sahaja tidak kena. Seperti kata bos saya, kenalah berfikir caranya dengan apa cara sekalipun supaya apa yang saya lakukan berjaya.
SEPATAH DUA
Kesimpulannya, mungkin ada sesetengah orang menggunakan ayat telah mencuba sedaya upaya, lebih kepada untuk menyelamatkan diri atau mencipta alasan. Seperti orang yang dijemput kenduri tetapi mengucapkan insya-ALLAH sebagai jalan selamat untuk mungkin tidak menghadirinya.
Contohnya, jika kita diberi lima tugas, kemudian hanya dapat menyiapkan tiga sahaja, kemudian bos bertanya dan kita akan berkata: "Saya sudah buat yang terbaik bos!”
Mungkin betul kita sudah buat yang terbaik, masalahnya adakah kerja kita siap? Membuat yang terbaik tidak menggambarkan kemahiran dan keupayaan kita, hanya kekangan yang terpapar. Jadi, terpaksalah saya bersetuju dengan pendapat bos saya itu.
Maka, saya telah membalas mesej anak saya dengan menceritakan tentang pengalaman saya dengan bos apabila menggunakan ayat ‘I will try my best’.
Dia meletakkan emoji api dan berkata: "Kalau begitu Haziq kena cari jalan jugalah ya?”
Saya menjawab: "Ya, kena cari jalan untuk sampai kepada tujuan. Kalau ada masalah tidak faham sesuatu perkara, kena cari jalan bagaimana untuk faham.”
Dia sekali lagi menjawab: "Okey!”
Seterusnya, saya telah menghantar mesej kepada anak pertama yang kini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Saya bertanya: "Periksa apa pagi ni?”
"BM (Bahasa Melayu).”
"Macam mana?”
"Okay saja,” jawabnya.
"BI (Bahasa Inggeris)?”
"Bolehlah,” jawabnya.
Sekarang saya sedang berfikir, cerita apa pula hendak dikaitkan dengan jawapannya yang sepatah dua kata itu.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca