SHAH ALAM - Pihak berkuasa Malaysia terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berdiam diri sebaliknya wajib menjalankan siasatan terperinci berhubung pendedahan dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Inc, Asia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pihak berkuasa Malaysia terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berdiam diri sebaliknya wajib menjalankan siasatan terperinci berhubung pendedahan dibuat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Inc, Asia Tenggara, Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat membabitkan suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, pendedahan dibuat Tim Leissner memang perlu disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia sama ada dakwaan berkenaan berlaku atau tidak.

Haniff Khatri

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan untuk mengesahkan sama berlaku atau tidak perlakuan jenayah rasuah oleh keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia terbabit bagi tujuan mempercepatkan pemindahan wang berjumlah AS$1 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada ketika itu.

"Sama macam kes bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma, Datuk Rohana Rozhan, siasatan perlu dibuat secara mendalam.

"Malah, wakil kementerian berkenaan dalam jawapan kepada Parlimen menjelaskan bahawa SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kes dakwaan membabitkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara terbabit. Cuma halangan utama mereka untuk mendapatkan bukti kes di Singapura adalah penutupan sempadan antara kedua-dua negara berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, memaklumkan PDRM tidak dapat melengkapkan siasatan terhadap suami Zeti, Tawfiq Ayman, berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB kerana sempadan antara dua negara kini masih ditutup.

Mas Ermieyati juga mendedahkan kertas siasatan telah dirujuk kepada AGC pada 14 Oktober 2021 dan 7 Disember 2021, namun dikembalikan semula kepada polis pada 21 Disember 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, dakwaan membabitkan suami Zeti itu timbul selepas kerajaan Singapura memulangkan semula wang dirampas dari syarikat Tawfiq bernilai RM65 juta dan dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia kerana dikatakan sebagai sebahagian dana diselewengan dari 1MDB, beberapa tahun lalu.

Untuk berlaku adil, Haniff Khatri berkata, pihak berkuasa Malaysia termasuk SPRM dan PDRM masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan terbabit.

Malah, Haniff berkata, beliau difahamkan pihak berkuasa Malaysia akan pergi ke Singapura dalam masa terdekat untuk melengkap kertas siasatan kes terbabit selepas sempadan kedua-dua negara dibuka tidak lama lagi susulan sekatan perjalanan akibat penularan wabak Covid-19.

"Kita tidak boleh membuat andaian sendiri bahawa pihak berkuasa (SPRM dan PDRM) tidak menjalankan siasatan terhadap dakwaan dibuat Tim Tim Leissner kerana penyiasatan perlu dijalankan dengan lebih terperinci, adil dan saksama.

"Justeru itu, kita perlu memberikan masa secukupnya kepada pihak berkuasa untuk melengkap kertas siasatan berhubung kes membabitkan suami bekas Gabenor Bank Negara terbabit," katanya.

BERSIHKAN NAMA JIKA TIADA KES

Haniff Khatri berkata jika siasatan PDRM dan SPRM mendapati dakwaan itu tidak benar maka mereka wajib sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan media bagi membersihkan nama individu terbabit tidak terhad kepada Zeti dan suaminya sahaja.

"Bagaimanapun, jika siasatan mendapati terdapat unsur jenayah maka pihak berkuasa wajar mengambil tindakan lanjut termasuk mendakwa individu terbabit di mahkamah. Itulah sebabnya siasatan terperinci perlu dibuat tiada sebab mana-mana individu diambil tindakan undang-undang secara semberono tanpa bukti kukuh," katanya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya berhubung isu 1MDB.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ia supaya tuduhan yang dibuat terhadap mereka dapat ditentukan benar atau tidak.

"Perkara seperti ini perlu disiasat supaya kita dapat tentukan benar atau tidak Zeti terlibat dengan perbuatan curang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam pada Khamis.

Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami kepada Zeti sebelum ini dilaporkan menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Menurut kenyataan dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co, beliau antara lain menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) turut menjelaskan semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri tidak ada masalah melibatkan Zeti.

Klik di sini untuk terus membaca