SHAH ALAM - Ramai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kini sanggup melakukan kerja sambilan untuk mencari duit poket bagi menampung perbelanjaan harian.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan mereka akan melakukan kerja sambilan pada waktu lapang tanpa mengabaikan pembelajaran.
Pelajar Sarjana Komunikasi Media, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Aini Hidayah Abdul Hadi, 24, berkata, dia mampu meraih sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dengan menjadi pembantu klinik di Bangi.
"Saya bukan kerja setiap hari. Keutamaan sebagai pelajar saya sentiasa dahulukan. Saya boleh menonton semula video pembelajaran di YouTube memandangkan banyak kelas adalah secara dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Aini berkata, gaji yang diterima digunakan untuk membayar bil telefon dan selebihnya bagi kegunaan harian seperti makan minum dan juga minyak kereta.
"Jadi saya tak perlu minta duit daripada ibu bapa lagi,” ujarnya.
Pelajar Pengurusan Perniagaan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Adib Akmal Mirandy, 21, pula berkata, dia mampu menjana pendapatan lebih RM1,000 sebulan dengan bekerja di kedai makan.
Menurutnya, hasil pendapatan itu banyak membantunya untuk menampung kehidupan harian tanpa perlu meminta lagi daripada ibu bapanya.
"Saya bekerja waktu malam saja. Waktu pagi, saya fokus belajar secara dalam talian. Bagi tugasan pula, saya cuba siapkan pada waktu petang atau hari saya cuti.
"Dalam sehari saya ambil masa antara empat hingga enam jam untuk bekerja,” ujarnya.
Bagi pelajar Sarjana Nutrisi UKM, Intan Shafiqa Mohd Suhairi, 24, pembelajaran secara dalam talian membuatkan jadualnya lebih fleksibel dan membolehkannya bekerja sepenuh masa.
"Saya bekerja sebagai perunding nutrisi di sebuah syarikat kecerdasan di Bangsar, Kuala Lumpur. Saya bekerja dari hari Isnin hingga Sabtu.
"Cara saya menguruskan masa ialah awal pagi saya akan masuk kelas dalam talian. Habis kelas, saya fokus kerja dan malam akan siapkan tugasan."Gaji diterima termasuk elaun pengangkutan adalah RM2,750 sebulan.
"Dengan duit ini, ia dapat menampung makan minum harian, minyak kereta, dan keperluan harian lain selain komitmen kereta RM450 sebulan. Saya juga membayar yuran semester sendiri,” ceritanya.
Sementara itu, pelajar Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ammar Redza Rosli, 21, yang bekerja sebagai penjual baju terpakai berkata, dia hanya bekerja lapan hari sebulan.
Jelasnya, dengan hanya menjual secara dalam talian, dia meraih untung RM1,000 sebulan.
"Saya bekerja empat jam sahaja pada waktu malam. Masa selebihnya saya cuba gunakan untuk belajar dan membuat tugasan,” jelasnya.
Pelajar Kejuruteraan Mekanikal UiTM, Nur Shafika, 22, berkata dia bekerja sambilan untuk membantu keluarga.
Menurutnya, sebahagian gaji sebanyak RM600 hingga RM1,000 akan diserahkan kepada keluarga.
"Saya bekerja di Pizza Hut. Saya belajar dan fokus dalam kelas untuk memastikan saya betul-betul faham terhadap subjek tersebut pada waktu pagi dan bekerja pada malam hari,” katanya.
Bagi pelajar sarjana di UKM, Muhammad Zafran Anas Ahmad Nor Khushairi, 25, kerja sambilan sebagai penghantar barang melalui syarikat Lalamove membolehkannya memperoleh pendapatan RM500 sebulan, cukup untuk membayar sewa bilik dan bil telefon tanpa menggunakan duit ibu bapa.