JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengakui parti itu berkorban ibarat seorang bapa, semata-mata untuk menyerahkan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bagus, demi menyerlahkan potensi Parti Ikatan Demokratik Muda... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengakui parti itu berkorban ibarat seorang bapa, semata-mata untuk menyerahkan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bagus, demi menyerlahkan potensi Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, apabila seorang 'anak' seperti Muda berpotensi menjadi bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo mahu pun Pele, Amanah perlu berfungsi sebagai seorang bapa untuk memberikan 'kasut bola sepak' terbaik kepada anak itu.

Jelas beliau, sekiranya Amanah tidak memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbaik untuk ditandingi Muda, tindakan itu seolah-olah mahu menjatuhkan imej dan potensi besar yang ada pada Muda.

"Untuk memastikan potensi anak kita itu lebih terserlah dan boleh memberikan keyakinan kepada rakyat untuk bersama membentuk satu pasukan lebih baik. Ini sebab utamanya.

"Kalau kita beri, Muda ada kemampuan, kebolehan dan potensi. Tetapi kita beli kasut murah sahaja untuk mereka 'bermain bola'. Sedangkan potensi mereka besar. Maknanya kita cuba jatuhkan imej dan potensi besar yang ada pada mereka.

"Jadi, sudut ini yang Amanah tengok pada parti Muda. Kita kena tengok secara bersama. Biar maknanya Muda boleh 'bermain' di padang lebih baik dengan kelengkapan sukan lebih baik. Namun, bila kita beri sesuatu kepada Muda, bukan bermakna kita beri semua," katanya dalam satu wawancara eksklusif kepada Sinar Premium di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Amanah menyerahkan empat kerusi DUN yang dianggap mampu dimenangi koalisi Pakatan Harapan (PH), kepada Muda sebagai memenuhi agenda persefahaman kerjasama PH-Muda pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Empat kerusi DUN itu adalah Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong dan Parit Raja, manakala DAP menyerahkan dua kerusi kepada Muda iaitu Bukit Permai dan Machap.

Amanah menyerahkan kerusi Puteri Wangsa yang dianggap kerusi Gred A kepada Muda.

Keputusan Amanah itu bagaimanapun dikritik sebilangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), susulan parti itu mendakwa kerusi DUN Puteri Wangsa dituntut parti itu dalam perundingan kerusi di antara parti-parti dalam PH sebelum ini.

Mengulas lanjut, Aminolhuda yang juga Pengerusi PH Johor turut mendedahkan sejarah pemilikan kerusi DUN Puteri Wangsa juga sudah lama sinonim dengan Amanah sejak pemimpin parti itu masih di dalam Pas yang bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2013.

Justeru, beliau menjelaskan kerusi DUN Puteri Wangsa sebenarnya bukan milik sesiapa, sebaliknya secara automatik menjadi milik Amanah apabila parti itu bersama PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Amanah pun sebenarnya sudah menyediakan calon pada PRU14 iaitu Suhaizan (Kaiat) dengan beliau sudah buat kerja lama dah. Cuma bila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai PH, kita terpaksa serahkan kerusi itu kepada mereka.

"Jadi bila Bersatu keluar daripada PH, Amanah kini menuntut semula kerusi berkenaan atas kapasiti calon kita memang sudah buat kerja sejak tahun 2013 lagi," ujarnya.

Berikutan itu, Aminolhuda berkeyakinan keputusan Amanah mengalah kepada Muda akan memastikan parti baharu itu menghormati dasar kerjasama dicapai, sekali gus memuktamadkan kerjasama pilihan raya dengan PH bagi menghadapi PRU15.

"Muda kena bersama PH kerana kami berkorban bukan untuk hari ini, tetapi untuk masa hadapan Malaysia menjelang PRU15. Jika diambil kira tuntutan kerusi daripada Muda, mereka minta banyak. Tetapi akhirnya PH setuju memberi enam kerusi.

"Jadi bukanlah Amanah menyerahkan segala-galanya kepada Muda. Ada juga tuntutan mereka yang tidak dipenuhi. Yang penting, kerusi diberi adalah munasabah dengan status Muda yang masih baharu," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca