[MUKADIMAH] Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tumbang di tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), idea penubuhan khemah besar pembangkang semakin kuat... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tumbang di tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), idea penubuhan khemah besar pembangkang semakin kuat diperjuangkan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menyatukan semua parti melawan Barisan Nasioal.

Bagaimanapun, inisiatif itu masih dipandang sepi parti-parti terbabit, dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) sahaja dilihat berani menyahut cabaran untuk bersama Amanah dan PH dalam menghadapi PRN Johor, 12 Mac ini.

Bagi merungkai usaha PH dan Amanah ke arah membentuk blok pembangkang bersepadu, pendedahan konflik tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Muda selain tawaran janji pilihan raya koalisi itu kepada Bangsa Johor.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Pengerusi PH dan Amanah Johor, AMINOLHUDA HASSAN yang dikendalikan Pengarang Berita, ZAMRI RAMBLI serta wartawan KHAIRIL ANWAR MOHD di Hotel New York, Johor Bahru baru-baru ini.

SINAR PREMIUM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan menggunakan logo pilihan raya sendiri, adakah surat watikah pelantikan calon daripada koalisi PH ditandatangani Pengerusi PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim atau diserahkan kepada pemimpin PH lain?

AMINOLHUDA: Saya dimaklumkan bahawa semua kuasa menandatangani surat watikah pelantikan calon PH telah diturunkan kepada Presiden Amanah (Mohamad Sabu). Jadi, walaupun untuk DAP dan Amanah, yang akan tandatangan adalah Ahli Parlimen Kota Raja itulah.

- Bila Amanah sudah mengumumkan senarai 16 calon PRN Johor kepada umum, bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat perbezaan kualiti dan personaliti calon-calon parti yang ditampilkan kali ini?

Pertamanya, pada kali ini, kita menampilkan majoriti calon terdiri golongan muda sama ada lelaki dan wanita. Dari segi pendidikan pula, kita turut mengetengahkan calon-calon wanita profesional termasuk seorang calon yang sedang menghabiskan pengajian Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD).

Keduanya, dalam kalangan calon-calon Amanah, walaupun pada kali ini, tiga daripada mereka mewakili golongan orang muda, tetapi daripada keseluruhan 16 calon, lapan individu terdiri muka baharu.

Manakala, lebih lapan lagi calon pernah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini. Ini menunjukkan Amanah sentiasa memberi peluang kepada ahli-ahli parti yang terlibat secara langsung, mengadunkan calon baharu dan lama.

Pada sama sama, semua penyandang kerusi DUN pada PRU14 dikekalkan. Kita ada sembilan bekas ADUN, tetapi tiga daripadanya sudah menyertai PKR. Jadi dengan enam calon penyandang yang berbaki, termasuk satu lagi bekas calon yang kalah bertanding pada PRU14 iaitu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor (Suhaizan Kaiat).

Dua lagi bekas calon Amanah yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak dikekalkan.

- Daripada 16 kerusi DUN yang ditandingi, berapa jumlah kerusi yang disasarkan Amanah untuk menang?

Kalau hendak kira, biar semua menang (ketawa). Tetapi realitinya bukan mudah untuk kita menghadapi PRN terpaksa ini. Dalam suasana Covid-19 makin berleluasa, Amanah bimbang dengan kemungkinan rakyat enggan untuk keluar mengundi sebab mereka takut dengan suasana Covid-19 yang ada.

Namun, saya selalu tekankan, kalau di pasar raya dan pasar malam, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di kawasan sebegitu hakikatnya tidak begitu ketat sehingga menyebabkan pengunjung berebut walaupun kerajaan sudah menggariskan SOP sepatutnya.

Rakyat sebenarnya tidak perlu risau untuk pulang mengundi PRN Johor kerana proses SOP adalah jauh lebih ketat dengan setiap pengundi dijamin untuk mengundi dalam suasana yang lebih selamat.

Cuma kebimbangan saya, bila ramai yang dijangkiti Covid-19 sebelum tarikh mengundi, mereka pula berdepan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bila tiba masanya.

Wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Aminolhuda Hassan. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

- Apakah saranan YB kepada SPR supaya pengundi positif Covid-19 masih diberikan ruang menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun berstatus pesakit Covid-19?

Itu sebab di peringkat awal, PH menolak pembubaran DUN. Ini disebabkan pandemik Covid-19 masih belum selesai, isu ekonomi juga belum selesai. Tiba-tiba DUN Johor dibubar secara mengejut. Jadi bila berlaku PRN, kita dapat lihat bagaimana reaksi rakyat.

Saya dimaklumkan majoriti rakyat memang ramai mahu keluar mengundi. Tetapi bila Covid-19 sudah merata, kita bimbang bilangan pengundi yang layak untuk mengundi menjadi semakin sedikit disebabkan ramai dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak kasual kepada pesakit Covid-19.

Jadi ini satu cabaran kepada Amanah dan PH. Mungkin juga SPR perlu mempertimbangkan penyediaan satu bilik khas atau pusat mengundi khas kepada rakyat dijangkiti Covid-19 untuk datang mengundi tanpa mengancam keselamatan pengundi sihat yang lain.

Hal ini penting kerana pelaksanaan Undi18 menyebabkan berlaku pertambahan undi ketara di setiap kawasan DUN. Di DUN saya (Parit Yaani), jumlah pengundi pada PRU14 adalah 26,000 orang, namun kini meningkat kepada angka 41,000 pengundi bila Undi18 dan pengundi didaftar secara automatik diambil kira SPR.

Jadi penambahan pengundi mendadak, tempat saluran mengundi bertambah. Bilik darjah dan sekolah yang dijadikan pusat mengundi sudah bertambah. Bukan itu sahaja, tempat mengundi harus ditambah walaupun atas nama PDM sama.

Justeru, segala faktor ini dilihat memberi kesan. Kalau hendak khususkan pesakit Covid-19 dibenarkan mengundi blok tertentu, jadi kakitangan SPR yang menguruskan PDM perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan mereka dibenarkan mengundi.

Ini semua adalah antara pertimbangan wajar bagi memastikan jumlah peratusan mengundi benar-benar tinggi. Kalau peratusan keluar mengundi sekitar 60 peratus sahaja, ini bermakna kerajaan yang dipilih hanya mendapatkan sokongan rakyat kurang daripada 40 peratus.

Berdasarkan keputusan PRN Melaka, UMNO menang hanya dengan jumlah undi popular 38 peratus. Bawah 40 peratus, namun mereka berjaya mentadbir sebuah kerajaan. Sedangkan pembangkang ada sokongan lebih 60 peratus. Senario ini tidak memperlihatkan demokrasi itu subur.

Sebab itu, saya berpandangan jumlah peratusan rakyat keluar mengundi kena ramai, kena banyak untuk menunjukkan kerajaan dibentuk adalah kerajaan dipilih rakyat.

- Adakah terdapat usaha kerjasama mewujudkan khemah besar di antara PN, PH dan parti-parti pembangkang lain bagi mengekang dominasi UMNO-BN pada PRN Johor?

Sebenarnya, kita sudah usahakan. Bagi pihak Amanah, idea ini sebenarnya datang daripada Amanah Johor dengan kita menyatakan bahawa perlu ada khemah besar. Sebab di PRN Melaka, bila berlaku pertembungan tiga penjuru di antara PH, BN dan PN, ada tempat PN berada nombor dua. Ada juga tempat PH berkedudukan kedua.

Tetapi yang menang adalah BN dengan peratus tidak sampai 40 peratus. Kan dua-dua (PN dan PH) rugi. Baiklah kita ambil pendekatan, ayuh kita berbincang. Namun, bila berbincang, mereka pula hendak minta banyak kerusi. Sedangkan kerusi itu perlu diagih-agih bersama tiga parti dalam PH, ditambah Muda.

- Adakah perbincangan kerjasama antara PN-PH memang benar-benar bermula dan siapa pihak bertanggungjawab mengusahakannya?

Saya tidak boleh dedahkan individu terlibat. Perbincangan itu berlaku pun secara tidak rasmi. Kalau memang mereka hendak, mereka akan datang (bincang secara rasmi). Tetapi yang berani datang (untuk bekerjasama) adalah Muda sahaja. Jadi, kerjasama setakat ini hanya dicapai dengan Muda.

Kita berbincang di peringkat negeri, dan kemudiannya hasil perbincangan diangkat di peringkat Majlis Presiden PH seterusnya satu keputusan dicapai.

- Justeru, adakah inisiatif khemah besar yang cuba diusahakan PH selain kehadiran Muda, dipandang sepi parti-parti pembangkang lain termasuk PN?

Pada pandangan saya, mungkin di Johor, inisiatif ini belum tercapai sepenuhnya kerana parti-parti seperti Warisan dan Pejuang mahu buat 'test ground' kekuatan parti masing-masing dahulu.

Kalau kita tengok, sekiranya hanya hasrat sebegitu difikirkan parti-parti ini, mereka sebenarnya menganiaya rakyat Johor. Ini kerana senario ini mungkin mengulangi keputusan PRN Melaka, di mana yang menjadi kerajaan hanya menerima sokongan tidak sampai 40 peratus, tetapi pihak pembangkang yang kalah menerima undi popular 60 peratus.

Jadi rugi kepada rakyat Johor. Sepatutnya kena ada penyatuan dalam pembangkang. Parti-parti itu juga jangan terlalu memikir cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar. Kita kena tengok realiti di kerusi Johor, siapa sepatutnya memperolehi majoriti. Antara pihak A dan B. Langkah sebegitu sepatutnya diambil.

Bagi saya, perkara paling penting saat ini adalah untuk menumbangkan UMNO-BN. Kalau fikir aku pun nak jadi Menteri Besar, orang ini pun nak jadi, akhirnya sama-sama lembik.

- Apa pengajaran Amanah boleh ambil daripada kekalahan PH pada PRN Melaka?

Pengajaran paling penting adalah kewajaran penubuhan khemah besar pembangkang. Ini bermakna kerjasama dengan parti-parti pembangkang, termasuk PN walaupun kita tidak kategorikan mereka sebagai pembangkang.

Sebab PN duduk dengan kerajaan, justeru lebih dianggap pihak pembangkang dalam kerajaan. Terma agak kelakar. Jadi sepatutnya tidak berlaku begitu. Bila Bersatu berkata terpaksa keluar PH untuk mewujudkan kerajaan lebih stabil, situasi terkini mereka dalam kerajaan sedia ada membuktikan perkara itu bohong.

Sudahlah mereka dijatuhkan oleh parti yang menyokong mereka sebelum ini. Walaupun kasihan dengan nasib Bersatu, situasi dihadapi kerajaan sekarang adalah memalukan nama Melayu dan Islam.

Apa pandangan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita? Masyarakat bukan Islam? Mereka duduk dalam sebuah kerajaan Melayu Islam pun bergaduh. Sedangkan tiada DAP pun dalam itu.

PH sebenarnya curiga juga hendak bekerjasama dengan Bersatu dan PN sebab sikap mereka sebelum ini. Namun, demi menjatuhkan UMNO-BN, kita harus bersikap pemaaf.

- Adakah YB masih berharap PN atau spesifiknya Bersatu akan kembali ke pangkuan PH untuk bekerjasama menentang UMNO-BN suatu hari nanti?

Sebenarnya, bila Bersatu dan PN menyebut mereka menolak pemimpin kleptokrasi, itu pun perjuangan PH sejak dahulu. Kami memang menentang kronisme, salah guna rasuah. Apa yang berlaku hari ini? Bila mereka sudah bersama dengan UMNO-BN di dalam kerajaan, mereka pun menolak 'kluster mahkamah'.

Kami tidak guna terma sama, tetapi guna 'kluster pencuri'. Jadi kalau sudah satu dunia menyatakan segelintir pemimpin sebelah sana 'mencuri duit rakyat', kalau rakyat kita masih tidak sedar lagi, saya tidak tahulah istilah 'Malu Apa Bosku' yang diguna pakai itu wajar atau tidak.

- Bila kerusi DUN Puteri Wangsa menjadi persoalan, PKR sebelum ini menjelaskan parti itu sebenarnya menuntut kerusi berkenaan daripada Amanah. Boleh jelaskan apa sebenarnya yang berlaku?

Sejarah pemilikan kerusi DUN Puteri Wangsa, kita dapat daripada tahun 2013 iaitu apabila calon kita dalam Pas ketika itu, bertanding di kerusi itu pada PRU13.

Bermakna kerusi DUN Puteri Wangsa itu adalah kerusi Pas yang ketika itu bersama Pakatan Rakyat (PR). Bukan kerusi sesiapa. DAP pun tidak, PKR pun tidak. Justeru pada PRU14, pada asalnya Amanah meletakkan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat untuk bertanding kerusi berkenaan.

Namun, oleh kerana adanya Bersatu menyertai PH pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya, maka perbincangan demi perbincangan menyebabkan Amanah mengalah dengan Bersatu. Suhaizan pula terpaksa bertanding di kerusi DUN lain.

Jadi bila Bersatu keluar daripada PH, Amanah turut menuntut semula kerusi berkenaan atas kapasiti calon kita memang sudah buat kerja sejak tahun 2013 lagi. Selain DUN Puteri Wangsa, ada tiga lagi kerusi DUN yang menjadi pertindihan tiga parti dalam PH iaitu Bukit Pasir, Machap dan Tenang.

Bila perbincangan memasuki fasa seterusnya, terdapat satu persefahaman bahawa mana-mana parti yang menuntut DUN Puteri Wangsa, maka tiga lagi kerusi DUN disebutkan tadi tidak boleh dituntut. Jadi itu cerita sebenar yang berlaku pada rundingan asal parti-parti dalam PH.

Jadi, Amanah mengalah walaupun hanya dapat satu daripada empat kerusi bertindih. Kalau kami hendak banyak, kami ambil dua dan melepaskan DUN Puteri Wangsa. Tetapi kami rela ambil satu, dan serahkan baki tiga kerusi berkenaan kepada PKR dan DAP. Akhirnya DAP ambil satu (Machap), manakala PKR ambil Bukit Pasir dan Tenang.

- Bagaimana cabaran untuk mengekalkan kerusi DUN Parit Yaani dimenangi YB sebelum ini? Adakah kerjasama dengan Muda akan memberi nilai tambah kepada kempen pilihan raya YB?

Rakyat bukan seperti dahulu. Kalau dahulu, mereka mendapatkan maklumat menerusi saluran televisyen dan radio dimiliki kerajaan. Tetapi pengundi yang ada, sama ada orang tua atau muda, mereka lebih melihat fungsi media sosial memainkan peranan besar untuk mengubah minda.

Cuma saya harapkan dalam bab-bab ini, rakyat kena mendengar benda yang sahih datang daripada sumber tepat. Isu yang berkaitan daripada calon kena diperjelaskan oleh pihak calon. Isu daripada parti biar datang daripada parti berkenaan untuk memberi penjelasan.

Perkara-perkara ini pada saya, biar rakyat menjadi pengundi bijak. Sebagai contoh, di negara maju, bertukarlah pemimpin atau kerajaan setiap dua tiga penggal, rakyat tetap memilih kerajaan yang memberi tawaran terbaik. Bukan sahaja terpengaruh gula-gula politik.

Mereka menawarkan janji masa hadapan betul dan rakyat boleh menyakini janji sebegini. Kalau mereka hanya diberikan bayangan janji gula-gula politik tanpa praktikal, sudah lama kita lihat.

Sebagai contoh syarikat 1MDB, sepatutnya untuk rakyat. Tetapi asas dibina oleh kerajaan BN dan dasar-dasar bumiputera, hilang begitu sahaja termasuk sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus tidak tercapai.

Ketika ini, golongan yang kaya bukan keseluruhan orang bumiputera secara keseluruhan, tetapi hanya golongan tertentu yang menjadi penyokong pemimpin tertentu. Saya ambil contoh sewaktu kerajaan PH mentadbir Johor pada 22 bulan sebelum ini.

Wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan di Hotel New York Johor Bahru. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Kami ada 10 tawaran yang mesti dilaksanakan dalam tempoh 100 hari. Alhamdulillah dalam tempoh itu, semua tawaran berjaya dilaksanakan. Iaitu janji pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada rakyat yang menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) ketika itu. Hari ini, pada suatu masa, Menteri Besar Johor daripada UMNO minta kita sokong pembatalan inisiatif itu dalam sidang DUN.

Saya kata 'ini manifesto PH sewaktu menjadi kerajaan, kalau UMNO hendak buang, mereka kena buang sendiri...Jangan libatkan kami'. Kerajaan PH Johor sebelum ini juga membatalkan satu lagi program kerajaan BN iaitu kuota menegak kerajaan.

Kuota menegak kerajaan ini adalah isu tentang rumah murah iaitu 20 peratus kepada ahli politik. Kami batalkan, walhal kami pun orang politik. Sebab apa? Ini kerana kami dapat melihat orang yang ada kedudukan dalam politik, mereka boleh mendapat dua atau lebih rumah murah. Bukan sahaja mereka, malah ahli keluarga juga dapat. Tetapi orang lain tidak dapat.

Kita tukar syarat mendapatkan rumah murah kepada golongan pasangan muda berpendapatan rendah dan orang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU). Ini yang PH beri kuota. Selain itu, kita juga melaksanakan skim takaful warga emas. Setiap warga emas berusia 60 tahun ke atas, kita masukkan dalam skim takaful dibiayai kerajaan. Jadi bila mereka meninggal, waris keluarga akan menerima pampasan RM1,000.

Dalam tahun kedua, kerajaan PH ketika itu hendak naikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000. Itu semua kita sudah laksanakan. Yang keempat pula adalah pemberian kad peduli sihat. Kita kurangkan beban rakyat untuk membiayai caj klinik swasta dengan pembiayaan RM500 setahun.

Paling penting, kita juga sebenarnya merancang untuk mengecualikan bayaran 50 peratus kepada penyewa-penyewa rumah pemilikan kerajaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tertunggak. Kesemua ini kita buat untuk menolong rakyat marhaen atau B40. Jelas kepada rakyat Johor, tawaran PH selama ini khusus untuk membantu rakyat terutama golongan B40.

- Apa lagi janji-janji ditawarkan kepada rakyat Johor jika PH diberi kepercayaan mentadbir negeri itu lagi?

Antara tawaran yang akan diusahakan PH adalah kita akan mengusahakan sempadan Johor-Singapura dibuka semula bagi membolehkan ekonomi negeri Johor kembali bangkit. Itu sebab kita letakkan motto Johor Bangkit, Maju dan Bermaruah.

Dengan terbukanya sempadan Singapura, maka orang Singapura boleh datang dan berbelanja di Johor. Pekerja-pekerja kita pun boleh kembali bekerja di negara jiran itu. Langkah ini akan merancakkan ekonomi kita sebaiknya.

Ini kerana kita dapat lihat rumah paling banyak tidak terjual dan terbengkalai adalah di kawasan Johor Bahru. Ini kerana rakyat yang dahulu bekerja di Singapura, apabila mereka sudah tidak dibenarkan memasuki negara itu, maka mereka berhenti atau dibuang kerja. Jadi mereka tidak mampu untuk meneruskan bayaran bulanan rumah dibeli. Rumah-rumah mereka itu kemudiannya terpaksa dilelong bank.

Dunia melihat negeri yang stabil politik adalah berlandaskan sikap rakyat menyakini pemimpinnya yang amanah. Sebab itu dalam tempoh 22 bulan PH mentadbir negeri Johor, pelabur luar yang datang melabur di Johor lebih kurang RM30 bilion, rekod pencapaian ini terbukti. Jadi dalam tempoh berkenaan, Johor mengatasi semua negeri lain.

Jadi jelas kepada kita, dunia luar hendak melihat kepimpinan kerajaan negeri Johor yang telus dan baik.


'SIAPA CALON MB? KITA MASIH BERENANG, BELUM SAMPAI DARATAN LAGI'


- Bagaimana pula dengan persoalan calon Menteri Besar daripada PH?

Perkara itu tunggu kita menang dahulu. Sekarang ini semua parti masih dalam proses 'berenang', belum sampai ke daratan pun lagi. Kita tidak mahu bila isu ini bangkit, masing-masing akan pertikai calon dikemukakan parti-parti ini sendiri.

- Adakah senario ini bermakna setiap parti perlu bersedia dengan calon MB masing-masing?

Beginilah, bilangan kerusi DUN yang dimenangi akan memberikan peranan besar dalam menentukan parti mana akan lebih layak mencalonkan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar Johor baharu. Ini antara faktor penting menentukan siapa calon Menteri Besar.

- Andai kata YB diberi kepercayaan menjadi Menteri Besar Johor baharu, bersediakan YB menerimanya?

Kalau ditakdirkan oleh ALLAH SWT, ini suatu amanah yang saya perlu pikul. Tetapi kita jangan meminta-minta amanah itu, kerana ia satu tanggungjawab besar. Sebagaimana saya diamanahkan menjadi Pengerusi PH Johor. Saya jalankan tanggungjawab sebaiknya. Alhamdulillah sekurang-kurangnya hari ini kita berjaya bersama dengan Muda. Itu satu kejayaan yang perlu diraikan.

Klik di sini untuk terus membaca