SESUNGGUHNYA, teguran ALLAH SWT berkaitan dengan sikap dan tabiat manusia cukup banyak terkandung di dalam al-Quran. Yang jelas, teguran itu untuk memberi peringatan kepada kita semua betapa manusia masih jauh daripada sifat kesempurnaan... Klik di sini untuk terus membaca

SESUNGGUHNYA, teguran ALLAH SWT berkaitan dengan sikap dan tabiat manusia cukup banyak terkandung di dalam al-Quran.

Yang jelas, teguran itu untuk memberi peringatan kepada kita semua betapa manusia masih jauh daripada sifat kesempurnaan dan kerdilnya di sisi ALLAH SWT.

Antara teguran ALLAH SWT kepada manusia adalah seperti bersikap lalai, pelupa, tamak, tidak meraikan anak-anak yatim dan pelbagai lagi.

Bagi mereka yang mengambil iktibar terhadap peringatan tersebut, bukan sahaja diberikan ganjaran pahala yang banyak, malah kehidupan mereka akan dipenuhi keberkatan oleh ALLAH SWT.

Berkaitan dengan tabiat manusia, menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi menerusi bukunya, Kemanisan Iman – "Sesungguhnya ALLAH telah menjadikan manusia terbentuk daripada tubuh badan yang berat dan roh yang ringan. Tubuh badan menariknya ke muka bumi, manakala rohnya meronta-ronta untuk naik ke langit.

"Tubuh badan mempunyai keinginan syahwat dan roh pula mempunyai ruangan serta pemerhatiannya. Tubuh badan mempunyai keinginan binatang, manakala roh pula memendam kerinduan yang menyerupai kerinduan malaikat.

"Tabiat gabungan elemen tersebut bukanlah sesuatu yang baharu buat manusia tetapi ia adalah sifat semulajadi yang ditetapkan oleh ALLAH sejak Dia menjadikan Adam daripada seketul tanah dan satu tiupan roh. Dengan ciri-ciri tabiat itu telah melayakkan manusia menjadi khalifah di atas muka bumi ini.”

Sebetulnya, sikap bakhil adalah antara tabiat manusia yang ditegur beberapa kali oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran, antaranya ALLAH SWT berfirman: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah dan apabila ia peroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.” (Surah al-Maarij, 70:19-21).

Selain itu, ALLAH SWT juga berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad), jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu, tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut.” (Surah al-Isra’, 17:100).

Pun begitu, sikap bakhil itu tidaklah merujuk kepada kedekut harta semata-mata, sebaliknya skopnya adalah sangat luas. Secara umumnya, tabiat bakhil boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bakhil kepada diri sendiri, bakhil kepada kesejagatan dan bakhil kepada ALLAH SWT.

KEDEKUT BERSEDEKAH

Antara contoh bakhil kepada diri sendiri seperti hanya mengambil makanan yang murah-murah dan mengharapkan orang lain sudi belanja makan serta begitu kedekut untuk membeli keperluan penjagaan kesihatan walaupun mereka mampu.

Yang peliknya, jika diberikan percuma, laju pula mereka menyambutnya.

Bagi mereka yang bakhil dengan kesejagatan, bukan sahaja kedekut untuk bersedekah, malah cukup bakhil memberikan senyuman, bertanya khabar, berat tulang untuk membantu program kesukarelaan dan sebagainya.

Pendek kata, segala agenda yang tidak berkaitan dengan kepentingan diri akan dijadikan pilihan terakhir untuk disertai.

Bakhil kepada ALLAH SWT pula adalah menjauhi Penciptanya tanpa beramal soleh dan hanya mendekati ALLAH SWT setelah dilanda kesusahan serta mempunyai hajat besar untuk dipenuhi.

Hakikatnya, bakhil adalah tabiat yang perlu dijauhi dan perlu berusaha keras untuk mengatasinya.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu berbuat zalim kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi ALLAH, janganlah berbuat keji kerana ALLAH tidak suka kekejian dan perbuatan keji, janganlah berbuat bakhil kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturrahim mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Ingatlah, teguran ALLAH SWT terhadap beberapa tabiat manusia adalah kerana perbuatan tersebut dibenci oleh-Nya. Justeru, berdamailah dengan ALLAH SWT.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca