SHAH ALAM - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang bekerja semasa belajar untuk mencari duit poket mempunyai nilai tambah dalam diri mereka sekali gus mudah mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pelajar yang bekerja sambilan memiliki pengalaman dalam industri pekerjaan sebenar yang sememangnya amat dicari oleh majikan bila mereka memohon kerja kelak.
"Kurang atau tiada pengalaman kerja merupakan kekurangan yang menjadi halangan kepada graduan baharu untuk mendapat kerja.
"Pelajar yang bekerja semasa pengajian telah mendapat pengalaman sebenar alam pekerjaan jika dibandingkan dengan pelajar yang tidak pernah bekerja yang kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan teori semata mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Syed Hussain memberitahu, pengalaman bekerja yang diperoleh semasa belajar akan mematangkan pemikiran dan tingkah laku pelajar lebih-lebih lagi dalam membuat keputusan serta menangani dan menyelesaikan masalah sebenar yang timbul semasa bekerja.
"Siswazah yang tidak ada pengalaman pekerja akan berasa kekok dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk membiasakan diri dengan keperluan di tempat kerja.
"Mereka juga akan sukar untuk membuat keputusan kerana mereka tidak didedahkan dengan perkara sedemikian semasa belajar,” ujarnya.
Syed Hussain menambah, belajar sambil bekerja adalah fenomena biasa pada masa ini terutama bagi mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana atau rendah."Ada para pelajar yang terpaksa bekerja demi memenuhi keperluan hidup.
"Bekerja sewaktu belajar sepatutnya digalakkan selagi mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap pengajian mereka,” ujarnya.
Kata beliau, bekerja sambil belajar juga banyak membantu kewangan terutama bagi pelajar universiti swasta yang memerlukan perbelanjaan lebih besar.
Jelasnya, walaupun pinjaman diberikan oleh institusi tertentu namun ia mungkin tidak mencukupi.
Industri perhotelan pelawa pelajar IPT buat kerja sambilan
Industri perhotelan mempelawa pelajar institusi pengajian tinggi untuk melakukan kerja sambilan di hotel-hotel berhampiran ekoran kebanyakan hotel masih berdepan masalah kekurangan pekerja.
Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, kadar tempahan yang diterima industri berkenaan semakin meningkat setelah kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan pada Oktober tahun lalu, namun bilangan pekerja amat terhad susulan ramai diberhentikan akibat pandemik Covid-19.
"Tidak dinafikan sebelum negara dilanda wabak Covid-19, ramai pelajar IPT yang buat kerja sambilan sebagai pembersih bilik atau penyambut tetamu bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang pengajian, namun kini mereka tidak mahu lakukan pekerjaan tersebut kerana bimbang dijangkiti (Covid-19).
"Kini ada antara mereka memilih untuk bekerja dengan industri yang tidak memerlukan kehadiran fizikal seperti bidang pemasaran dalam talian sebagai pekerjaan sambilan bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sri Ganesh bagaimanapun memberitahu, ada juga pihak pengurusan hotel yang enggan mengambil pekerja sambilan kerana keadaan kewangan masih belum stabil.
Begitupun ujar beliau, masalah itu mampu diselesaikan dalam tempoh terdekat apabila industri berkenaan semakin mendapat sambutan daripada pelancong tempatan.
"Justeru kami alu-alukan sekiranya ada pelajar IPT yang ingin membuat kerja sambilan di hotel-hotel seluruh negara, tidak semestinya kerja sebagai pembersih bilik, mereka boleh bekerja sebagai penyambut tetamu, pekerja kaunter pendaftaran atau bahagian pengurusan.
"Jangan risau dengan keadaan semasa (Covid-19) kerana kita memang terpaksa berhadapan dengannya. Cuma saya nak tekankan, jaga prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan termasuk dos penggalak,” ujar Sri Ganesh.
Klik di sini untuk terus membaca